Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Gaya Hidup

Anak seni Al-Matin sedia terima perubahan

Sep 28, 2020 | 05:30 AM

Membangun kerjaya seni memerlukan ketekunan, pengurusan masa, jadual dan strategi yang dapat membina jenama lebih utuh. Dua bakat Singapura dalam bidang berbeza, mengacara dan berlakon, menceritakan sebab mereka memilih diuruskan syarikat pengurusan acara daripada bergerak sendiri. BERITA HARIAN melaporkan.


MUTIARA kata pembakar semangat daripada pelakon seni mempertahan diri, Bruce Lee, yang berbunyi, "Jadilah seperti air wahai kawanku..." menjadi sandaran aktivis teater dan pelakon televisyen, Al-Matin Yatim.

Baginya, seorang anak seni harus sentiasa bersedia menerima perubahan dan berani mencuba sesuatu yang baru.

Justeru, setelah menjalankan kerja belakang tabir buat syarikat MakBesar Pte Ltd, Matin, 31 tahun, dilamar sebagai bakat yang diurus firma penganjuran acara dan pengurusan bakat itu.

Kata bos MakBesar, Haryani Othman:

"Matin pelakon teater yang hebat. Saya pernah berlakon bersamanya dan mengambilnya sebagai pelakon sewaktu saya menulis skrip bagi DV Studio.

"Beliau berdisiplin. Rakan niaga saya, Firdaus, cepat-cepat memilihnya sejajar dengan arah tuju kami mengurus bakat lelaki yang tampan-tampan belaka!

"Selebihnya, Matin rajin, dengar nasihat dan berpegang pada agama. Pengurusnya, Lina dan Firdaus, berjaya mendapatkan tugasan buatnya dalam industri permainan elektronik (e-gaming) serta peranan utama dalam drama. Ini baru permulaan buatnya."

Ikuti wawancara bersama Matin bagi menyingkap perjalanan seninya.

Soalan (S): Bila Matin menyedari lakonan adalah bidang yang ingin diceburi secara profesional?

Matin (M): Saya mula berlakon sejak di Politeknik Temasek (TP) dan bergiat aktif dalam Kelab Drama Melayu. Saya banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja pementasan teater secara keseluruhan dan bukan hanya berlakon sahaja.

Saya juga berjinak-jinak dalam lakonan televisyen. Sewaktu tamat pengajian, saya pasang niat agar terus ceburi sektor seni pementasan dan amat berminat dengan dunia lakonan.

S: Apakah pementasan paling bermakna yang pernah dijayakan?

M: Sejujurnya banyak kalau nak disebutkan tetapi antaranya adalah pementasan It Wont Be Too Long bersama DramaBox.

Kami yang berlakon dalam sebuah kumpulan ensembel harus membuat persembahan di tanah perkuburan Bukit Brown sekitar 5.30 pagi. Menarik sekali.

Pementasan ini juga merangkul banyak pencalonan dalam Anugerah Teater Life The Straits Times.

Pementasan antarabangsa saya yang pertama di Braunschweig, Jerman, yang berjudul 10 Thousand Tigers arahan Ho Tzu Nyen, juga meninggalkan kesan. Saya berlakon bersama barisan pelakon hebat dari Singapura dan Jepun termasuk guru sendiri.

S: Bagaimana dunia teater Singapura kini?

M: Berbanding penggiat teater di negara Asean lain, penggiat teater di Singapura bertuah kerana mempunyai kemudahan dan sistem kerja lebih baik. Sebelum wabak Covid-19 melanda, Singapura mudah menganjurkan pelbagai pesta gah termasuk Pesta Seni Antarabangsa Singapura (Sifa).

Namun, usia teater di Singapura ini masih terlalu muda. Justeru, banyak yang harus diperbaiki, diperhalusi dan dicari demi menemukan identiti kukuh dan bermanfaat buat masyarakat dan perkembangan seni teater itu sendiri.

S: Apakah yang membuat anda selesa diurus MakBesar?

M: Saya bekerja dengan MakBesar sebelum Covid-19 sebagai kru belakang tabir. Namun, saya diambil sebagai bakat ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19.

Saya percaya semua kakitangan MakBesar amanah, bertanggungjawab dan memiliki wawasan memperkasa masyarakat Singapura khususnya orang Melayu.

Ketika baru tamat pengajian di Institut Teater Silang Budaya pada 2015, saya berdoa agar diizinkan menggunakan kemahiran teater saya demi khidmat buat masyarakat.

Saya amat berbesar hati kerana MakBesar menitikberatkan aspek kebajikan malah apa yang mereka usahakan melebihi jangkaan saya.

S: Apa misi Matin kini?

M: Seni itu harus diterapkan di dalam jiwa namun bukan karya dan bentuknya. Jikalau disimpan dan dipelihara dalam hati, ia akan makan diri sendiri. Ibarat menggenggam pasir di dalam tangan, terlalu kuat ia akan melukakan, terlalu ringan ia akan tertumpah.

Saya hanya ingin melihat masyarakat Melayu/Islam kita maju zahir dan batin. Dan sudah tentunya ianya harus bermula dengan diri dan keluarga saya sendiri.

Saya ingin melengkapi keperluan keluarga sebaik mungkin dengan harapan tiga anak saya yang berusia antara 10 bulan dengan empat tahun dapat membesar dalam suasana yang sihat dan afiat.

Saya juga melihat MakBesar menjadi teraju utama dalam pembentukan masyarakat yang maju dan sihat. Akhir sekali, macam Datuk Seri Siti Nurhaliza kata dalam lagunya, "Biarlah rahsia..." 

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian