PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata pada 15 September bahawa tapak keagamaan dan arkeologi terkenal di Kemboja, Angkor Wat, telah dinamakan sebagai tapak Warisan Dunia Unesco paling fotogenik di Asia oleh Times Travel.

Perdana menteri itu mengumumkan demikian dalam satu teks yang dimuat naik di saluran Telegram rasmi beliau, dengan senarai oleh Times Travel di bawah akhbar Times of India menunjukkan 10 tapak Warisan Dunia Unesco paling fotogenik di Asia.

Tapak warisan dunia lain di senarai tersebut termasuk makam megah India Taj Mahal; Hampi, ibu kota Empayar Vijayanagara purba; Tembok Besar China di Beijing; bandar purba Bagan di Myanmar; kuil Buddha Borobudur di Indonesia; Teluk Ha Long Vietnam; monumen bersejarah Kyoto, Jepun; tapak bersejarah dan arkeologi Petra di Jordan; dan Teres Padi Cordilleras Filipina (Rice Terraces of the Philippine Cordilleras).

Tapak di Asia ini bukan sahaja khazanah kebudayaan malah keajaiban juga bagi tatapan mata, menawarkan inspirasi yang tiada penghujungnya buat jurugambar yang mendambakan keindahan, sejarah dan gambar yang tidak boleh dilupakan, menurut Times Travel.

Angkor Wat merupakan salah satu kuil besar di Taman Arkeologi Angkor di barat laut wilayah Siem Reap.

Taman seluas 401 kilometer persegi itu menempatkan 91 kuil purba, yang dibina dari abad ke-9 hingga ke-13.

Taman purba itu, yang merupakan destinasi pelancong paling popular di negara Asia Tenggara tersebut telah menarik seramai 651,857 pengunjung antarabangsa dalam lapan bulan pertama 2024, satu peningkatan sebanyak 30.7 peratus dari tahun ke tahun, menurut satu laporan Angkor Enterprise yang dimiliki negara itu.

Tapak tersebut memperoleh pendapatan AS$30.3 juta ($39.3 juta) hasil penjualan tiket antara Januari dengan Ogos, peningkatan sebanyak 31 peratus dari tahun ke tahun, tambah laporan itu. – Agensi berita.