Pemuzik ibarat sejarawan yang memuatkan khazanah warisan Singapura secara mudah dihadam untuk didengar dan dinikmati masyarakat umum. Ada kisah sejarah negara ini dari awal ia dipertemu dan pesat membangun sebagai negara yang mantap ekonomi dan landskap sosialnya. Ada cerita tentang kawasan kejiranan dan nama jalan yang menarik untuk ditinjau. BERITA MINGGU menemubual dua generasi pemuzik dan penggiat irama tradisional yang berkongsi kisah mereka menyajikan sejarah dalam muzik warisan yang dicipta.
PENGALAMAN menjayakan program seni di kejiranan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Arts In The Neighborhood, membuat penggerak kumpulan muzik tradisional Melayu, Gendang Akustika, Syafiqah 'Adha Sallehin, berfikir panjang.
Tertanya-tanya dalam hati komposer dan pemuzik ini mengapakah terhenti usaha mencipta lagu tradisional Melayu tentang Singapura, khazanah warisannya dan sejarah tempat, kejiranan dan nama jalan?
Atas dasar itulah, Syafiqah, 32 tahun, dan rakan-rakan seninya yang seiring sejalan mengusahakan beberapa lagu bernadikan patriotisme, keharmonian kaum dan warisan Melayu untuk disajikan dalam sebuah konsert.
Konsert sejam Dendang Warisan: Kota Singa yang diadakan di Chamber, The Arts House pada 2 petang dan 8 malam, Sabtu ini, yang disokong NAC dan Arts House Limited itu akan menyajikan lagu ciptaan Syafiqah, anak Melayu pertama yang lulus pengajian daripada Konservatori Muzik Yong Siew Toh di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Dipersembahkan bersama Gendang Akustika dan kumpulan dikir barat Nibong Tunggal, konsert ini meneroka takrifan tentang warisan dan pembangunan negara menerusi senarai lagu seperti Di Tanah Itu, Mana Orang Kita dan Joget Kota Singa.
Syafiqah bekerjasama dengan penggiat seni Hidayat Nordin yang menulis lirik bagi beberapa lagu baru sebagai memperingat hadirin tentang kedudukan dan proses penempatan semula orang asal sesebuah kawasan dan golongan penghijrah.
Sajian lagu dalam Dendang Warisan: Kota Singa ini merupakan naratif mengenai sesebuah tempat dan penduduknya di samping bagaimana mereka mencorak tempat berkenaan lantas mewujudkan sejarah gemilang yang diingati hingga kini.
Sumbangan bermakna pengasas dan ikon Melayu yang mencorak landskap sosial dan sejarah masyarakat Melayu seperti Ketua Rejimen Askar Melayu Pertama, Leftenan Adnan Saidi, pengasas kesusasteraan Melayu Moden, Munsyi Abdullah, dan mantan Presiden Pertama Singapura, Encik Yusof Ishak, akan turut dijulang dalam lagu Teraju Tiga.
Turut diberi penghormatan dalam konsert ini ialah dua tokoh muzik Singapura bernama 'Zubir' - Zubir Said dan Zubir Abdullah.
Menurut Syafiqah, lagu-lagu yang boleh didengar dan ditonton di YouTube ini merupakan sebahagian projek digital yang Gendang Akustika usahakan sewaktu pandemik.
Setelah kumpulan ini mencecah usia 14 tahun, tepat masanya untuk mereka tampil dalam sebuah konsert menghargai warisan Singapura.
Ikuti wawancara bersama Berita Minggu bersama Syafiqah di pejabat SPH Media baru-baru ini.
Soalan (S): Bagaimana tercetusnya idea konsert 'Dendang Warisan: Kota Singa' ini?
Syafiqah: Setelah 14 tahun berkecimpung dalam usaha menggerakkan Gendang Akustika dan mengambil alih kepimpinannya, saya tertanya-tanya mengapa kita kurang lagu Melayu tentang Singapura khususnya dalam irama tradisional seperti pada zaman pencipta lagu kebangsaan Majulah Singapura, Encik Zubir Said?
Saya teringat lagu ikonik Cikgu Zubir Abdullah, Zapin Telok Blangah. Ia mengambil sempena kisah bersejarah kawasan kejiranan di Singapura iaitu Telok Blangah.
Kami sebagai generasi muzik pelapis berusaha memperkaya lagi lagu Singapura dan cerita kita.
Apabila terlibat dalam program kesenian di kejiranan kendalian NAC, ia memberi kami ruang untuk meneroka sejarah sesuatu kediaman orang kita.
Sampai terhasillah lagu berirama inang berjudul Pasir Ris. Sepanjang proses mencipta lagu ini, saya belajar tentang sejarah Pasir Ris dan apa yang terkandung dalam warisan kejiranan itu.
S: Apa yang dianggap menarik secara peribadi tentang lagu-lagu yang disajikan dalam konsert ini?
Syafiqah: Bagi saya, kita dapat sama-sama memperingati ikon muzik seperti Pak Zubir melalui medley lagu ciptaannya, Pulang Merantau, Sayang Di Sayang, Orang Singapura dan Semoga Bahagia.
Kami juga memberi penghormatan kepada Cikgu Zubir yang saya amati kerja seninya sejak saya di Maktab Rendah Tampines (TPJC) lagi. Lagu Zapin Telok Blangah banyak memberi inspirasi.
Dalam seni kata lagu berirama zapin Di Tanah Itu pula, terdapat seni kata tersirat mengenai kisah legenda Singapura Dilanggar Todak dan Hang Nadim.
Antara yang menarik ialah lagu Mana Orang Kita yang memperingati orang Seletar. Kita selongkar tentang sejarah Orang Laut.
Kami juga ketengahkan seni dikir barat melalui penglibatan kumpulan Nibong Tunggal dalam lagu Teraju Tiga untuk mengenang jasa Leftenan Adnan, Munsyi Abdullah dan Yusof Ishak... bagaimana mereka dapat diteladani.
S: Apakah cabaran menghasilkan lagu-lagu ini?
Syafiqah: Kerana saya berganding bahu dengan penulis lirik Hidayat, saya perlu sesuaikan irama lagu yang dicipta dengan kata-kata yang sudah beliau hasilkan.
Kami perlu perbaiki satu atau dua baris lirik bersama. Ada beberapa lagu baru perlu dicipta dalam keterbatasan masa untuk konsert ini.
Tambahan pula, saya perlu mengimbangi tugas sebagai ibu yang baru juga menimang cahaya mata.
S: Bagaimana pengalaman bekerjasama dengan generasi muda untuk majukan irama tradisional?
Syafiqah: Alhamdulillah, ada beberapa orang yang sedang dilatih. Mereka teruja mencuba dan belajar berkat dorongan ibu bapa mereka. Yang termuda berusia 17 tahun dan meniup klarinet dalam pancaragam sekolah.
Dia dirujukkan kepada kami ketika ibu bapanya bertemu kami pada acara ulang tahun ke-40 Mendaki.
Ramai yang mempunyai latihan muzik pancaragam sekolah dan beralih kepada muzik Melayu tradisional untuk menimba ilmu baru dan memahami lenggok irama Melayu.
Saya fahami penyesuaian yang mereka perlu buat sebab saya juga terlatih dalam muzik klasikal sebelum meneroka irama Melayu. Kami dedahkan mereka kepada muzik tradisional Melayu secara perlahan dengan memberi mereka skor untuk dimainkan.
Semasa pandemik, anggota kumpulan dengan ilmu seni bunyi yang dipelajari di politeknik menggunakan kemahirannya untuk membantu kami bikin video digital.
S: Apa pandangan anda tentang muzik tradisional Melayu yang diberikan sentuhan muzik moden?
Syafiqah: Saya anggap proses adunan muzik tradisional dan moden ini ibarat menyiapkan masakan. Kalau nak campurkan yang asli dengan yang baru, kita pastikan peratusannya bertepatan atau bahannya secukup rasa.
Bagaimana nak kekalkan unsur tradisional atau sebanyak mana unsur moden yang ingin kita perkenalkan?
Paluan gendang boleh diselarikan dengan tiupan klarinet atau alto-saksofon, asal sahaja kita menggunakan kebijaksanan kita untuk capai keseimbangan bunyi dan mana-mana aspek yang dapat lebih mencantikkan sesuatu irama lagu tradisional Melayu itu.
S: Adakah lagu yang mencerminkan keharmonian kaum di Singapura dalam konsert?
Syafiqah: Raup Setangkup dengan penyertaan pemuzik bangsa lain, Calistta Liaw, yang bermain 'erhu' dan Maathavan Kalaichelvan, yang memetik 'veena'.
Ini irama gotong-royong dan kemajuan masyarakat majmuk. Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh.
Pada masa akan datang, saya merancang kerjasama dengan kumpulan muzik Cina, Persatuan Muzikal Siong Leng, untuk mementaskan muzik tradisional kita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg