HONG KONG: Semikonduktor dan barangan terlarang lain yang dihantar melalui China dan Hong Kong untuk menyokong perang Russia jatuh sebanyak satu perlima pada 2024.
Penghantaran Barangan Keutamaan Biasa (CHPL) melalui Hong Kong – komponen termaju termasuk mikroelektronik, yang mungkin digunakan untuk perang Russia di Ukraine – jatuh 28 peratus antara Januari dengan Mei, kata seorang pegawai Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat.
Pada masa yang sama, pemindahan barang tersebut melalui China, tidak termasuk Hong Kong, jatuh 19 peratus, kata pegawai itu kepada Reuters.
Diminta mengulas, Jabatan Perdagangan merujuk Reuters kepada kenyataan awal yang menggariskan usahanya “menyekat akses Russia kepada teknologi dan barangan lain yang diperlukan untuk meneruskan perang kejam terhadap Ukraine”.
Kededua Hong Kong dan China dilihat oleh pemerintah Amerika sebagai pusat utama bagi Russia mendapatkan bahan untuk tenteranya, termasuk semikonduktor dan peralatan dron.
“Saya fikir ada sebab untuk sekurang-kurangnya optimis bahawa kami telah dapat memperlahankan beberapa perdagangan ini,” kata pegawai itu, tetapi menambah: “China masih menjadi kebimbangan nombor satu kami”.
Amerika dan sekutunya menuduh China menyokong perang Russia di Ukraine, sebahagiannya dengan mengeksport alat ganti dan peralatan yang diperlukan oleh pembuat senjata Moscow.
Jabatan Negara dan Perbendaharaan Amerika mengenakan beberapa pusingan sekatan ke atas entiti di seluruh dunia yang didakwa mempunyai hubungan komersial dengan tentera Russia.
Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata penurunan dalam aliran barangan terlarang adalah hasil daripada beberapa faktor, termasuk penguatkuasaan agresif oleh pihak berkuasa Amerika.
Data kastam 2023 daripada Pusat Pengajian Pertahanan Lanjutan (C4ADS) di Amerika menunjukkan bahawa dua daripada penghantaran Nvidia, bernilai AS$1.58 juta ($2.13) dan AS$1.21 juta, dihantar ke firma berpangkalan di Moscow bernama ‘Lotos’ oleh syarikat Malachor Electronics dengan alamat setiausahanya disenaraikan di sebuah bangunan pejabat mewah di daerah pusat perniagaan Hong Kong.
Pengarah Malachor, Encik Colin Stevenson, yang mempunyai alamat tersenarai di United Kingdom, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Antara Ogos dengan Disember 2023, sejumlah AS$17.6 juta barangan Nvidia telah dihantar ke Russia oleh penempah berpangkalan di Hong Kong.
Ia berlaku selepas barangan itu didagangkan di negara termasuk China, Taiwan, Turkey, Thailand, Serbia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), berdasarkan rekod kastam yang disemak. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg