Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Apabila pokok, bunga dan kulat buka cerita...

Penerbit siri dokumentari BBC 'The Green Planet' kongsi pelbagai pengalaman menakjubkan ke 27 negara untuk rakam perkembangan tumbuhan sebelum dan sesudah pandemik Covid-19
bbc
Jan 07, 2022 | 05:30 AM



DEMI merakam video berkembangnya kuntuman bunga raksasa Rafflesia atau bunga pakma, penerbit episod dokumentari The Green Planet, Encik Paul Williams, sanggup menanti dan menggerakkan misi bidan terjunnya ke Borneo.



Malahan, sepanjang penggambaran dua episod Tropical Worlds dan Desert Worlds, banyak kejadian aneh dan bersejarah yang disaksikan sendiri berlaku di depan matanya.



Antaranya termasuk ketika hujan lebat membasahi bumi gersang di kawasan padang pasir Mexico Utara serta salji yang menyelaputi dataran kering di Arizona.



Inilah antara pengalaman menarik yang dikongsi Encik Williams dalam satu wawancara Zoom bersam Berita Harian di ambang siaran The Green Planet di BBC, Isnin ini.



Beliau sudah lebih 20 tahun menjalankan kerja penerbitan dan arahan siri dokumentari BBC yang digemari ramai termasuk Big Cats, Wonders of the Monsoon, Blue Planet II, Life dan Life In Cold Blood.



Sebagaimana jelasnya:



"Saya masih ingat sekitar tujuh atau lapan tahun lalu, kami gagal merakam video bunga Rafflesia yang mekar mengembang pada musim yang dijadualkan. Ia tidak mekar sepenuhnya, hanya separuh jalan dan terhenti prosesnya.



"Apabila saya terdengar bahawa Rafflesia di Borneo dijangka mekar beberapa tahun terkini, saya pun apa lagi?



"Kumpulkan pasukan saya dan gigih membangun kawasan kurungan di situ. Kami gunakan tujuh kamera untuk merakam berkembangnya bunga terbesar dunia.



"Rafflesia kekal sebagai tumbuhan alam paling menarik perhatian saya serta dua anak saya yang berusia tujuh dan empat tahun. Ia juga kuntuman bunga yang menyerlah dalam episod Tropical Worlds. Anak-anak saya kata ia ibarat bunga dari planet asing yang sangat busuk baunya! Mereka berkongsi perkara ini dengan teman sekolah mereka."



Mengenai hujan dan salji yang turun di bumi gersang yang sudah sedekad dua tidak mengalami kebasahan bumi pula, Encik Williams menganggapnya sebagai pengalaman aneh.



"Antara perkara menyeronokkan dalam pembikinan dokumentari adalah kami antara orang pertama yang bergegas merakam kepelikan kejadian alam.



"Kami lihat salji menyelaputi pepohon kaktus. Kami sanggup memandu sepanjang hari untuk ke tempat-tempat terpencil ini. Nak bikin dokumentari perlu ada rangkaian kenalan yang banyak serta dapat berkongsi berita menarik seperti kejadian pelik ini bersama anda," katanya lagi.



The Green Planet terbahagi kepada lima episod - Tropical Worlds, Desert Worlds, Seasonal Worlds, Water Worlds dan Human Worlds.



Siri ini mengembara ke 27 negara dalam masa empat tahun untuk merakam perkembangan dan peranan tumbuhan dengan menggunakan teknologi canggih, baik sebelum hingga sesudah pandemik Covid-19.



Tropical Worlds memaparkan betapa banyak tumbuhan terjerat dalam hutan tropikal lebih daripada lokasi lain.



Desert Worlds pula menampilkan keajaiban tumbuhan meraih penakatan untuk terus hidup walaupun kawasan padang pasir panas dan jarang mempunyai air.



Pertukaran empat musim, baik musim panas, bunga, gugur dan sejuk pula disingkap dalam Seasonal Worlds, dengan fokus diberi kepada cabaran dan peluang yang diberi musim ini kepada tumbuhan menghijau.



Tumbuhan air yang menambah keindahan habitat dan kadangkala menimbulkan keanehan pula menjadi fokus episod Water Worlds.



Perubahan hubungan antara manusia dengan tumbuhan apabila kita mula menyedari tentang kepentingan mereka untuk penakatan kita pula menjadi tumpuan episod Human Worlds.



Penerbit eksekutif The Green Planet, Encik Mike Gunton, pula menjelaskan dokumentari yang dihoskan penyiar legenda, Sir David Attenborough, ini ibarat membawa penonton dalam satu kembara 'menaiki permaidani ajaib' bagi mengelilingi dunia tumbuhan.



"Kami ingin bawa penonton dalam satu perjalanan menyelongkar keajaiban alam semesta. Pada kebanyakan masa fokus dokumentari tertumpu kepada hidupan liar dan haiwan. Namun, kali ini kami memilih untuk merakamnya dari sudut tumbuhan pula.



"Kita akan mula menyedari betapa pentingnya dunia tumbuhan dalam kehidupan kita. Dalam kita menentang tempoh darurat dek perubahan iklim, kita ada teman adiwira yang menyelamatkan keadaan iaitu tumbuhan menghijau ini.



"Menarik untuk saya jelaskan pembikinan dokumentari ini persis bikin filem. Ada kisah ibarat gelanggang tinju filem Rocky. Tumbuhan bergaduh sesama mereka kerana merebut sumber dan demi penakatan. Anda sebagai penonton akan tersepit antara mereka untuk menyaksikan situasi sebenar.



"Ada kisah seperti Aliens dengan wajah-wajah ngeri tumbuhan di depan mata anda pada peringkat awal kejadian mereka," jelas Encik Gunton.



Beliau memberi gambaran bagaimana di bawah bumi yang dipijak, wujud tumbuhan yang disatukan dengan jalinan persis benang-benang kulat.



Encik Rupert Barrington, selaku penerbit siri ini pula menambah:



"Dunia tumbuhan ini sekaya dan sekompleks dunia haiwan sebenarnya. Tapi kami sebenarnya ingin menyumbang pada kerja kajian saintis sebelum ini mengenai dunia tumbuhan," kongsinya.



Penerbit episod Seasonal Worlds, Cik Rosie Thomas, yang pernah menghasilkan dokumentari AFRICA, Monkey Planet dan Dynasties: Chimpanzee, pula berkata:



"Saya lebih memahami mengapa pokok dan rimba wujud dalam keadaannya kini. Apabila saya mengesan bahawa pokok dan tumbuhan juga mampu 'berinteraksi' dan bersembang dengan satu sama lain dengan cara tersendiri, mempunyai daya ingatan, sistem saraf dan keupayaan menghidu seperti manusia, ia perkara menarik yang wajar saya kongsi dengan penonton."



Menurut Cik Thomas, episod yang diterbitkannya itu juga meninjau kesan perubahan iklim yang membawa tekanan pada pokok yang berusia lebih 300 tahun di California.




Pentingnya tumbuhan menghijau



Organisme (tumbuhan) luar biasa ini seperti kita. Mereka hidup dan mati, mereka belajar untuk membiak dan tumbuh semula. Tumbuhan ini malahan bertarung dengan satu sama lain. Ia adalah sesuatu yang sukar...

Setiap nafas yang dihela dan setiap makanan yang kita suap bergantung pada tumbuhan. Ia adalah dunia yang selari, yang wujud seiringan dengan kita, dan menjadi asas kehidupan kita, di mana kita kurang berikan perhatian.

Kita kurang mendekati tumbuhan secukupnya dan berinteraksi dengan mereka. Lebih separuh penduduk dunia kini menjalani hidup di bandar dan hanya melihat tumbuhan yang ditanam, tetapi ada kelompok tumbuhan liar di luar sana. Dan kita seharusnya menjaganya dengan baik!

- Sir David Attenborough, 95 tahun, penyiar veteran dan pengacara siri dokumentari lima bahagian, 'The Green Planet', yang juga penulis dan sejarawan alam semesta.




  • Nota: 'The Green Planet' yang diumumkan siarannya pada persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disiarkan di BBC Earth (Saluran StarHub 407 dan BBC Player (Saluran Singtel 203) mulai 8.05 malam Isnin ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >