Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gadis buka kedai baju dalam ala 'Victoria's Secret' di kampung sepi

Filem komedi 'La Luna' arahan M. Raihan Halim papar kisah peniaga impikan hidup baru
Nov 20, 2022 | 5:30 AM
GEJOLAK DI BALIK SAWAH MENENANGKAN: Watak Hisyam Hamid (kiri) sebagai lelaki yang serba tidak keruan dan mendera isteri (lakonan Nadiya Nisaa) selepas satu kemalangan yang meragut kerjayanya membuka mata tentang bahayanya racun masyarakat. - Foto CLOVER FILMS/PAPAHAN
GEJOLAK DI BALIK SAWAH MENENANGKAN: Watak Hisyam Hamid (kiri) sebagai lelaki yang serba tidak keruan dan mendera isteri (lakonan Nadiya Nisaa) selepas satu kemalangan yang meragut kerjayanya membuka mata tentang bahayanya racun masyarakat. - Foto CLOVER FILMS/PAPAHAN -

MELONTAR cabaran untuk didakap pelakon yang berurusan dengannya dalam projek filem atau drama merupakan satu perkara yang sering dilakukan pengarah Singapura, M. Raihan Halim.

Apabila barisan pelakon yang bekerjasama dengannya pula tidak semudah menerima arahannya bulat-bulat bahkan mencabar atau mengajukan bermacam soalan untuk dijawabnya, itulah nikmat buat Raihan, 40 tahun.

Kini, hatinya lega projek filem komedi romantis La Luna yang pernah dua kali ditolak penerbit sebelum akhirnya diterbitkan bersama Clover Films (Singapura), Papahan Films (Singapura) dan ACT 2 Pictures (Malaysia) sudah tamat penggambaran 22 hari di sawah padi Kuala Kangsar, Perak.

La Luna adalah kisah perubahan minda dan takrifan tentang sesuatu perkara yang diilhamkan Raihan hampir sedekad lamanya.

Sebelum ini, Raihan mengarah filem gusti gadis bertudung, 'Banting', serta merupakan nadi ilham bagi drama Identiti, Gunting dan Firasat.

Beliau sama sekali tidak pernah bayangkan dapat bekerjasama dengan pelakon Malaysia yang dikenali kaya nilai seni lakonnya seperti Sharifah Amani, Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Namron, Nadiya Nisaa dan Iedil Dzuhrie dalam La Luna.

HISYAM HAMID DICABAR

Satu-satunya pelakon Singapura adalah Hisyam Hamid yang dicabar Raihan untuk membawa watak bekas pegawai polis yang hancur lebur jiwanya selepas satu kemalangan yang meragut kerjayanya.

Gambaran peribadi si wira tampan yang sering Hisyam bawakan dalam projek lain langsung terhakis.

Hisyam dan Wan Hanafi Su menghidupkan watak lelaki toksik yang meracuni pemikiran dan emosi masyarakat sekeliling.

KISAH WANITA DENGAN SEJARAH SURAM

Secara umum, La Luna menceritakan tentang wanita (lakonan Sharifah Amani) yang membuka kedai pakaian dalam ala Victoria's Secret yang diberi nama La Luna di kampung yang sepi, malas lagi tidak bermaya, Kampong Bras Basah.

Di sana, dia bertemu dengan pegawai polis berstatus duda (Shaheizy Sam) yang mempunyai seorang anak remaja.

Penduduk kampung menerima baik kedai La Luna ini tetapi ia ditentang keras oleh ketua kampung kuku besi yang ingin memusnahkan perniagaan itu walau apa jua caranya.

La Luna merupakan projek yang diperkenalkan di Forum Pembiayaan Filem Asia Hong Kong.

Ia menerima Anugerah Wouter Barendrecht dan Anugerah Pospenerbitan White Light.

Bajet $1.1 juta diperuntukkan bagi filem yang juga melibatkan Astro Shaw dan disokong Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Ia dijadualkan ditayangkan di Singapura dan Malaysia pada suku ketiga tahun depan.

PENANTIAN LAMA UNTUK PROJEK 'MENJADI'

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Raihan berkata:

"Memikirkan betapa lamanya saya mengilhamkan projek ini dan akhirnya dapat menjalani penggambaran dengan barisan pelakon pilihan pertama yang berkaliber, terasa lebih takut daripada segala-galanya.

"Saya perlu menyentak diri saya bahawa impian merealisasikan La Luna akhirnya menjadi kenyataan.

"Saya memilih Kuala Kangsar dengan pemandangan sawah bendang yang indah bak gambar skrin komputer selepas meraih inspirasi daripada filem Lelaki Harapan Dunia arahan Liew Seng Tat.

"Memang sawah dan gunung-ganang berkabus di sini cukup saujana mata memandang."

PELUANG EMAS MENGARAH BAKAT INTELEK

Beliau senang bekerjasama dengan Sharifah Amani yang disifatkannya sebagai seorang pemberontak seni walaupun usia dan kematangan banyak mengubah pelakon filem Sepet itu.

Hati Raihan diasak dengan bermacam pertanyaan mengapa Shaheizy Sam yang kelakar itu sering muncul dalam filem aksi dan tidak banyak membawa watak komedi sejak akhir-akhir ini.

Padahal Shaheizy mempunyai daya humor yang tinggi.

"Saya tidak menetapkan ingin pelakon Malaysia atau Singapura bagi filem ini. Saya hanyakan yang terbaik.

"Saya bahkan rasakan Sharifah Amani kena dengan watak wanita dalam La Luna dengan pengalaman silam yang kelam, bergelut dengan kehidupan dan ingin memulakan hidup baru atau mungkin jatuh hati dengan jejaka seperti watak Shaheizy.

"Watak ketua pegawai polis macam Shaheizy pula adalah bapa tunggal dengan anak remaja," cerita Raihan.

TIP 'ORANG LAMA' AGAR TIDAK GOPOH

Beliau juga mempelajari budaya kerja teliti pelakon veteran seperti Wan Hanafi yang meminta kru kerja perlahankan proses penggambaran yang kelam kabut kerana tidak mahu mereka abaikan ketelitian dan ketenangan dalam tugasan.

"Kami sudah terbiasa dengan kepantasan kerja menghasilkan drama televisyen di Singapura sampaikan tersentak apabila Wan Hanafi menegur kami kerana prihatin.

"Saya hargai orang macam ni yang berani menegur dan berkongsi. Takkan selalu nak kata 'ya' pada pengarah macam saya. Saya suka apabila berurusan dengan pelakon intelektual misalnya Lim Yu-Beng, Norman Ishak dan Rahimah Yusof.

"Mereka tak terima bulat-bulat. Sebaliknya, mereka rajin memberi usulan. Tak suka cakap tak suka dan beri cara perbaiki adegan yang dirakam," tambah Raihan.

NAKAL BUKAN KURANG AJAR

Dari segi jalan cerita, beliau tidak pernah menonton filem dengan persoalan yang diketengahkan dalam La Luna.

"Kita tidak pernah mengetengahkan tentang sebuah perkampungan Islam dan kisah kedai pakaian dalam seiringan.

"Niat saya bukanlah untuk bersikap kurang ajar tetapi inilah filem untuk membuka perbualan tentang sesuatu yang disorok selama ini.

"Pastinya filem Melayu sebelum ini ada menyentuh tentang pasangan kekasih, seks dan mengembalikan kasih sayang dan asmara dalam sebuah hubungan suami isteri.

"Yang saya pasti, ini filem nakal dan comel, bukan kurang ajar. Ada yang cuba diketengahkan tentang isu kesaksamaan jantina, pemerkasaan wanita dalam kampung tradisional yang masih berpegang teguh pada pendirian lelaki lebih benar.

TABIAT TOKSIK LELAKI MERIMASKAN

"Tengok watak Hisyam dan Wan Hanafi yang toksik, ia memberi gambaran tentang sesuatu yang masih tidak berubah dalam masyarakat kita. Sikap suka mencucuk dan meracuni orang lain yang wujud dalam watak dua lelaki ini membingitkan saya.

"Cara mereka berbual seakan mereka lebih tahu...bagaimana nak cabar orang toksik seperti ini? Kita boleh lihat dalam filem santai ini," jelas Raihan.

Beliau menganggap La Luna bak 'adik tiri' atau 'sepupu' filem Banting.

"Pada awal kerjaya filem saya, saya hanya ingin sajikan kisah Melayu/Islam untuk tatapan mereka di Asia dan luar Asia Tenggara.

"Apabila Banting dibawa ke Hawaii, banyak persoalan yang diajukan dengan takrifan masyarakat di sana tentang isu dalam filem ini.

"Mudah-mudahan, La Luna juga dapat mencetus inspirasi dan memancing penonton antarabangsa untuk memahami persoalan tentang perlunya perubahan minda dalam menangani isu sosial masyarakat kita," ujar Raihan.

Apa kata pengarah...

"Saya pernah bertemu Sharifah Amani (kanan) sekitar 2017 hingga 2018 ketika beliau berlakon dalam penerbitan drama Singapura, En Bloc. "Apabila ditawarkan watak utama La Luna, dia tanya, 'Mengapa saya?' Tak pernah jumpa pelakon tanya macam tu... "Saya kata 'Awak pemberontak!' Saya selalu baca kisahnya di media...bagaimana dia berbual dengan orang dan media. Tapi dia sudah banyak melembutkan jiwanya. Usia mengubah kita."

"Saya tonton Shaheizy Sam (kiri) dalam Polis Evo, Polis Evo 2 dan Polis Evo 3. Dia kata dia bukan pelawak dan takut jayakan filem komedi sebab ada yang 'menjadi', ada yang tidak.

"Saya inginkan Shaheizy bawa watak jejaka lucu yang buat-buat tak suka dengan seorang wanita keras kepala. Kita nak babak macam Abdul Wahub dan Ghasidah dalam Tiga Abdul. Dapat lihat dia dan Sharifah Amani berjaya bina keserasian seperti itu...malu tapi mahu, menyampah tapi berkenan.''

"Ramai dah biasa tengok Hisyam jadi wira tampan dalam Gunting. Terkejut apabila tengok dia bawa watak lelaki pendera isteri dan dayus dalam La Luna.

"Dia berjambang, toksik dengan kata-katanya kerana melalui trauma hidup selepas kemalangan meragut tugasnya sebagai polis.

"Dengan Nadiya yang jadi isterinya, keserasian mereka hebat. Tapi hairannya mereka tak berbual di luar set. Macam dingin semacam. Pada hari terakhir penggambaran, Hisyam buat saya terkejut dengan kelainan gerak lakon."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg