Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ahmad Nawab kenang tebar sayap ke luar negara hasil lagu ciptaan

Lagu-lagu mereka malar segar dan masih diputarkan di corong-corong radio. Walaupun sudah menjangkau usia lewat kini, dua komposer veteran ini telah mewarnai industri muzik Melayu dengan lebih 3,000 lagu di antara mereka. Lagu ciptaan seniman kelahiran Singapura, S. Atan dan komposer, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab, pernah dinyanyikan oleh penyanyi hebat seperti Jamal Abdillah, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Khatijah Ibrahim, selain artis dari Indonesia, di antaranya termasuk Hetty Koes Endang dan Broery Marantika. Bahkan bakat mereka terserlah bukan sahaja dalam genre Melayu asli, tetapi merangkumi lagu balada, rok, jaz dan yang lain. Ikuti perkongsian mereka bersama BERITA HARIAN tentang zaman kegemilangan mereka yang hingga kini, belum dapat ditandingi sesiapa.
Mar 11, 2023 | 05:30 AM



DILAHIRKAN di Pulau Pinang kepada seorang ahli muzik yang berasal dari Lahore, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab, yang sering kelihatan berkaca mata hitam dan berjaket putih, berkata bapanya yang telah mempengaruhi minatnya dalam bidang muzik sejak kecil lagi.



Lagu pertama yang diilhamkannya ialah Bintang Malam apabila umurnya baru sahaja 16 tahun, setelah melihat keindahan bintang berkerdipan di langit.



Lagu itu kemudiannya dirakam oleh penyanyi 60-an, Zara Agus, sebelum ia dinyanyikan semula oleh bintang legenda, Saloma, untuk filem Nasib Do Re Mi pada 1964.



Lagu yang sama kemudiannya dinyanyikan juga oleh Uji Rashid dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.



Walaupun kini sudah berumur 90 tahun, memori pemain saksofon ini masih segar.



Ketika ditemu ramah penulis, beliau teruja ingin mengongsikan pengalaman dan pencapaiannya selama ini.



"Nama saya mula naik di Singapura, ketika itu saya selalu turun naik Singapura dan KL untuk merakamkan lagu bersama artis," kata Ahmad Nawab, yang suatu masa dulu bekerja dengan studio rakaman EMI Records di bawah pengurus dan pengasasnya, Cik Daisy Devan, yang menawarkan pekerjaan itu kepadanya.



Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Orkestra Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selama 16 tahun.



Antara penyanyi Singapura yang pernah dicungkil bakatnya oleh Ahmad Nawab sendiri ialah penyanyi, Linda Elizabeth, yang pada masa itu hanyalah seorang penyanyi latar.



"Saya lihat dia mempunyai potensi besar dan menawarkannya merakamkan lagu saya," katanya, mengimbau kenangan silam.



Menurut Ahmad Nawab, apabila beliau mengarang lagu untuk seseorang penyanyi, beliau mengambil kira perwatakan, cara dan lenggok penyanyi tersebut.



"Misal kata saya menulis untuk Jamal Abdillah, jika saya beri lagu itu kepada orang lain, ia tidak akan menjadi…" tambahnya.



Atas sumbangannya kepada industri muzik dan seni, Ahmad Nawab telah dianugerahkan Anugerah Seniman Negara oleh kerajaan pada 2006.



Pada 2000, Universiti Putra Malaysia menganugerahkannya ijazah kehormatan Doktor Persuratan.



Sejauh ini, beliau telah menulis lebih 2,000 lagu, kebanyakannya merupakan lagu hit, malar segar.



Walaupun telah banyak menulis lagu untuk artis tempatan di Singapura dan Malaysia, kenangan bersama penyanyi Indonesia, Broery Marantika, merupakan yang paling tidak dapat dilupakan.



"Masa itu, orang Indonesia susah nak terima lagu Melayu. Tetapi apabila Broery mendengar lagu Sabar Menanti yang saya tulis untuknya, katanya, dia seperti telah mengenal saya selama 100 tahun!" ujarnya.



Lagu itu dinyanyikan Broery bagi filem, Hapuslah Air Matamu, yang turut dilakonkannya pada 1976, yang turut dijayakan oleh Sharifah Aini dan Latif Ibrahim.



Namun begitu, pencapaian yang paling membanggakan buat dirinya ialah apabila lagu Malaysia Truly Asia yang ditugaskan oleh Pelancongan Malaysia dirakam semula dalam 17 bahasa dan pernah membawanya ke seluruh dunia termasuk Dubai, Moscow, Jerman, Perancis, India dan lain-lain negara.



"Itu adalah pengalaman yang saya tidak dapat lupakan kerana lagu saya dapat merantau ke seluruh dunia," ungkap Ahmad Nawab tentang pencapaian yang paling bermakna buat dirinya setelah berbakti kepada industri muzik sejak lebih setengah abad.




"Itu adalah pengalaman yang saya tidak dapat lupakan kerana lagu saya dapat merantau ke seluruh dunia."
- Komposer, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >