Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Alyph cabar diri terbit album solo

Komposer SG yang banyak hasilkan lagu 'hit', terbit EP 'lll/lll'
Oct 13, 2021 | 05:30 AM



AWALNYA, penerbit, penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi Singapura, Alyph, menyangka menerbitkan album sendiri jauh lebih mudah daripada menghasilkan album buat nama besar dunia seni di seberang Tambak.



Sebelum ini, beliau bekerjasama menerbitkan lagu artis hip hop terkenal seperti Joe Flizzow, SonaOne serta kumpulan K-Clique ataupun kumpulan wanita De Fam, selebriti serba boleh, Zizan Razak dan Kaka Azraff, dan penyanyi bersuara emas, Adira.



Ternyata, menjana album EP solo dengan tiga lagu buat dirinya sendiri membawa cabaran lebih besar buat Alyph, 32 tahun, yang nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah.



Album III/III yang dinanti peminatnya itu setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu solo memuatkan tiga lagu, Adakah Kau Mendengar?, Skali Lagi dan Show Me Colours.



Ia dirancang sebagai trilogi lagu persis satu perjalanan filem di pawagam dengan permulaan, pertengahan dan kesudahannya.



Malah, ia membuka tirai bagi lebih banyak lagi kerja seni yang menampakkan kematangan, pengasahan kemahiran dan bakat serta kesegaran yang akan diusahakan Alyph selanjutnya dalam kerjaya yang dibina sejak usia remaja.



Ketika dihubungi Berita Harian melalui Zoom, Alyph menjelaskan idea bagi album EP dengan tiga lagu ini bermula selepas Adakah Kau Mendengar? dihasilkan sebagai 'single' unik yang membentangkan satu perjalanan muzikal.



"Apabila saya menghasilkan lagu ini, saya menyedari ia bukan lagu yang biasa dihasilkan kerana ada cerita satu perjalanan muzik yang panjang yang ingin saya kongsi.



"Maka, konsepnya menjadi ibarat filem trilogi. Ada permulaan dan pembuka tirai, ada kisah pertengahan dan ada penghujungnya atau penutup tirai," jelasnya dalam wawancara yang diselaras label rakaman Universal Music.



Ramai yang mengikuti dan mengamati kerjaya seni Alyph akur pada kerja kerasnya membina nama sebagai komposer asal Singapura di rantauan.



Berkat usahanya dan daya kreativitinya, beliau dianggap sebagai penghasil lagu 'hit' yang disegani malah mempunyai sentuhan emas dalam memancing ramai mendengar lagu-lagu ciptaan dan terbitannya.



Mimpi, lagu K-Clique yang menampilkan Alyph, merupakan lagu yang 'meledak' dua tahun lalu dengan klip video YouTube-nya ditonton lebih 55 juta kali sejauh ini.



Kerja seni terkininya, Ciao, yang dinyanyikan Joe Flizzow dan menampilkan rapper K-Clique, MK, serta bintang rap Korea, Jay Park, sudah distrim lebih dua juta kali dengan lebih tujuh juta tontonan di YouTube dalam tempoh setahun selepas diterbitkan.



Di sebalik kebiasaan menghasilkan lagu 'hit' buat bintang ternama, Alyph tetap merasakan sukar baginya bikin album buat diri sendiri.



"Memang payah buat lagu dan album buat diri sendiri. Ingatkan lebih mudah sebab ikut naluri dan keperluan sendiri. Sebaliknya, saya silap... macam lebih payah pula nak hasilkan album ini.



"Saya mempunyai pilihan menggantikan lagu. Namun, saya merasakan tiga lagu ini bak satu aliran bunyian yang elok dan enak didengar. Susunannya teratur dan cantik.



"Ia juga membuka selingkar kisah perjalanan muzik yang ingin saya kongsi," tambah Alyph.



Apabila diminta membuka cerita satu demi satu lagunya itu, beliau berkata Adakah Kau Mendengar? datang daripada suara hati yang kesunyian.



"Saya sedang mengembara ketika itu dan terasa kesunyian. Ia adalah perkara yang berlaku kepada kebanyakan orang yang kalut dan berada di tempat terpencil dan sunyi, mungkin di bilik hotel dan jauh daripada keluarga.



"Skali Lagi adalah satu gambaran kelam diri individu yang mahu melakukan sesuatu yang terlarang... bergantung pada sesuatu yang melukai diri mereka sendiri dan orang lain.



"Akhir sekali, Show Me Colours adalah lagu mencari kesudahan dan huraian pada pelbagai isu dan masalah yang dihadapi. Ia detik anda menyedari hanya anda sahaja yang dapat menentukan masa depan anda," cerita Alyph.



Di sebalik kepayahan menghasilkan album ini, beliau sukakan cabaran yang bertubi-tubi bagi menguji kemampuannya.



"Saya tiada sesiapa yang harus saya ikuti katanya atau mengikut konsep yang dimahukan.



"Saya harus dengar kata hati seorang sahaja iaitu diri saya sendiri. Justeru, saya perlu yakin dan percaya dengan hasil yang saya usahakan," tambahnya.



Bapa dua anak ini mempunyai prinsip tidak akan menghasilkan sesuatu yang sama setiap kali menerbitkan karya seni baru.



"Lima tahun mendatang, saya berharap karya muzik saya adalah sesuatu yang saya rasa sangat selesa dihasilkan.



"Pendengar akan tahu siapa Alyph sebagai seorang artis dan penerbit. Mereka akan mempunyai takrifan tentang muzik saya... bagaimana bunyiannya pada pendengaran mereka... ada tak sesuatu yang menjadi identiti Alyph yang dapat mereka kenal pasti.



"Moga karya saya kelak dapat memberi inspirasi dan mendorong lebih ramai lagi dalam kehidupan," ujarnya.



Apa lagi yang diperlukan dalam persada seni muzik Melayu kita yang kecil tetapi semakin ramai penggiatnya?



Kata Alyph:



"Saya harap penggiat muzik kita akan kurang mengeluh dan bising sana sini atau menyalahkan orang sekeliling atau keadaan kini.



"Pertingkatkan usaha. Kalau nak salahkan, salahkan diri sendiri dahulu. Gigih bekerja walau tiada yang pandang usaha anda. Fokus asah kemahiran dan mutu. Tanpa anda mencari perhatian, 10 orang atau lebih kelak akan pandang kerja seni anda."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >