APAKAH kejayaan mereka pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 yang berlangsung di Dewan MBSA pada Ahad (11 September) boleh disifatkan sebagai rezeki berumah tangga dan rezeki mendapat cahaya mata?
Rapper dan penulis lagu Yonnyboii yang nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 24 tahun, memenangi Anugerah Album Terbaik menerusi album Yonnyboii, Deluxe Version, dengan penerbit Wolfy.
Beliau berumah tangga dengan pempengaruh sosial Nik Nazirah Nik Narriman pada 20 November 2021.
Pasangan suami isteri bersuara bak buluh perindu, Syamel, 28 tahun, dan Ernie Zakri, 30 tahun, pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu Goodbye Hello.
Mereka berdua telah menimang cahaya mata Nur Khawla Soleha pada 22 Februari lalu.
Buat julung kalinya, empat pemenang kategori terbaik AIM menerima Dana Kandungan Digital atau DKD Industri Muzik.
Yonnyboii membawa pulang DKD Muzik bernilai RM200,000 ($62,152) daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif kepada penggiat industri kreatif.
Syamel dan Ernie pula membawa pulang DKD bernilai RM50,000.
Selain dua kategori ini, pemenang Artis Baru Terbaik, Vanessa Reynauld, melalui lagu Sempurna, dan pemenang Anugerah Video Muzik Terbaik, Janna Nick/Chuan Looi, menerusi lagu Gatal, turut menerima pembiayaan dana berkenaan.
Vanessa memenangi DKD RM50,000 manakala Janna pula membawa pulang DKD bernilai RM20,000.
AIM dengan pengacara Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin adalah ibarat Anugerah Grammy/Anugerah Muzik Amerika di Barat.
Syamel ketika menerima anugerah itu berkata Goodbye Hello dicipta sebelum beliau dan Ernie berumah tangga dengan kejayaan itu juga kemungkinan berkat doa arwah ibunya yang meninggal dunia dalam tempoh pandemik.
Yonnyboii pula berterima kasih kepada isterinya yang banyak memberinya dorongan.
Antara anugerah lain yang disampaikan termasuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu yang dimenangi Arddley Nicholas bagi lagu Pilu untuk kategori lelaki dan Ernie bagi lagu Sinar Mata Hati untuk kategori perempuan.
Dua 'powerhouse', Shila Amzah dan Liza Hanim, adalah pemenang kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik bagi lagu Bahagiakan Dia. Mereka turut memenangi Anugerah Runut Bunyi (OST) Terbaik Dalam Filem/Drama bagi lagu yang sama.
Dayang Nurfaizah yang menerima pencalonan terbanyak dalam enam kategori pula membawa pulang dua piala iaitu Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu bagi lagu Tudung Periuk (bersama Aubrey Suwito) dan Rakaman Album Terbaik bagi album Belagu.
Beliau kini di Eropah Timur bagi rakaman album Belagu II.
Dalam pada itu, AIM ke-23 memberi penghormatan dalam bentuk Anugerah Sri Wirama kepada mentor ramai artis termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Encik Tan Su Loke, pengarah urusan Suria Records (SRC).
Beliaulah ibarat tokoh dan sosok seorang bapa buat ramai artis SRC ketika itu, Liza Hanim, Anis Suraya, 2 By 2 dan New Boyz.
Encik Tan, 81 tahun, mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Pak Ngah Suhaimi, dua komposer yang banyak bekerjasama dengannya dalam menghasilkan banyak lagu 'hit'.
Begitu juga dengan arwah bapa Siti, Encik Tarudin Ismail, yang memberi kepercayaan buat Encik Tan mengasuh dan memasarkan kerja seni Siti.
Menerusi SRC, lagu irama pop ethnik dan tradisional Melayu turut diperjuangkan khususnya oleh Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris yang juga bernaung di bawah SRC.
Pembukaan AIM nampak meriah dengan dendangan bertenaga Aina Abdul, Nikki Palikat dan Marsha Milan Londoh, yang mendendangkan lagu balada 'tangkap lentok' beberapa penyanyi lelaki yang memenangi anugerah AIM terdahulu.
Penutup tirai persembahan adalah gabungan medley lagu Ratu Rok Ella yang dipersembahkan Ella sendiri dan juara Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg