Topic followed successfully
Go to BHkuAnak Sharifah Aini jual banglo mewah demi urus harta peninggalan sebaiknya
Anak Sharifah Aini jual banglo mewah demi urus harta peninggalan sebaiknya
Anak Sharifah Aini jual banglo mewah demi urus harta peninggalan sebaiknya
Anak Biduanita Negara, Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini, iaitu Aliff Omar Ali, mengambil keputusan menjual banglo mewah di Lorong Utara, Petaling Jaya, yang didiami bintang legenda itu ketika hayatnya, kerana mahu meneruskan kehidupan mengikut keperluan semasa keluarga.
Aliff, 42 tahun, menjelaskan sebagai pewaris, beliau perlu memikul amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dalam menguruskan harta peninggalan ibu mengikut syariat Islam, lapor laman Suria FM.
“Memang rumah itu banyak kenangan. Saya sangat sayangkan rumah kami itu. Saya sendiri dibesarkan di rumah itu tetapi selepas pemergian ‘Mummy’ (panggilan untuk Allahyarhamha Sharifah Aini) saya berasa rumah itu tidak sesuai lagi untuk saya tinggal bersama isteri dan anak-anak.
“Terus-terang, kos penyelenggaraan rumah itu memang tinggi setiap bulan, mencecah ribuan ringgit. Perkara ini telah berlarutan selama 10 tahun selepas ‘Mummy’ kembali ke rahmatullah.
“Jadi mulai 2016, saya meminta khidmat ejen hartanah untuk menjual rumah kami itu. Memang sejak itu, ada beberapa pihak berminat membeli dan datang berbincang dengan saya. Namun, semuanya tidak berhasil.
“Akhirnya, pada awal 2024, rumah kami itu dibeli syarikat pemaju Al-Ambia Sdn Bhd dan terserahlah kepada mereka untuk membangunkannya mengikut kehendak mereka,” kata Aliff dalam pertemuan eksklusif dengan Suria FM di Subang Jaya, pada 3 Julai.
Aliff, 42 tahun, berkahwin dengan doktor gigi, Nur Athirah Syed Azmi, 38 tahun. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Hamzah, sembilan tahun, Tasneem, enam tahun, dan Marwah, empat tahun.
Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini meninggal dunia pada 2016 akibat fibrosis paru-paru.
Aliff yang juga mantan pelajar Universiti Islam Madinah di Arab Saudi menjelaskan, beliau telah menguruskan segala pengagihan harta ibunya itu mengikut hukum faraid.
“Selain saya, arwah nenek (Allahyarhamha Sharifah Noor Syed Ahmad) juga adalah waris terdekat kerana ketika ‘Mummy’ meninggal dunia, nenek masih lagi hidup. Jadi, bahagian nenek itu sekarang pergi kepada waris terdekat nenek di Singapura.
“Sebenarnya bagi saya, apa yang lebih penting sekarang adalah kewajipan saya untuk menguruskan harta peninggalan ‘Mummy’ itu dengan sebaik mungkin, termasuk melangsaikan apa-apa hutang yang berbaki kerana itu tanggungjawab kita sebagai anak. Setiap keluarga Muslim juga akan melalui perkara yang sama.
“Jadi tidak mengapalah, lebih afdal saya menjual rumah kami itu kerana hasilnya dapat mengalir ke jalan yang baik dan pihak yang berhak selain mampu menyelamatkan rumah itu sendiri daripada rosak atau terbiar di masa depan,” ujar Aliff yang enggan menyatakan berapakah nilai sebenar jualan tanah dan rumah tersebut.
Namun, Aliff berkata, harga jualan bukan RM4 juta ($1.15 juta) seperti dilaporkan, sebaliknya, kurang daripada itu.
“Bagi saya, jumlah itu tidaklah penting untuk diperhebohkan kerana apa yang lebih penting saya bersyukur proses penjualannya lancar,” katanya.
Mengulas sentimen warganet yang menganggap banglo itu sepatutnya diselamatkan atau dijadikan galeri atau muzium, Aliff berkata:
“Ramai berkata, kenapa rumah ini tidak dijadikan muzium dan dipelihara sedangkan realitinya, tidak pernah pun mana-mana wakil kerajaan atau pihak muzium menghubungi saya untuk berbincang mengenai sebarang perancangan ke arah itu.
“Sukar bagi saya untuk tunggu 10 tahun lagi kerana tempoh 10 tahun yang sudah berlalu itu terlalu lama dirasakan. Bagaimanapun saya masih menyimpan banyak koleksi barang-barang peribadi ‘Mummy’ termasuk anugerah-anugerah yang diterimanya di satu premis lain andai kata ada pihak masih mahu menempatkannya di galeri atau muzium.
“Banyak juga perabot dan barang peribadi ‘Mummy; sudah dibeli oleh beberapa sahabat baik ‘Mummy’ selain peminat-peminat tegar,” kata Aliff yang memaklumkan dua pembantu rumah mereka yang amat setia, Bibik dan Mus telah pulang menetap di tempat asal mereka di Sumatera serta Jawa sejak 2021.
Aliff turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat dunia seni yang sering mendoakan kesejahteraan arwah ibunya ketika hayat dahulu mahupun sampai ke detik ini.
“Cuma saya sedih dan terkilan melihat banyak laporan yang tidak tepat mengenai penjualan rumah ini dan hal berkaitan ‘Mummy’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hingga mengundang komen keterlaluan warganet.
“Tetapi saya faham siapalah kita untuk menghalang manusia lain untuk bercakap dan kenalah banyak bersabar,” katanya lagi.

