Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aliff Aziz terkejut jaya bawa aura M. Daud Kilau

Jiwa juara GV8 berkobar-kobar buat persembahan, ditemani anak sulung, Ayden Adrian
Nov 15, 2023 | 05:30 AM



Dengan persembahannya yang bersahaja mendendangkan lagu Datuk M. Daud Kilau, Cek Mek Molek, yang sampai ke hati ramai, penyanyi dan pelakon asal Singapura, Aliff Aziz, akur beliau mengejutkan dirinya sendiri.


Persembahan Aliff di pentas All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada Ahad, di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merupakan di luar dugaan kerana sebelum ini, Aliff, 32 tahun, bagaikan masih malu-malu, kadangkala nampak resah dan gementar atau biasanya tampil ‘cool’ dengan lagu-lagu ‘urban’ atau mengikut selera orang kota.







Tahu-tahu, pelantun lagu Sayang Sayang ini dengan selambanya tampil dengan kot hijau berkilauan dalam kalangan penonton dan mula ligat bergelek dan berinteraksi dengan mereka.


Gelekan Aliff berterusan bak penghibur dangdut dengan laungan kekata “asyik” dilontarkan sampailah beliau naik pentas dan membuka butang kot dengan lancar tanpa mengabaikan interaksinya, membuatkan seluruh dewan MBSA bergema dengan sorakan dan tepukan gembira.

Aliff ternyata mempesona sehinggakan tiga juri tetap, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat kelihatan tersenyum sahaja dari kerusi mereka.

Warganet yang biasanya mengecam Aliff sebagai ‘penyanyi bisik-bisik’ (dek vokalnya yang tidak kedengaran jelas) mula memuji dengan menyatakan mereka menonton persembahan Aliff berulang kali.

Pada minggu kelapan pertandingan realiti Astro, ASGV, dengan tema ‘Funfair Tok Ram, Aliff ialah juara yang cukup menggegar pentas dan penghibur berpotensi besar. Dengan markah 78 peratus yang diraihnya, Aliff berada di tangga pertama peraduan yang menampilkan lagu pilihan Ramli selaku ketua juri.


Cabaran kali ini adalah memberi penyanyi lagu yang mereka tidak pernah bayangkan akan dipertaruhkan dalam sesebuah peraduan. Peserta diminta menggali sedalamnya tugasan lagu untuk mencari watak yang selari dengan konteks dan pengertian lagu berkenaan.

Ketika mengulas persembahannya dalam sidang media tengah malam yang disiarkan secara ‘live’ di YouTube, Aliff berkata:

“Alhamdulillah, saya tak pernah terfikir akan dapat tempat pertama, apa lagi dalam pusingan ‘Funfair Tok Ram’ ini. Aliff rasa Aliff telah kejutkan diri Aliff sendiri menerusi persembahan ini.

“Sebelum konsert setiap minggu, biasanya Aliff akan bergelut dengan bermacam emosi resah. Aliff akan fikirkan soal kesihatan suara lantas berlebihan berfikir sehingga menjadi bertambah gelisah.

“Alhamdulillah, kali ini Allah mudahkan urusan Aliff. Saya banyak berdoa. Masuk dewan sahaja, Aliff sudah rasa gembira dengan sambutan yang diberi penonton yang berhimpun pada malam itu. Mereka semua beri tenaga yang positif buat Aliff serap dalam persembahan Aliff. Kami semua terhibur.”

Aliff berasa sangat gembira pada malam itu, lebih-lebih lagi persembahan kali ini akan mencipta memori indah buat Aliff dan anaknya, Ayden Adrian yang tidak banyak ragam.

“Ada tak ada, Ayden sedikitbad mood’ tadi sebab dia nak main bola dengan kawan-kawan. Tapi Aliff pujuk dia cakap, dia perlu kerja dengan ‘Daddy’ malam ni. Moga apa yang terakam di pentas akan menjadi kenangan indah apabila Ayden besar nanti dan boleh menonton semula video kami menari bersama di ASGV.”


Menurut Aliff lagi, persembahan pada malam itu merupakan satu sanjungan penyanyi generasi muda sepertinya terhadap sumbangan dan pencapaian M. Daud Kilau sebagai ‘Raja Gelek’.

“Saya harap Datuk (M. Daud Kilau) takkan rasa marah kalau beliau menonton persembahan Aliff. Apabila kita buat persembahan menyanjung budi dan sumbangan artis veteran, ada ciri-ciri khas yang sinonim dengan artis itu yang perlu kita tampilkan. Beliau adalah legenda.

“Aliff tak rasa kekok sebab dah siap kostum dengan butang yang mudah dibuka. Saya tahu Datuk M. Daud Kilau kini sedang sakit. Saya berharap kita semua dapat mendoakan kesihatan beliau yang telah banyak meraih pencapaian dalam industri muzik Nusantara,” jelas Aliff lagi.

Pengalaman minggu kelapan amat dihargai Aliff sebab beliau berasakan apabila dipaksa melakukan sesuatu di luar zon selesa, seorang artis yang berfikiran positif akan mengambil peluang untuk belajar walau dalam keterbatasan masa.

“Saya pegang pesan Bonda Hetty Koes Endang. Kadangkala bukan lagu yang tak kena dengan kita. Kita yang kena belajar sesuaikan diri kita dengan lagu yang ditugaskan untuk kita.

“Misalnya, dalam saya membawa lagu Arjuna oleh Dewa 19. Saya tahu mungkin saya terlebih membuat persiapan bagi lagu itu. Bagaimanapun, macam ada yang tak kena. Kita ingat kita dah nyanyi sedap tetapi orang yang dengar cakap lain pula,” ujar Aliff.


Juara GV8 ini, bagaimanapun, tidak membaca komen media sosial tentang persembahannya kerana enggan emosinya terjejas.

“Saya manusia biasa. Kalau dah seribu jarum mencucuk, mustahil satu pun tak masuk. Namun, semua orang ada pendapat masing-masing. Kita takkan dapat memuaskan hati semua orang. Saya tak mahu baca komen kerana inginkan kejelasan minda saya apabila bertanding.

“Orang tidak tahu semua peserta memerah tenaga dan ‘pecah otak’ fikirkan konsep persembahan termasuk yang berada di tiga tangga atau dua tangga terbawah pertandingan. Saya sudah rasakan pengalaman berada di bawah.

“Saya hanya berharap warganet akan kekal menyokong semua peserta sampai ke peringkat akhir ASGV. Pastikan komen yang diberi positif dengan dada siber ini menjadi ruang sihat berkongsi. Kita orang Melayu/Islam. Kita sewajarnya wujudkan ruang dalam talian yang sihat dan lebih menghargai.

“Tak perlulah nak gosip atau nak kecam. Setiap peserta ada keunikan masing-masing. Kak Liza Hanim unik. Hady Mirza pun unik. Bukan untuk melaga-lagakan siapa lebih baik. Yang penting, kita semua ada perisa berbeza untuk kita sajikan. Kalau semua orang hidangkan hidangan yang sama, bosanlah jadinya.

“Pada akhirnya, ini hanyalah pertandingan. Kita harus lebih fokus memikirkan situasi selepas pertandingan. Saya bersyukur atas persahabatan yang dibina. Misalnya, saya kongsi sebilik di balik pentas dengan Hady Mirza. Beliau macam abang yang selalu ada untuk saya apabila saya terlalu memberi tekanan buat diri saya sendiri.

“Siapa jadi juara ASGV kelak? Itu rezeki masing-masing. Pertandingan ini hanya permulaan buat kami semua. Harap kita semua dapat bantu kurangkan tekanan dan berhiburlah seadanya,” kata Aliff.

Dalam konsert minggu kelapan Ahad lalu, peserta lelaki menunjukkan ‘taring’ masing-masing dalam memberikan hiburan terbaik dengan Naqiu di tempat kedua, Tomok di tangga ketiga dan Hady di tangga keempat.

ASGV bersiaran setiap Ahad, mulai 9 malam di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >