PADA usia 68 tahun, penyanyi, pelakon dan penerbit kelahiran Johor Bahru, Aman Shah Abu Kassim, masih gigih bekerja keras demi mencari rezeki seperti zaman kegemilangannya pada tahun 1980-an.
Inilah yang diingati mereka yang mengenalinya malahan dalam pertemuan pertama dan terakhir Berita Harian bersamanya di majlis pertunangan anaknya Afrah Athasha Aman Shah di Singapura pada 3 September lalu, beliau secara ringkas berkata dirinya baru memulakan pekerjaan baru dua bulan lalu.
Tidak diduga, 11 hari selepas pertemuan kami, Aman yang dikenali kerana lagu-lagu pop seperti Adikku Pandai Menari, Telatah Hidup, Insan Permata dan lagu Hari Raya, Kepulangan Yang Dinanti, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur sekitar 2.20 petang kelmarin.
Berita pemergian Aman kerana serangan jantung dimaklumkan anak perempuannya di Singapura, Afrah Athasha (Zalelo), 23 tahun, juga seorang penyanyi dan penggubah lagu, yang terkejut dengan pemergian mendadaknya.
Mentelah pula, hubungan mereka yang lama terputus selepas Aman berpisah dengan ibunya, vokalis kumpulan duo Singapura, The Queens, Farah Diba Abdul Aziz, disambung semula tiga tahun lalu.
Afrah yang merupakan antara peserta program bimbingan muzik, The Great Singapore Replay (TGSR) Musim Kedua, berkata:
"Tak sangka Papa pergi secepat ini. Mulanya nampak 'okey' dan beliau masih boleh bergurau...cakap nak balik dari hospital sebab tiada selera makan.
"Walau bagaimanapun, saya hargai kesempatan meluangkan masa bersamanya selama lima hari ketika beliau hadiri majlis pertunangan saya di Singapura.
"Saya pun macam Papa... suka menyanyi dan berlakon. Yang pasti, saya akan ingat nasihatnya agar saya bekerja keras kalau ingin berjaya dalam bidang muzik.
"Papa pesan kepada saya agar jadi diri sendiri dalam berkarya dan perlu tahu apa misi saya dalam menjadi anak seni. Papa juga minta saya pandai jaga diri dan nama baik keluarga. Saya pula selalu pesan kepadanya, 'Papa jangan stres dan jaga kesihatan'."
Satu perkara yang tidak dapat Afrah kotakan kini adalah rancangan berduet dengan bapanya bagi lagu Kepulangan Yang Dinanti.
"Ternyata, Allah lebih menyayanginya," ujarnya.
Sebelum pemergiannya, Aman dikatakan telah dimasukkan ke IJN pada 9 September lalu tetapi menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten pada Selasa lalu.
Anak saudaranya, Mohd Naufal Abdul Latiff memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM) bahawa keadaan arwah kritikal dan tidak stabil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), petang kelmarin.
"Beberapa kali bantuan pernafasan terpaksa dilakukan. Namun, keadaan arwah tidak menunjukkan tindak balas yang baik.
"Pilihan terakhir, arwah terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, tak sampai tempoh satu jam, arwah menghembuskan nafas terakhir.
"Arwah sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan jantung, malah, pernah berdepan dengan beberapa serangan jantung, termasuk di rumahnya, dua minggu lalu," jelas Mohd Naufal.
Ketika penulis bertemu dengan Aman pada majlis pertunangan anaknya di Into The Woods@213 Lavender Street, beliau lebih banyak berdiam.
Beliau beberapa kali juga meminta pemahaman penulis untuk tidak mewawancaranya.
"Saya bukannya sombong tetapi inginkan privasi buat masa ini. Saya sudah lama tidak berbual dengan media Malaysia. Saya memohon pemahaman yang sama dari media Singapura.
"Doakan sahaja yang baik-baik buat anak saya, Afrah, dan kesihatan saya," katanya yang ada menyebut tentang penyakit jantung yang dialaminya.
Aman memulakan kerjaya profesionalnya dalam bidang seni pada 1979 dan menandatangani kontrak rakaman bersama label EMI antara 1980 hingga 1987.
Sebelum itu, beliau bergerak dengan band The Rembles yang merupakan Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971.
Sebanyak sembilan album sempat dirakamnya iaitu Bungaku (1979); Cinta Tak Seindah Diucap (1980); Dunia Orang Muda (1980); Ku Mengerti Erti Sepi (1981)l; Aman Shah 5 (1982); Enam (1983); Kisah Gadis Keriangan (1984); Terasing Dalam Sepi (1988) dan Asmara Terkenang: The Best Of Aman Shah (2004)
Allahyarham juga pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Darah Satria dan Aku Bukan Gila.
Rakan-rakan seni seperti Fauziah Ahmad Daud, Rahimah Rahim dan komposer Fauzi Marzuki turut mengucapkan salam takziah di media sosial masing-masing.
Penyanyi irama tradisional, Rojer Rozaidy Shukry menulis di Facebook:
"Betul orang kata, biasanya orang baik pergi dulu. Wahai abangku yang dirindui, baikmu tiada galang ganti, bahasamu sungguh berbudi, ramahmu tiada terperi. Mengapakah Abang tinggalkan saya begitu cepat sedemikian?"
Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, pula menyingkap kali terakhir bertemu dengan arwah Aman semasa penggambaran di Kedah.
"Kehilangan beliau sangat dirasai. Seorang seniman berjiwa besar dan sentiasa menghiburkan kami semua," jelasnya.
Allahyarham meninggalkan enam anak daripada tiga perkahwinan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg