Ikon dunia penerbitan majalah, Anna Wintour, akan mengundurkan diri sebagai Ketua Editor majalah fesyen berprestij, Vogue, Amerika Syarikat selepas 37 tahun memegang jawatan tersebut, menurut satu kenyataan media pada 26 Jun.
Wintour, 75 tahun, yang berasal dari Britain, merupakan salah satu tokoh paling berpengaruh dalam dunia fesyen dan kewartawanan gaya hidup selama beberapa dekad.
Beliau terkenal dengan kaca mata hitam yang tidak pernah lekang serta gaya rambut pendek potongan ‘bob’ sepanjang kerjayanya.
Beliau turut dianggap sebagai inspirasi kepada watak ketua editor majalah yang tegas dalam novel popular The Devil Wears Prada (2003) dan adaptasi filemnya pada 2006 yang dibintangi pelakon veteran, Meryl Streep.
Wintour mula mengetuai Vogue Amerika pada 1988.
Pada 1970, Wintour memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan fesyen sebagai salah seorang penolong editor di syarikat media Britain, Harper’s & Queen.
Menurut laporan majalah People, beliau mengumumkan pengundurannya dalam satu perjumpaan bersama kakitangan.
Walau bagaimanapun, beliau akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kandungan Sejagat bagi syarikat induk Conde Nast, serta Pengarah Editorial Vogue.
Wintour telah menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang kerjayanya.
Beliau dikurniakan gelaran Dame oleh Kerajaan Britain pada 2017 dan pada Februari 2025, dilantik sebagai Companion of Honour – satu anugerah eksklusif yang diberikan kepada individu yang memberikan sumbangan besar dalam bidang masing-masing dan terhad kepada tidak lebih 65 penerima pada satu-satu masa.
Dalam majlis penganugerahan tersebut yang diadakan di London pada Februari, beliau menanggalkan kaca mata hitamnya untuk menerima anugerah tersebut dan memaklumkan kepada Raja Charles III beliau tidak bercadang berhenti kerja dalam masa terdekat.
Beliau kerap digambarkan sebagai individu paling berpengaruh dalam industri fesyen sejagat.
Pemilihan muka depan majalah oleh Wintour sering dianggap sebagai penanda aras dalam dunia penerbitan, terutama pada era kemuncak pengaruh Vogue.
Beliau juga dikenali kerana kawalan ketat terhadap kandungan majalah dan kadangkala dilaporkan membatalkan artikel tanpa sebarang perbincangan.
Selain gaya rambut dan kaca mata hitam yang ikonik, Wintour sering tampil dengan pakaian bercorak terang dan motif bunga.
Beliau juga sering kelihatan memakai gaun atau blaus dan skirt dan jarang tampil memakai seluar.
Satu dokumentari pada 2015 yang mengisahkan tentang kehidupannya turut mengetengahkan imej beliau sebagai seorang yang berdisiplin dan berwibawa.
Namun, ia turut mendedahkan sisi peribadi beliau yang lebih mesra dan berperikemanusiaan. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg