SIRI drama tentang dinasti media yang tergugat dalam drama HBO, Succession, memenangi Anugerah Drama Terbaik pada Anugerah Emmy yang berlangsung pada Isnin malam (13 September). Ini merupakan kali kedua siri drama itu memenangi anugerah tersebut.
Pencipta drama berkenaan, Jesse Armstrong, turut membawa pulang piala Emmy bagi penulisan terbaik, kali ketiga beliau memenangi kategori tersebut manakala Matthew Macfadyen meraih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Dalam Drama buat kali pertama bagi lakonannya dalam drama itu.
Ini adalah kali keenam dalam lapan tahun di mana HBO meraih jumlah anugerah terbanyak industri televisyen bagi siri yang berulang, menjadikannya satu lagi malam penuh kejayaan buat rangkaian kabel HBO serta khidmat penstriman HBO Max. Mereka telah merangkul lebih banyak piala Emmy iaitu 38 keseluruhannya berbanding pesaing mereka, Netflix, yang menerima 26 piala.
Drama komedi The White Lotus yang berlatarbelakangkan pusat peranginan di Hawaii pula memenangi Anugerah Siri Drama Terhad Terbaik dan turut mencipta kemenangan dalam beberapa kategori lain. Ia membawa pulang 10 piala Emmy, melebihi daripada siri lain.
Mike White, pencipta dan pengarah drama ini, memenangi piala Emmy bagi pengarah terbaik dan penulis naskhah terbaik. Pelakon Murray Bartlett dan Jennifer Coolidge pula menerima piala Emmy untuk lakonan.
"Mike White, anda telah memberi saya salah satu pengalaman terbaik dalam kehidupan saya," kata Bartlett yang membawa watak sebagai pengurus hotel ketika menerima anugerahnya.
Sungguhpun begitu, kisah si kaya bukannya satu-satunya yang mencipta kejayaan pada majlis gilang-gemilang itu.
Siri sukan Apple TV+, Ted Lasso, pula memenangi Anugerah Komedi Terbaik bagi dua tahun berturut-turut. Apple TV+ yang memulakan khidmat pada November 2019 memenangi Anugerah Filem Terbaik pada acara Oscar (CODA) awal tahun ini.
Jason Sudeikis pula mengulangi kemenangan yang membawa pada Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Komedi. Beliau membawa watak sebagai jurulatih bola sepak yang menggelepah dalam drama Ted Lasso ini.
Anugerah Emmy ini juga turut menyaksikan pencapaian menggalakkan dalam karya komedi. Quinta Brunson, pencipta sitkom tempat kerja, Abott Elementary, tentang sekumpulan guru sekolah rendah di sekolah awam Philadelphia yang kurang dibiaya, memenangi Anugerah Penulisan Naskhah Komedi. Ini adalah kali kedua seorang wanita kulit hitam memenangi anugerah ini. Wanita kulit hitam pertama yang meraih anugerah serupa adalah Lena Waithe bagi Master of None.
Pelakon Abbott Elementary, Sheryl Lee Ralph, menerima piala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam peranannya sebagai guru veteran sebuah sekolah. Ralph menerima anugerahnya sambil menyanyi lagu Endangered Species oleh Dianne Reeves. Beliau langsung menerima tepuk sorak sanjungan daripada calon lain.
Kemenangannya juga amat bersejarah. Ini adalah kali kedua seorang wanita kulit hitam menerima anugerah berkenaan. Kali terakhir adalah pada 1987 apabila Jackee Harry memenangi anugerah yang sama untuk peranannya dalam sitkom NBC, 227.
Ini adalah tahun paling berdaya saing bagi Anugerah Emmy. Penyertaan pencalonan bagi semua kategori bertambah dengan 2022 kemungkinan besar menjadi tahun yang mencatat satu lagi rekod bagi jumlah siri televisyen berskrip paling banyak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg