WALAUPUN penglibatan penerbit, pemuzik, penyusun lagu dan penyanyi Singapura Amir Mansor dalam dunia hiburan setempat kurang daripada 10 tahun, banyak projek datang silih berganti untuknya usahakan sejak akhir-akhir ini.
Amir, 30 tahun, malahan terdedah kepada banyak projek seni termasuk menerbitkan lagu sendiri, bekerjasama dengan artis Singapura lain untuk lagu kolaborasi mahupun bagi projek solo artis atau 'band' berkenaan.
Mereka terdiri daripada Erwin Purnama dan Khaled, El Bonekas, Danial Baharin, Favourite Playlist, Natasha Mel, Diana Nazyra dan Syaz Smooth.
Salah satu lagu yang mendapat sentuhan Amir, Moga Kau Tahu dan Temui Dia oleh penyanyi Malaysia Fattah Fawzy, juga pernah dijadikan runut bunyi bagi drama Astro, Sweet Dreams, yang dibintangi Mira Filzah, Ben Amir dan Sean Lee.
Selain dihujani projek lagu Raya artis setempat, Amir juga terdedah dengan pengalaman menghasilkan lagu iklan atau 'jingle'.
Antara yang beliau kendalikan adalah lagu iklan bagi program dalam talian Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), The Alamak Stories, ejen hartanah Agent Shahid, agensi pembantu rumah dan khidmat pekerjaan Hilwah Maid Agency & Aurora Employment Services dan podcast Post TKI.
Salah satu projek unik Amir, finalis peraduan adubakat Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0. pula melibatkan ciptaan lagu Abata Tabata buat mengiringi senaman 'Tabata' yang berasal dari Jepun.
Pergas memperkenalkan 'tabata', sejenis latihan kecergasan lasak yang terbahagi kepada lapan set senaman lasak yang dikendalikan selama 20 saat bagi setiap set di wadah YouTube Pergas TV.
Dengan keupayaan Amir menerbitkan dan mencipta bermacam genre lagu daripada nasyid, balada, dansa, rok, 'soul', R&B, irama tradisional, lo-fi dan pop, beliau boleh dianggap sebagai karyawan muzik muda Singapura yang berpotensi besar mewarnai persada seni dengan kreativiti yang mencurah-curah.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Amir berkata:
"Hampir kesemua projek yang saya terima memberi kepuasan tersendiri. Cuma mungkin projek awal saya masih banyak ruang untuk diperbaiki kerana ilmu pengetahuan saya dalam bidang penerbitan belum mantap berbanding sekarang.
"Yang paling mencabar bagi saya pula adalah ketika diamanahkan menyiapkan album Zikir-Fi oleh Ustaz Ismail Hashim dan koleksi runut bunyi teater bangsawan Rintihan Engku Puteri yang dipentaskan Variasi Performing Arts.
"Buat kali pertama, saya perlu siapkan bermacam lagu dalam satu album. Zikir-Fi menyajikan campuran muzik moden dan bunyian etnik manakala Rintihan Engku Puteri pula persis bikin lagu filem dengan tema yang bersesuaian dengan pementasan berkenaan."
Dalam menghasilkan lagu buat teman setaman, Amir selalu pastikan lagu itu dihasilkan sebaik mungkin dan bukan setakat 'tangkap muat' untuk cepat disajikan buat pendengar.
"Salah satu formula yang amat penting sekali adalah keikhlasan menggalas amanah.
"Apabila kita ikhlas, orang dengar pun orang suka kerana boleh rasakan jiwa karya berkenaan," katanya lagi.
Amir yang sering dilihat turut mempromosikan karya teman-temannya di media sosial berkata:
"Silaturahim dan membina rangkaian sesama artis, penerbit dan pencipta lagu lain amat saya titik beratkan. Dengan membangun rangkaian kenalan, peluang untuk kita bikin 'show' atau pasarkan karya kita di sesi podcast dan sebagainya turut terbuka.
"Saya yakin dengan budaya berkongsi rezeki. Kalau kita saling membantu, persada seni kita yang kecil ini akan terus berkembang," ujarnya.
Apa yang boleh dijangkakan bagi 2023? Amir menjelaskan beliau mengharapkan lebih banyak kerjasama dengan bakat Singapura atau luar negara.
"Mudah-mudahan, ada rezeki terbitkan lagu buat artis terkenal di Singapura, Malaysia atau Indonesia.
"Saya juga ingin perkukuh jenama dan pemasaran saya dengan lebihkan kandungan bermanfaat di media sosial saya.
"Saya juga antara bakat yang menawarkan khidmat menghasilkan dan menyanyikan lagu peribadi untuk pelanggan kirimkan bagi sambutan hari lahir, majlis kahwin atau hari istimewa orang tersayang menerusi laman 'Duduu'," katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg