Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Gaya Hidup

Aisyah Aziz gagahi segala badai demi keluarga, seni

Teruja dengan projek terbaru - album EP Inggeris yang mengandungi 5 lagu
Feb 23, 2020 | 05:30 AM

KEHIDUPAN tidak seindah bunga-bunga di taman atau semudah yang disangka buat bakat Singapura, Aisyah Aziz.

Pada usianya yang kini mencecah 25 tahun, jelitawan tinggi lampai itu akur beliau perlu berdepan dengan pasang-surut dunia hiburan yang pesat berubah dan menuntut kecekalan daripadanya.

Lebih daripada itu, sedikit sebanyak beliau juga terkena tempias dan perlu menangani pandangan awam terhadapnya dan keluarga apabila abangnya, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz berdepan dengan dakwaan mencuri dan salah laku undang-undang, lewat tahun lalu.

Pelbagai video tular tentang keadaan Aliff yang berkecamuk, bergaduh atau dibelasah juga menjadi perbualan warganet di media sosial.

Namun di sebalik segalanya, Aisyah sebagai bintang muda yang bersemangat positif enggan cabaran atau kemelut keluarga yang dihadapi menggugat fokusnya dalam bidang seni.

Beliau yakin di sebalik segalanya ada hikmah yang lebih mengakrabkan keluarganya dan membulatkan tekadnya enggan mencalar maruah dan nama baik keluarga.

Hatinya membara ingin menggembira dan membanggakan ibu bapanya dengan pencapaian dalam dunia seni.

Terima kasih tidak terhingga juga Aisyah ucapkan kepada orang ramai yang prihatin dan mendoakan badai yang dihadapi Aliff akan berakhir dengan satu fasa perubahan.

Sebagaimana kata Aisyah yang ditemui di bilik dandanan Kampus Mediacorp sebelum konsert Suria Elektra sempena ulang tahun ke-20 Suria berlangsung:

"Saya akui dari tahun lalu, kami sekeluarga memang lalui tempoh kelam dan suram dek ujian bertalu-talu yang dihadapi. Apabila ada yang bertanya, 'Mengapa kami nampak 'okay' dalam video Instagram, macam gembira bagaikan tak ada hal, itulah cara kami mengawal keadaan yang sulit dan enggan terbawa-bawa dengan perkara yang melanda. Semua keluarga ada masalah sendiri. Kami yakin Allah akan beri huraiannya walau makan masa dan sesukar mana pun."

Daripada setiap ujian yang dihadapi, Aisyah lebih melihat ibunya, Cik S. Hafiza Basharahil, sebagai sumber inspirasinya yang bersemangat waja.

"Banyak yang ibu lalui secara bertubi-tubi tetapi saya akur beliau kini lebih terbuka sehingga membuatkan saya selesa berbual dengannya tentang perkara yang saya mungkin tak akan utarakan dahulu.

"Ibu tidak menilai atau mengomel. Hubungan kami seperti kakak dan adik sebab beliau sudi mendengar keluh-kesah saya. Dengan apa yang diharungi, saya akui betapa sukarnya tugas seorang ibu dalam memastikan kesejahteraan anaknya terpelihara.

"Saya sendiri takut kalau jadi ibu suatu hari nanti tetapi ibu selalu memberi jaminan, anak-anak itu amanah Tuhan. Walau ada hambatan dalam kehidupan, kita tidak boleh berputus harap, belajar untuk memaafkan dan melepas bebaskan bebanan fikiran.

"Terharu apabila ibu kata, saya boleh jadi cahaya yang menerangi kehidupan keluarga semula dan menjaga nama baik keluarga dengan memelihara amanah saya sebagai anak seni yang dapat terus berkarya dan mencari rezeki."

Lantaran itu, sejak akhir-akhir ini, Aisyah yang juga mempunyai seorang adik kembar, Nur 'Ain, tidak sedap hati duduk lama-lama di Kuala Lumpur meskipun peluang mencari rezeki lebih luas di situ.

Aisyah telah menjadikan Malaysia sebagai pangkalan seninya setelah dikenali sebagai finalis di pentas realiti Akademi Fantasia 2013.

"Saya selalu ingin bertanya khabar kepada ibu bapa saya. Tak sedap kalau melihat mereka risau selalu. Dalam tempoh sukar, saya harus ada di sisi mereka bagi menyejukkan hati mereka, memujuk mereka atau sekurang-kurangnya menemani mereka makan atau beriadah. Saya kira itulah pengorbanan kecil seorang anak.

"Saya lebih tabik pada kecekalan ibu. Beliau superwoman yang mengajar saya agar tidak terlalu ambil hati dengan kata-kata orang. Ujian adalah masa kami membina semangat bersepadu kami sebagai sebuah keluarga. Ternyata, bila dihujani ujian, ada selautan hikmah dan rezeki yang kami raih dan harus syukuri," tambahnya.

Kerana itulah, pelantun lagu popular Mimpi dan Bila Entah itu tidak berkecil hati jika ada teman dalam dunia seni yang tampak serba tidak kena, menjauhkan diri atau enggan berbual banyak dengannya.

"Saya tahu apabila isu abang ni timbul, ada yang canggung nak bertanya banyak kerana kami tak rapat. Ada yang kelihatan seperti dingin. Mereka pun tak tahu nak cakap apa, agaknya takut saya resan hati. Jadi lebih baik berdiam. Saya fahami situasi sebegitu, tidak ambil hati dan berbaik sangka.

"Usah ambil pusing sangat dengan mereka yang mengecam atau membenci. Sebabnya, masih ramai yang menyayangi dan mendoakan yang terbaik.

"Pesan saya juga kepada Abang Aliff, moga tempoh sukar akan membuatnya sedar, ramai yang sayang dan sudi membantu. Beliau juga harus membantu dirinya sendiri bagi atasi segala sebab perkara macam ni, harus datang daripada hati ikhlas si empunya diri. Ia tidak boleh dipaksa," ujar Aisyah penuh harapan.

Berbual tentang perkembangan terkininya pula, Aisyah teruja dengan projek terbaru berupa album EP Inggeris, The Live EP yang dirakam secara langsung dengan band pengiring. Ia mengandungi lima lagu - Sugar, Chasing Destruction, Love Like This, Escape dan Tame Me.

"Sudah lama saya impikan album Inggeris yang melambangkan cita rasa saya dalam muzik. Bersama label rakaman dahulu, saya menghasilkan lagu-lagu komersial buat orang ramai.

"Album Inggeris ini lebih pada genre muzik tukikan. Tanpa label rakaman, saya sendiri pelajari jerih payah menyimpan wang bagi membiaya kos menghasilkan album ini dan merakamkannya secara langsung, menulis lirik dan mengilhamkan melodi dari A hingga Z bersama teman-teman sekepala.

"Apabila kita bergerak bebas, dah tak ada label yang buat segalanya untuk diri kita. Dalam keadaan saya tak tahu, saya belajar untuk ambil tahu kesulitan bikin lagu. Saya bertukar-tukar fikiran dan memberi maklum balas tentang cita rasa saya.

"Ada lagu yang menceritakan tentang sudut pandangan orang ketiga dalam satu hubungan cinta. Tapi apa yang saya gembira, meskipun ini adalah album Inggeris, jiwa Melayunya tetap ada dari segi melodi sebab saya adalah anak Melayu yang masih tahu naluri kemelayuannya.

"Dalam menyebut lirik Inggeris, saya tekankan tak perlu nak slang macam 'Mat Salih' sebab saya bukan orang Amerika! Saya menyebut perkataan Inggeris sepertimana anak Singapura lain. Lebih penting maksudnya sampai.

"Penekanan saya lebih pada mutu dan keunikan suara dalam lagu-lagu saya ini. Tumpuan lebih pada suara itu adalah sumber ilham daripada mendengar vokal penyanyi kegemaran saya, Amy Winehouse, Adele dan Ella Fitzgerald," ujarnya yang menanti peluang merealisasikan impian merakam 'single' dengan seorang penggubah lagu Korea yang jelas Aisyah memiliki kaliber persis Datuk M. Nasir.


Album Inggeris ini lebih pada genre muzik tukikan. Tanpa label rakaman, saya sendiri pelajari jerih payah menyimpan wang bagi membiaya kos menghasilkan album ini dan merakamkannya secara langsung, menulis lirik dan mengilhamkan melodi dari A hingga Z bersama teman-teman sekepala... Dalam menyebut lirik Inggeris, saya tekankan tak perlu nak slang macam 'Mat Salih' sebab saya bukan orang Amerika! Saya menyebut perkataan Inggeris sepertimana anak Singapura lain. Lebih penting maksudnya sampai. Penekanan saya lebih pada mutu dan keunikan suara dalam lagu-lagu saya ini.
- Aisyah Aziz.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian