AirAsia X, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia bagi penerbangan jauh, bakal melancarkan penerbangan pertama ke benua Afrika pada 15 November.
Ini membolehkan warga Singapura yang ingin ke Nairobi, Kenya, menaiki pesawat syarikat tersebut dengan transit di Kuala Lumpur, Malaysia.
Langkah ini menyusuli permulaan mantap syarikat tersebut pada 2024, dengan kemasukan sulungnya ke Asia Tengah pada Mac apabila ia memperkenalkan penerbangan baru ke Almaty, Kazakhstan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X, Encik Benyamin Ismail, berkata pengunjung dari Singapura kini boleh ke Kenya pada harga lebih dimampui menerusi perhentian di Kuala Lumpur.
Beliau menambah bahawa Kenya menawarkan warisan indah dan pemandangan menakjubkan, dan berharap bahawa pertukaran budaya serta ekonomi antara kedua-dua rantau Afrika dengan Asia dapat diperkaya.
CEO Capital A, Encik Tony Fernandes, berkata: “Laluan baru ini bukan sahaja membuka Afrika kepada Asia, malah mempunyai potensi untuk mengukuhkan pertalian dalam pelancongan, perniagaan dan perdagangan antara kedua-dua benua.”
Sebelum penerbangan sulung AirAsia X ke Afrika, pengunjung dari Singapura ke Nairobi boleh menikmati tambang promosi sehala dari $332.
Ini hanya boleh didapati menerusi tempahan di aplikasi AirAsia MOVE hingga 7 Julai bagi tempoh perjalanan antara 15 November 2024 dengan 8 Oktober 2025.
Terletak di Kenya, Nairobi kaya dengan kehijauan, menawarkan pemandangan luas serta banyak kehidupan liar yang selalunya menarik kunjungan pelancong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg