Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anak seni SG dengan visi muzik baru tanpa abai seni warisan

Sarah Syazlina teroka genre muzik tenang 'lo-fi' dalam 'Risau', selain main bangsawan 'Sang Nila Utama'
Jul 31, 2022 | 07:39 AM



USIA muda 17 tahun bukan masa untuk bakat remaja Singapura, Sarah Syazlina Mohd Darni, main-main.



Di dalam kesibukannya membuat persiapan bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' akhir tahun ini, tawaran untuknya menyanyi dan berlakon turut datang mencurah-curah.



Sarah dilamar sebagai artis pertama label bebas Koolfellerz Music Group (KMG) yang diasaskan rapper Singapura, Atrez atau nama sebenarnya, Muhammad Nuridris Mohamad Samshuddin.



Minggu lalu, lagu yang diusahakan bersama Atrez, Risau, dengan genre baru 'lo-fi' yang menenangkan sudah berada di platform digital.



'Lo-fi' yang lebih berkembang pesat dalam muzik Indonesia berbanding Malaysia dan Singapura merupakan genre sampingan muzik elektronik yang berkongsi ciri muzik 'downtempo' dalam persada 'chillwave'.



Ia santai didengar dengan unsur muzik jaz, 'house', hip hop dan estetik yang dijana sendiri sang penggubah, diadunkan.



Kerana cintanya pada muzik menebal, Sarah juga sebahagian anggota band anak muda, The Bandquets, yang pernah membuat persembahan di Esplanade.



Pada masa yang sama, Sarah, pelakon drama Anak Metropolitan 4.0 yang baru melabuh tirainya Selasa lalu, juga terlibat dalam pementasan bangsawan Sang Nila Utama sempena Festival Bangsawan Singapura di bawah Anggerik Temasek Bangsawan.



Ia belangsung antara 5 hingga 9 Ogos di AuditoriumTaman Warisan Melayu (TWM).



Sebagaimana kata Atrez:



"Sarah adalah remaja yang sangat berbakat. Saya enggan melihat dia makan masa yang lama untuk kembangkan sayap seninya ke Malaysia atau Indonesia.



"Kerana saya dahulu pun mencari-cari arah tuju saya, saya ikhlas membantunya dan memberinya ruang berkarya agar kita sama-sama dapat tebarkan seni kita.



"Apabila saya usulkan muzik 'lo-fi' ini kepada Sarah, saya rasa ia bertepatan dengan usia mudanya. Dalam tempoh pandemik yang mencabar, muzik 'lo-fi' yang menenangkan membantu meredakan stres buat saya secara peribadi.



"Kerana ia tidak begitu dikenali di Singapura, saya rasakan mengapa tidak kita bikin lagu Risau dalam genre 'lo-fi' ini?



"Sebelum ini, Sarah menyanyikan lagu yang orang cipta buatnya. Tapi kali ini saya mahu dia mempunyai hak milik bagi lagu sendiri. Jadi dia berikan ideanya untuk saya kembangkan."



Sarah langsung teruja dapat meneroka genre muzik ini untuk Risau yang menceritakan tentang perubahan dalam hidup yang meresahkan remaja sepertinya.



"Lagu terbaru ini memang dekat dengan kehidupan saya. Sejak akhir-akhir ini, isu kesihatan mental menjadi topik besar buat remaja sebaya saya.



"Kadangkala kita rasa kita tidak memenuhi jangkaan orang. Kita mula risau tentang diri kita dan masa depan kita. Saya rasa teman-teman saya boleh kaitkan diri mereka dengan lagu Risau ini.



"Walau apa pun, apa yang saya cuba tekankan adalah apa jua kebimbangan dalam hidup tidak harus dijadikan alasan untuk kita payah jadi diri kita sendiri. Kita harus yakin diri dan kelilingi diri kita dengan orang-orang tersayang," tambahnya lagi.



Sebelum ini, Sarah telah menghasilkan beberapa lagu - Benar-Benar Lupa, Gurindam Lebaran dan Fasa.



Penglibatan Sarah dalam Anak Metropolitan 4.0 adalah yang terbesar buatnya sejauh ini.



"Bayangkan... saya dapat panggilan mengenai tawaran ini dan langsung terlompat-lompat satu rumah!



"Sebab Anak Metropolitan adalah jenama besar yang dikenali masyarakat Melayu yang menonton drama ikonik tentang samseng remaja ini.



"Saya hargai peluang berlakon dengan ramai pelakon veteran. Rafaat Hamzah jadi bapa saya. Ariati Tyeb Papar adalah ibu saya dalam drama ini.



"Ada Iskandar Shah dan Danial Ashriq yang memang dikenali ramai. Saya juga dapat 'sparring' dengan rapper Qis Maraj yang jadi kakak saya. Kami pernah jumpa dalam uji bakat peraduan Suara 2.0 tetapi tidak dapat bina persahabatan sehingga disatukan dalam Anak Metropolitan 4.0.



"Watak saya sebagai Natra pula mencabar. Saya budak baik, tak tergamak nak pekik-pekik pada ibu bapa saya. Tapi Natra ni 'terror' sampai kena sepak dengan ibunya. Saya betul-betul kena tampar dengan Kak Ariati.



"Memang ia adegan yang paling diingati tetapi ia bermakna buat saya. Saya banyak mengkaji dan meminta budi baik pengarah, Abang Faisal Ishak dan Abang Azroy, agar beri saya tunjuk ajar jadi pelakon lebih baik lagi," katanya lagi dengan nada teruja.



Semoden mana pun Sarah kelihatan, jiwanya kekal kemelayuan dan ingin tahu tentang adat istiadat berlakon dalam bangsawan.



Peranan sebagai Wan Sri Bini, isteri Sang Nila Utama, adalah yang kedua dibawakan dalam teater bangsawan selepas watak Dang Anum dalam pementasan Anggerik Temasek Bangsawan sekitar Februari lalu.



"Walaupun saya anak muda, saya sangat suka pelajari teknik lakonan orang dahulu kala dalam bangsawan.



"Tidak mudah dan tertekan saya jadi Dang Anum. Ada lenggok dan cara perbualan tertentu perlu diamati. Perbualannya tak macam sembang kita seharian.



"Ada adat yang perlu kita perhatikan. Saya belajar menangis spontan di pentas. Saya terokai budaya bangsawan dengan tunjuk ajar Encik Nadiputra dan Abang Saiful Amri. Menarik bagi saya untuk kenali khazanah warisan seni bangsa saya sendiri," jelasnya.



Banyak yang bermain di minda Sarah kini.



"Dengan The Bandquets pun, saya harap kami dapat bikin lagu kami sendiri dan masuk peraduan atau membuat persembahan di pesta band indie seperti Baybeats di Esplanade. Semua ini selepas kami semua tamat GCE 'O' dalam setahun dua ini.



"Saya takkan bataskan kegiatan seni saya dan ingin terus pertingkatkan ketukangan saya dalam lakonan, muzik dan tarian. Seberapa boleh pun, saya nak bantu rakan lain tampilkan bakat mereka," tambahnya.




"Lagu terbaru ini memang dekat dengan kehidupan saya. Sejak akhir-akhir ini, isu kesihatan mental menjadi topik besar buat remaja sebaya saya. Kadangkala kita rasa kita tidak memenuhi jangkaan orang. Kita mula risau tentang diri kita dan masa depan kita. Saya rasa teman-teman saya boleh kaitkan diri mereka dengan lagu 'Risau' ini."
- Sarah Syazlina.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >