Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anuar, Ziana ingin peminat bersatu meski beza cita rasa

Penyanyi dua beradik dari M'sia bakal hiburkan peminat S'pura pada 24 Sep di The Star Theatre
Sep 15, 2022 | 05:46 AM



APABILA penyanyi dua beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain, bergabung tenaga bagi mengadakan konsert bersama di Malaysia dan Singapura, mereka hanya ingin mewujudkan aura positif menghibur peminat sesudah kegetiran pandemik Covid-19.



Mereka enggan melihat perpecahan dua puak peminat malahan bersyukur pada 6 Ogos lalu, konsert di Plenary Hall, KLCC, mampu menyatukan pencinta muzik yang sudah lama merindui persembahan 'live' disajikan pada skala besar.



Justeru, dalam konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Singapore 2022 yang dibawakan Live Nation Singapore dan Trumpet International Sdn Bhd di The Star Theatre pada 24 September ini, kededuanya mengharapkan penyatuan serupa.



"Saya tidak rasa unsur negatif menyelinap dalam kalangan penonton walaupun kelompok peminat Anuar Zain dan kelompok peminat Ziana Zain berbeza.



"Peminat adalah tunggak kejayaan seseorang penghibur seperti kami. Saya dapat lihat peminat saya nyanyikan lagu Anuar. Peminat Anuar pun dapat nyanyikan lagu saya. Aura yang mereka beri mengalirkan tenaga luar biasa buat kami berdua.



"Kesyukuran dapat saya rasakan melihat suasana sebegini. Kalau awak cintakan Ziana, awak akan cintakan Anuar dan sebaliknya juga.



"Saya harap setiap peminat dapat datang dengan minda yang terbuka dan hati yang bersih untuk menerima dan mendengar sajian hiburan kami.



"Kita perlu akur, setiap penyanyi bawa kelainan persembahan tersendiri. Ini juga penting bagi setiap persembahan yang anda hadiri di luar sana. Tak perlulah nak mengecam dan nanti peluang melakukannya di media sosial dengan tujuan melaga-lagakan. Tak perlulah membanding-bandingkan," jelas Ziana, 54 tahun, dalam wawancara Google Meet bersama Berita Harian baru-baru ini.



Anuar, 52 tahun, yang terkenal dengan lagu Lelaki Ini dan Sedetik Lebih pula berkata kali pertama beliau bersama kakaknya Ziana dalam satu persembahan sepentas adalah pada 2011 di Esplanade.



"Saya bertuah mempunyai seorang kakak yang penuh inspirasi dan merendah hati seperti Ziana Zain.



"Melalui konsert sebegini, kami ingin membahagiakan peminat. Kami ingin tambah peminat dan kekalkan peminat.



"Sebelum ini, saya jarang dapat pergi ke konsert Ziana sebab sibuk bekerja. Sekali-sekala saya temankan beliau, saya dapat lihat sendiri bagaimana orang ramai tenggelam dan 'disihir' oleh persembahannya.



"Betapa bertenaganya Ziana di pentas sehingga dapat mengawal suasana seluruh pentas. Penonton memang sayangkannya dan ikuti apa yang beliau minta mereka lakukan. Beliaulah ratu setiap kali ada di pentas.



"Ziana seorang kakak yang penyayang. Saya dapat rasakannya ketika kami berlatih dan saya menghadapi cabaran tertentu. Beliau selalu ada di sisi saya. Kadang dirinya tidak tahu tahap tinggi apa yang telah dicapainya.



"Orang kata beliau legenda tetapi beliau tidak berbangga dan tidak berasakan itu gelaran yang sesuai buatnya kerana sejujurnya tugasnya dibuat kerana keikhlasan hatinya mencari rezeki dan nyala rasanya pada seni," kongsi Anuar pula.



Ditanya apakah mereka memang merancang kerjaya serupa kerana sama-sama pernah menjadi pramugara atau pramugari dan selanjutnya berlakon, Anuar berkata:



"Saya sebenarnya sudah tidak mahu lagi menyanyi selepas meninggalkan fasa menjadi penyanyi cilik. Saya tak fikir orang mampu menerima Anuar yang sudah dewasa ketika itu.



"Lantaran itu, saya memang merancang kerjaya pramugara dengan harapan akan kerja di Malaysia Airlines sampai saya pencen.



"Tanpa saya duga, ibu saya bertanya, "Kau tak nak nyanyi lagi, nak?"...Apabila dapat kata-kata daripada ibu yang jarang berkata banyak, saya menganggapnya sebagai doa dan restu. Beliau memang tidak pernah memaksa dan menggalakkan. Beliau beri kami pilihan.



"Ziana, kakak saya adalah anak seni yang berjaya hingga hari ini. Saya juga mengikut jejak langkahnya berlakon dan muncul dalam filem Bintang Hati dan Soal Hati tetapi tidak sepertinya, saya rasa lakonan bukan untuk saya."



Seperti dalam bidang nyanyian, lakonan juga bukan sesuatu yang Ziana lakukan untuk kecapi kepopularan.



"Apabila pengurus besar saya dahulu, Abang Aziz Bakar, memberitahu beliau dapat panggilan daripada pengarah Datuk Yusof Haslam, yang ingin melamar saya bagi filem Sembilu, saya terkejut sebab tiada asas lakonan. Masuk kelas lakonan pun tak pernah.



"Abang Aziz kata, tak apa... cuba sahaja. Saya masih ingat saya, Awie dan Erra Fazira berada di pejabat Datuk Yusof. Sampai sejam baca skrip.



"Tak faham nak jadi orang lain. Bagaimanapun, apabila melihat Sembilu 'meletup' dan Sembilu II dapat kutipan lebih RM6 juta ($1.9 juta), saya dan Erra pun terperanjat.



"Datuk Yusof berkata sudah menjadi rezeki kami. Allah beri jalan untuk bina kerjaya seni. Saya teruskan dengan Maria Mariana dan selepas itu, saya sibuk bikin konsert dan urus rumah tangga. Setelah kelahiran anak kedua, saya berlakon dalam filem Pontianak Menjerit.



"Sekarang ini, pada usia sebegini, saya lebih selesa berlakon telefilem dan ia dilakukan setakat untuk melepaskan rindu berkumpul dalam set dengan teman-teman.



"Sejujurnya, saya tiada niat nak masuk bidang seni untuk jadi popular. Tapi alhamdulillah, album pertama, kedua dan ketiga terima sambutan baik. Begitu juga dengan filem-filem saya. Saya menganggapnya sebagai rezeki.



"Apabila orang cakap saya legenda dan sudah sampai 'level' tertentu, saya tidak fikir begitu. Saya dan Anuar menghiburkan ramai untuk berikan secebis kegembiraan buat peminat kami. Tak fikir apa-apa pun. Kami hanya sukakan seni dan cari rezeki," jelasnya yang dikenali dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa.



Tiket konsert antara $108 dengan $288 boleh ditempah di dalam talian www.ticketmaster.sg, talian 3158-8588 dan cawangan SingPost.




"Saya bertuah mempunyai seorang kakak yang penuh inspirasi dan merendah hati seperti Ziana Zain.

Melalui konsert sebegini, kami ingin membahagiakan peminat. Kami ingin tambah peminat dan kekalkan peminat. Sebelum ini, saya jarang dapat pergi ke konsert Ziana sebab sibuk bekerja. Sekali-sekala saya temankan beliau, saya dapat lihat sendiri bagaimana orang ramai tenggelam dan 'disihir' oleh persembahannya."

- Anuar Zain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >