BINTANG baru yang namanya kian mengharum di Nusantara, Anna Jobling, berharap penonton akan menilainya dari segi bakat lakonan dan bukan hanya pada penampilan jelitanya.
Anna, 23 tahun, yang ditemui Berita Harian pada acara dagangan CelebFest di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec Singapore baru-baru ini melonjak naik nama dan kerjayanya selepas membintangi siri drama Melur Untuk Firdaus yang kini masuk musim kedua.
Atas permintaan peminat, beliau berkongsi skrin sekali lagi dengan gandingan serasinya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam atau dikenali sebagai Meerqeen.
"Saya mula berlakon sejak berumur 15 tahun dan orang mengenali saya. Bagaimanapun, saya sedang menunggu satu drama yang akan menjadi 'hit'.
"Tidak sangka bahawa drama bersiri Melur Untuk Firdaus memukau peminat terutamanya di TikTok," tambahnya.
Beliau yang juga seorang peragawati tidak menduga akan meraih kejayaan dengan drama 'hit' secepat ini kerana menyangka makan masa mencipta nama.
"Saya dan Meerqeen menganggap drama bersiri itu sebagai drama yang menyeronokkan dan kami sangat seronok menjalani penggambaran.
"Bagaimanapun, kami tidak memberi tekanan yang begitu besar kepada diri sendiri untuk memastikan drama itu menjadi 'hit'. Kami bersyukur kerana semuanya bagaikan sudah diatur, keserasian terbina dan segalanya datang secara semula jadi," jelasnya.
Kedua-dua bintang itu mencipta fenomena dalam talian, yang menyebabkan drama ini menjadi tular termasuk di Indonesia di mana ia meraih 11 juta tontonan tahun lalu dengan drama itu kembali melalui musim kedua.
Drama 'hit' itu juga telah membuka banyak peluang untuk Anna seperti menjadi duta produk dan mengembara di luar negara dengan lebih kerap lagi.
Beberapa jenama yang dimaksudkan itu termasuk Bata dan Vivo.
Bagaimanapun, Anna akur perlu berdepan dengan komen negatif warganet yang dianggapnya biasa.
Beliau malahan belajar menanganinya dengan baik tahun demi tahun.
"Ada yang akan mengatakan Melur Untuk Firdaus adalah drama Malaysia yang sudah boleh dijangka dan kelihatan biasa serta buat seseorang 'cringe' ataupun rasa geli-geman.
"Tetapi bagi saya sebagai pelakon, saya perlu kekal profesional dan mengikut apa yang dimahukan oleh skrip dan pengarah," tambahnya.
Dengan keserasian dan sensasi hubungan antara Anna dan Meerqeen yang menyebabkan peminat berharap mereka berdua adalah pasangan suami isteri, ia juga sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya.
"Pada penghujung hari, kami adalah dua individu yang berasingan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak membiarkan komen sebegitu menjejas kerjaya saya.
"Bermula dalam dunia lakonan bukanlah satu tugas yang mudah kerana ramai yang akan meninggalkan komen negatif mengatakan bahawa Anna terlalu putih dan saya seorang pelakon campuran atau kacukan yang kebiasaannya diketengahkan industri hiburan.
"Saya pernah menjadi perenang yang menyebabkan saya mempunyai bahu yang luas. Malah ada yang memanggil saya montel walaupun pada saya, ia kelihatan normal.
"Saya tidak pernah begitu mengambil berat tentang perkara ini sebelum memasuki industri ini tetapi ia tidak dapat dielakkan sehinggakan kita juga perlu berhati-hati.
"Tetapi pada akhirnya, jika mereka tidak dapat menerima saya seadanya, tidak mengapa," jelas Anna lagi.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Anna berharap beliau mampu beraksi di peringkat antarabangsa pada masa hadapan seperti di Indonesia.
Walaupun kerjayanya melonjak dengan pantas, pelakon yang rendah hati itu sentiasa memastikan bahawa beliau akan menjaga harga diri dan nilainya dan tidak terganggu oleh populariti dan ingin sentiasa membanggakan ibu bapanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg