Apabila konsert yang dinanti-nanti itu dibatalkan tanpa perbincangan dengan penyanyi yang dijadualkan menjayakannya, pastinya ia perit ditelan.
Itulah yang berlaku pada penyanyi dan pemenang tempat ketiga, Big Stage 2022, Aisha Retno, yang ternyata cukup kecewa apabila konsert solonya, Aisha Retno Malam Sutera, yang dijadualkan berlangsung di Zepp KL pada 16 November dibatalkan.
Aisha, atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24 tahun, telah meluahkan kekesalannya di media sosial, sebagaimana yang dilaporkan laman web, mStar.
Beliau mahu meneruskan konsert tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana semua keputusan dibuat tanpa perbincangan dengannya.
Aisha, malahan, menganggap penganjur konsert, Kharisma Music Festival, sebagai tidak profesional.
“Kalau diberi peluang, saya nak teruskan konsert ini.
“Namun, keputusan sudah dibuat dan saya tak boleh buat apa-apa.
“Mereka tidak mahu berbincang. Saya rasa penganjur kurang profesional kerana mengeluarkan kenyataan sebelum ini tentang konsert.
“Sepatutnya mereka perlu buat pengumuman umum terlebih dahulu dan maklumkan kepada saya supaya saya tahu duduk perkara sebenar.
“Kerjaya saya agak terjejas kerana saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerja dengan adanya konsert ini sebelum ini.
“Saya dimaklumkan tidak boleh menerima tawaran kerja hingga hari konsert diadakan iaitu 16 November.
“Kerugian itu terpaksa saya tanggung sehingga ada beberapa kerja saya perlu tarik diri disebabkan tarikh itu sebelum konsert ini.
“Saya juga tidak tahu kedudukan konsert ini sejak beberapa bulan lalu,” jelasnya.
Sementara itu, pada 9 November, Kharisma Music Festival pula menjelaskan bahawa konsert berkenaan terpaksa dibatalkan kerana jualan tiket yang rendah dan perlahan.
Tiada rancangan menundanya, sebagaimana yang diputuskan pihak pengurusan artis, jelas penganjur lagi.
Aisha pula menganggap tanggungjawab memastikan jualan tiket itu diurus lancar terletak pada pihak penganjur dan bukan menuding jari ke arahnya.
Menurutnya lagi, beliau tidak diberi penganjur sebarang kontrak untuk ditandatangani dan peristiwa ini merupakan satu penindasan.
“Sepengetahuan saya, sepatutnya tugas perancangan kewangan dan pemasaran sepatutnya tugas penganjur tetapi mereka lemparkan tugas itu kepada saya.
“Saya rasa ia tak sepatutnya jadi begitu untuk penganjuran konsert.
“Apabila mereka keluarkan kenyataan itu, seolah-olah saya pula disalahkan tentang jualan tiket dan status konsert itu,” tambahnya.
Alahai, kasihan Aisha. Rasanya, lebih baik beliau cuba lokasi lebih kecil bagi persembahan gig untuk puluhan peminat terlebih dahulu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg