Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aktivis teater selongkar sejarah, jerih payah ‘Orang Seletar’

Selepas lima tahun, ‘Air’ dipentaskan lagi untuk ketengah isu relevan tentang perjuangan, penakatan dan identiti
Jul 11, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Rizman Putra, Dalifah Shahril dan Suhaili Safari menyelami nadi kehidupan Orang Seletar dengan mengetengahkan dilema, jerih payah dan suara hati mereka dalam pementasan teater verbatim, ‘Air’.
(Dari kiri) Rizman Putra, Dalifah Shahril dan Suhaili Safari menyelami nadi kehidupan Orang Seletar dengan mengetengahkan dilema, jerih payah dan suara hati mereka dalam pementasan teater verbatim, ‘Air’. - Foto JOSEPH NAIR

Menghirup udara segar sambil tidur pada waktu malam di restoran makanan laut terapung di Kampung Sungai Temun di Perling, Johor.

Bersembang dengan masyarakat Orang Seletar, memasak di tepian pantai sambil mencatat maklumat mengenai adat resam, budaya dan kehidupan seharian yang mereka lalui.

Inilah antara pengalaman berharga yang dilalui penggiat teater, Dalifah Shahril, 44 tahun, sewaktu membuat persiapan bagi teater verbatim pertamanya, Air, pada 2019.

Teater verbatim ini adalah pementasan yang menggunakan dialog asal Orang Seletar yang diperoleh menerusi sembang santai dan wawancara pelakon dan pengarah dengan masyarakat orang asli yang pernah tinggal di kawasan berhampiran perairan Singapura.

Selain Kampung Sungai Temun, mereka juga berkunjung ke Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang, Johor, yang juga menjadi kediaman baru Orang Seletar selepas terpaksa berpindah dari Singapura apabila negara ini melalui proses perbandaran.

Pada 2024, Dalifah sekali lagi mengulangi proses penerokaan kehidupan masyarakat Orang Seletar di kededua kampung, satu proses yang benar-benar membuka matanya.

Ini adalah bagi menyegarkan kembali ingatannya pada individu lama dan baru yang cebisan kehidupannya disorot dalam pementasan Air yang berlangsung di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, antara 12 hingga 14 Julai.

Kali ini, syarikat teater Drama Box ditugaskan Esplanade untuk mementaskan sekali lagi Air, yang sebelum ini disajikan di Taman Warisan Melayu pada 2019, bersama satu lagi pementasan berjudul Tanah.

Dalifah dan Suhaili Safari kembali lagi menjayakan projek ini, manakala Saiful dan Rizman Putra pula menggantikan Roslan Kemat dan Farez Najid dalam pementasan arahan bersama Adib Kosnan dan Kok Heng Leun.

Naskhah Air dihasilkan Zulfadli Rashid (Big).

Berita Harian (BH) menemu bual Dalifah, Saiful, 45 tahun, dan Zulfadli, 42 tahun, di ambang pementasan yang membuka lipatan sejarah, kisah perjuangan dan daya tahan Orang Seletar.

Bagaimana mereka bertolak ansur dengan perubahan dalam memastikan penakatan masyarakat dan lebih penting lagi identiti mereka kekal terjamin, menjadi antara teras pementasan ini.

Teater verbatim ini memberi gambaran tentang emosi, dilema dan takrifan hidup Orang Seletar dalam satu usaha mengekalkan warisan.

ZULFADLI TEKANKAN KEPENTINGAN TEROKA SEJARAH TIDAK TERTULIS

Sebagai penulis naskhah Air, Zulfadli mendapati sejarah dan kehidupan seharian serta warisan Orang Seletar ini masih lagi relevan untuk diselongkar dalam konteks masyarakat masa kini.

“Apabila pementasan ini disajikan buat kali kedua, saya pentingkan faktor seperti sama ada kisah yang dipaparkan masih relevan pada masyarakat masa kini.

“Sama ada ia cerita serba baru atau kita mengekalkan cerita yang lama atau ia tidak perlu lagi diceritakan, aspek relevannya pementasan ini perlu dititikberatkan.

“Apabila saya menghasilkan naskhah ini bersama maklum balas teman-teman, kita akur masalah Orang Seletar masih sama.

“Sebilangan penduduk Singapura kurang peka atau kurang tahu tentang kewujudan Orang Seletar. Terdapat kekosongan dan tanda tanya apakah Orang Seletar ini dikategorikan sebagai Orang Laut?

“Saya tertarik untuk ketahui bagaimana kehidupan mereka berubah? Apakah mereka kelompok yang dilupakan? Apakah mereka pernah dianggap sebagai Bumiputera di Singapura?” kongsinya.

Dalam zaman maklumat tanpa sempadan, Zulfadli berasakan sebilangan generasi masa kini sudah mula ingin tahu tentang sejarah yang tidak dipelajari dalam buku teks.

“Sejarah tidak tertulis dan menanti kesahihan adalah yang orang ramai termasuk anak seni ingin teroka dan ambil tahu. Bagaimana kehidupan Orang Laut sebelum Singapura mencapai kemerdekaan? Maklumat yang ada sangat terhad.

“Apakah sumbangan Orang Laut kepada kehidupan kita di Singapura? Walhal sumbangan mereka kepada kebudayaan dan ekonomi Singapura sangat besar.

“Sayangnya sebab tak ada budaya merakam sumbangan mereka dalam bentuk bertulis dan rakaman, yang muda tidak tahu tentang keberadaan mereka dalam konteks sejarah Singapura dan lebih awal daripada era kemerdekaan negara ini pada 1965,” kongsinya.

DALIFAH SELAMI CARA MASAK ORANG SELETAR

Bagi Dalifah yang bertuah dapat mengunjungi Kampung Sungai Temun dan Kampung Pasir Putih, kehidupan Orang Seletar di kededua lokasi ini amat berbeza.

“Di Kampung Sungai Temun, keadaannya agak moden walaupun mereka masih lagi keluar mencari rezeki di lautan.

“Saya lihat kegigihan mereka bekerja seharian. Walaupun diberi tempat tinggal, kami seronok duduk di atas restoran terapung, berbual sampaikan tertidur di situ. Saya dan Suhaili sempat membantu mereka memasak di dapur.

“Di Kampung Pasir Putih pula, suasana lebih tenang dan ‘chill’. Ada sahaja kerja nak dibereskan. Mereka tak nampak tertekan. Cuma perlu tahan panas dan penat.

“Mereka masak di tepi laut. Selalu masakan mereka tak gunakan garam, kicap dan rempah-ratus lain. Tapi kerana kasihankan orang Singapura macam kami dan bimbang kami tiada selera, mereka bawa kicap dan tomato untuk ditambah pada masakan mereka,” jelasnya.

BERLAKON TEATER VERBATIM MENCABAR BUAT SAIFUL

Saiful Amri berkata dalam pementasan Air ini, beliau membawa wataknya sendiri (seperti penemuramah Orang Seletar) sebelum beralih menjadi pasangan anak-beranak, Pak Salim dan anaknya.

“Saya kira berlakon dalam teater verbatim tidak semudah mana sebab ia berdasarkan fakta dan apa yang disampaikan perlu sama dengan apa yang Orang Seletar yang ditemu bual cakapkan.

“Kalau dalam sketsa lain mungkin kalau kita terlupa, kita boleh olah balik perkataan asal maknanya sama tetapi bagi teater verbatim, kita perlu sampaikan dialog dan emosi tepat.

“Saya tak berkesempatan menemui Pak Salim tetapi saya dapat lihat gambarnya dan mendengar tentang perjalanan hidupnya.

“Mendengar cerita mereka, kita pula yang marah tetapi saya lihat mereka relaks sahaja walau sedih,” ujar Saiful.

Nota: Tiket $40 (anggota Perkhidmatan Negara, warga emas dan golongan kurang upaya) dan $48 (penonton umum) boleh ditempah di laman Sistic. Pementasan disajikan di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, pada 3 petang (13 dan 14 Julai) serta 8 malam (12 dan 13 Julai).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg