PENARI, jurutari, pelakon, penyanyi, pengarah dan penerbit ikonik, Debbie Allen, menerima pengiktirafan tertinggi dunia televisyen, Anugerah Gabenor, pada Anugerah Emmy yang diadakan pada Ahad (19 September).
Peneraju drama televisyen popular 'Fame' berterima kasih kepada mereka yang mencetus inspirasi buatnya menjadi tokoh wanita dalam industri hiburan.
"Saya kini menggeletar dengan penuh kesyukuran dan penuh kerendahan hati. Saya cuba untuk tidak menangis dan bersikap neutral pada situasi ini kerana segalanya makan masa yang panjang buat saya dalam industri televisyen ini.
"Banyak keberanian diperlukan untuk jadi satu-satunya wanita dalam sesuatu usaha kebanyakan masa. Banyak keberanian dan kreativiti serta perjuangan dan kepercayaan yang diperlukan agar saya terus betah dalam industri.
"Saya telah melakukannya dan saya membawa ramai orang bersama saya," jelas bintang berusia 71 tahun ini ketika menerima anugerahnya di Event Deck di Downtown Los Angeles, California.
Beliau mengucapkan penghargaan buat keluarga, rakan sekerja, penari, jurutari dan kru belakang tabir yang berbakti tanpa dikenali yang telah banyak membantu orang di hadapan kamera mengecapi kejayaan dalam kerjaya seni mereka.
Allen mencipta kejayaan dalam kerjaya empat dekadnya termasuk memperolehi lima Anugerah Emmy - dua bagi 'Fame', satu bagi 'Motown 30: What's Goin' On!' serta dua lagi tahun ini bagi 'Christmas on the Square'.
Beliau adalah wanita kulit hitam pertama yang menerima pengiktirafan Anugerah Gabenor. Menurutnya kepada laman Variety, ia adalah petanda beliau harus terus menjana karya seni yang berkesan.
"Melihat nilai kerja anda berdiri tinggi memberi saya isyarat saya harus terus melakukannya. Saya harus menentang arus masa. Banyak yang ingin saya laksanakan. Ia bukanlah masa untuk goyang kaki dan berpuas hati. Anugerah ini bererti saya harus terus menyemai benih-benih seni sepertimana yang saya selalu yakini.
"Biar detik ini dapat dihadam wanita merentas dunia, di Amerika dan di negara lain, dari Texas ke Afghanistan. Biar mereka semua tahu. Juga buat anak muda yang belum lagi mampu mengundi, yang tidak dapat menjalani vaksinasi, mereka mewarisi dunia yang kami serahkan buat mereka. Inilah masa mengambil kuasa dan suara anda, menyuarakan lagu anda, menceritakan kisah anda. Ia akan menjadikan kita berada di kedudukan yang lebih baik. Kini giliran anda," ujarnya ketika menerima anugerah tersebut.
Allen disampaikan dengan Anugerah Gabenor sebagai pengiktirafan kepada pelbagai sumbangannya pada dunia televisyen menerusi berbilang kerja kreatif serta kerja kemasyarakatan dan projek dermawannya merata dunia. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg