Antartika secara umum merupakan cabaran utama bagi pengembara dunia yang berhasrat menjejakkan kaki di semua tujuh benua.
Setelah meneroka enam benua lain melalui lawatan ke pelbagai negara di Asia, Australia, Afrika, Eropah, Amerika Utara, dan Amerika Selatan, tanah beku di selatan ini menjadi bahagian terakhir dalam perjalanan benua global saya.
Keluasan, ketenangan, dan sifat terpencilnya membezakannya daripada mana-mana tempat lain.
Pada November 2023, semasa di Amerika Selatan, saya merancang melawat Antartika.
Perjalanan saya pada November 2024 bermula dengan siri penerbangan dari Singapura ke London, Madrid, Buenos Aires, dan akhirnya Ushuaia.
Maraton udara ini mengambil masa 33 jam, menunjukkan betapa terpencilnya Benua Putih.
Semasa saya menghampiri pelabuhan Ushuaia, kapal ekspedisi Ocean Nova muncul di ufuk.
Kapal ini sangat sesuai untuk ekspedisi Antartika, dengan reka bentuk yang kukuh yang pada asalnya dibuat untuk mengemudi perairan berais.
Kapal ekspedisi Ocean Nova menyediakan tempat tidur untuk kira-kira 70 penumpang, dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang pemerhatian, ruang makan, perpustakaan, dan pusat kecergasan.
Pelayaran Antartika datang dalam dua jenis utama: kapal persiaran besar untuk pemandangan dari atas kapal, dan kapal ekspedisi yang lebih kecil untuk pendaratan di Semenanjung Antartika.
Laluan Drake, satu rentangan air yang hebat, terletak di antara titik paling selatan Amerika Selatan di Cape Horn dan Kepulauan Shetland Selatan Antartika.
Koridor maritim ini menghubungkan bahagian barat daya Lautan Atlantik dengan bahagian tenggara Lautan Pasifik, memanjang ke Lautan Selatan yang luas.
Terkenal dengan sifatnya yang bergelora, Laluan Drake merupakan salah satu lintasan laut yang paling mencabar di dunia, dengan arus yang tidak dapat diramalkan dan kuat.
Keadaan laluan ini terkenal dengan sifatnya yang berubah-ubah.
Pada mana-mana hari, kapal mungkin menghadapi lintasan yang tenang atau menghadapi ombak besar setinggi 8 meter.
Ketidakstabilan ini sukar diramalkan, dengan keadaan gelora Laluan Drake tidak mempunyai kaitan dengan musim.
Semasa pelayaran selama dua hari, saya bergelut dengan keadaan mabuk laut yang teruk semasa kapal kami mengharungi air yang bergelora.
Tugas mudah menjadi sukar gara-gara pergerakan kapal yang berterusan.
Nasib baik, preskripsi ubat berkesan dalam mengurangkan gejala saya.
Kelegaan ini membolehkan saya menangani ketidakselesaan yang dirasakan dengan lebih baik.
Ketibaan saya di Antartika disambut dengan pemandangan yang mengagumkan: gunung-ganang hitam yang megah diselimuti salji glasier, dibingkai oleh bongkah ais putih-dan-biru yang besar terapung di laut kelabu.
Kami belayar melepasi Pulau Livingston dan Bukit Edinburgh, formasi gunung berapi yang menonjol dari basalt olivin turus, ditabalkan dengan lapisan tuf (sejenis lapisan pada batu), berdiri megah kira-kira 120 meter di atas laut.
Selepas dua hari di laut, semua orang di atas kapal bersemangat untuk menjejakkan kaki di darat dan bersua dengan hidupan liar serta ais.
Pendaratan pantai pertama kami adalah di Pulau Half Moon, rumah kepada pelbagai spesies anjing laut dan penguin.
Pendaratan di benua membolehkan kami bersua dengan penguin dan anjing laut, dan meneroka kawasan itu.
Pengembaraan ini membentuk teras pengalaman Antartika yang sebenar-benarnya, dengan masa seolah-olah berlalu begitu cepat sedang kami mengagumi sekitaran semula jadi.
Pasukan ekspedisi mahir mencari peluang terbaik untuk mempamerkan benua itu, dan kepakaran mereka menambah pengetahuan kepada pemerhatian kami.
Protokol ketat mengawal aktiviti di darat.
Semua barang perlu dibersihkan dalam tab disinfektan (nyah kuman) sebelum menyentuh darat.
Pelawat dilarang duduk, melutut, atau berbaring di benua semasa pengembaraan di pantai.
Jarak minimum 5 meter dari hidupan liar adalah wajib.
Selepas itu, kami menyambung pengembaraan untuk meneroka kawasan lain.
Kami mengulangi rutin persediaan kami dan menaiki bot Zodiac, kali ini menuju ke Pelabuhan Yankee di Pulau Greenwich.
Pulau itu menyambut kami dengan pantainya yang berbentuk bulan sabit dengan pasir dan batu kerikil.
Tapak ini kini berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi penguin dan anjing laut.
Semasa kami menghampiri, aroma khas koloni penguin memenuhi udara, peringatan kuat tentang hidupan liar yang memenuhi persekitaran penuh kepayahan ini.
Walaupun tumpuan utama ekspedisi Antartika adalah pendaratan pantai dan pelayaran zodiac, pemandu ekspedisi Ocean Nova menawarkan program sesi pendidikan yang kaya, meliputi pelbagai topik.
Ini merangkumi bengkel fotografi praktikal hingga penerokaan mendalam sejarah Antartika, dan hidupan liar.
Yang sangat menarik adalah inisiatif Sains Warganegara, yang membolehkan penumpang menyumbang secara aktif kepada projek penyelidikan yang sedang dijalankan.
Meskipun banyak aktiviti di atas kapal bergantung kepada pilihan masing-masing, taklimat lain adalah wajib bagi semua pelancong.
Sesi wajib ini termasuk Taklimat Keselamatan, Orientasi Operasi Persatuan Antarabangsa Pengendali Pelancongan Antartika (IAATO) dan Zodiac, ‘Parti Vakum Biokeselamatan’ sebelum pendaratan pantai, dan Rancangan Penurunan.
‘Parti Vakum Biokeselamatan’ adalah proses yang menuntut semua pelawat mesti membersihkan dan memeriksa peralatan mereka dengan teliti bagi melindungi persekitaran Antartika.
Protokol yang ketat ini menekankan tanggungjawab besar yang dipikul oleh setiap pelancong dalam memelihara keseimbangan ekologi Antartika yang sensitif.
Dalam perjalanan ke Pulau King George, Ocean Nova membuat pelayaran pemandangan ke kelompok aisberg (bongkah ais), menawarkan pemandangan formasi ais purba yang tiada tandingannya.
Setiap bongkah ais menunjukkan aspek berbeza keindahan Antartika, dari tebing biru yang curam hingga bentuk yang rumit hasil ukiran angin.
Pelayaran ini bukan sahaja menyediakan peluang foto yang mengagumkan bahkan membolehkan saya benar-benar menghayati keluasan benua beku itu sebelum tiba di Pulau King George.
Di Antartika, konsep masa yang konvensional hilang maknanya.
Benua ini merentangi setiap meridian, merangkumi semua zon waktu. Meridian adalah garis khayalan yang merupakan bulatan yang membelah bumi dari kutub utara ke kutub selatan.
Persepsi saya tentang masa asyik berubah-ubah. Kadang kala saya dapati diri saya benar-benar terpesona dengan landskap menakjubkan itu sehinggakan masa berlalu tanpa disedari.
Ketersergaman Benua Putih terbukti mustahil untuk dihiraukan.
Ada sesuatu yang akan membuat hati rasa terharu tatkala sedang menghayati persekitaran yang sebahagian besarnya tidak tercemar sepanjang ribuan tahun.
Pengalaman ini menjadi peringatan kuat tentang keagungan alam yang abadi dan tempat kita di atas muka bumi ini.
Penulis seorang penjawat awam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg