Kecoh! WhatsApp sangkut lebih 2 jam

APLIKASI mesej popular WhatsApp tidak berfungsi lebih dua jam pada Selasa, 25 Oktober, memaksa pengguna di Singapura dan di seluruh dunia beralih kepada alternatif seperti Telegram.

Gangguan itu menjejas lebih 20,000 pengguna di Singapura, menurut laman web penjejakan gangguan downdetector.com.

Pengguna terjejas tidak dapat menghantar dan menerima mesej pada platform pemesejan milik syarikat Meta itu.

Perkhidmatan kembali beroperasi sekitar 5 petang di Singapura. Jutaan pengguna di seluruh dunia dilaporkan mengalami masalah sama.

Rihanna akhirnya kembali?

PADA petang Khamis, kira-kira 2 petang waktu Singapura, @badgalriri atau lebih dikenali sebagai Rihanna, telah memuat naikkan satu video kurang dari 10 saat di akaun Instagram rasmi miliknya.

Pada ketika itu, video tersebut telah ditonton sebanyak 34.5 juta kali dengan ramai meninggalkan komen di ruang komen mengatakan mereka tidak sabar menanti apa yang bakal dilancarkan oleh penyanyi yang popular dengan lagu 'Only Girl in the World' itu.

Akhirnya setelah enam tahun tidak melancarkan sebarang lagu terbaru, Rihanna kali ini bekerjasama dengan penerbit Ludwing Göransson and director Ryan Coogler untuk sama-sama menulis lagu 'Lift Me Up' yang juga merupakan lagu runut bagi filem marvel, 'Black Phanter: Wakanda Forever'.

Sebelum itu, Rihanna telah melakukan promosi buat #SAVAGEXFENTYSHOW edisi keempat, sebuah persembahan pertunjukan fesyen serta pelancaran produk terbaru bagi jenama dandan beliau, 'Fenty'.

Kantoi! Cuba seludup aligator albino dari Jerman ke S'pura

SEORANG lelaki yang dalam perjalanan dari Jerman ke Singapura, telah ditahan setelah pihak imigresen di Lapangan Terbang Munich ternampak imej luar biasa pada pengimbas X-ray, dalam bagasi miliknya.

Dengan segera mereka memaklumkan pegawai kastam, yang membuka beg lelaki itu dan menemui seekor aligator albino hidup dibalut dengan plastik pembalut.

Prosiding sedang dimulakan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu atas dakwaan kesalahan tersebut, yang berlaku pada 25 September, kata pejabat utama Kastam Munich pada 13 Oktober.

Selepas aligator itu ditemui, pegawai kastam dan seorang doktor haiwan membebaskannya. Ia menerima rawatan dan kini disimpan dan dijaga di sebuah tempat perlindungan reptilia.

Jurucakap pejabat penyiasatan Kastam Munich, yang menyiasat kes itu, memberitahu akhbar The Straits Times (ST) destinasi terakhir lelaki berkenaan ialah Singapura. Menurut laporan media, dia rakyat Amerika Syarikat.

Persoalannya, apa tujuan lelaki itu menyeludup masuk reptilia tersebut?