NIAT di hati bakat tempatan Aqmal Noor adalah bekerjasama dengan seberapa ramai karyawan muzik dan penggiat sastera bagi menjana lebih banyak karya etnik puitis.

Lantaran itu, apabila beliau memohon geran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi projek album Jenggala Konkrit, unsur etnik dan irama tradisional serta nilai puitis pada lirik tidak diketepikan.

Nama penggiat seni tempatan seperti Allahyarham Zaidy Nandir, Rafaat Hamzah dan Hidayat Nordin tertera pada kulit album sebagai penulis lirik.

Pemuzik genderang Riduan Zalani; penggiat dikir barat Kabir Said; penyanyi rap A-Trez; dan penulis muda Nur Atiqah Haizan; turut terlibat.

Album itu malah diibaratkan seperti penyatuan semangat anak Melayu kreatif yang bergotong-royong demi memajukan muzik tempatan.

Album tersebut dilancarkan di ruang MYSpace@62A Arab Street baru-baru ini.

Ketika ditemui Gah! di pejabat Berita Harian, Aqmal, yang nama sebenarnya ialah Noor Haqmal Mohamed Noor, 34 tahun, berkata:

"Idea menghasilkan lagu berunsur irama etnik dan tradisional meskipun bergenre pop rok dan balada itu menarik perhatian NAC.

"Saya ingin bekerjasama dengan seberapa ramai artis dan aktivis seni. Saya amati pelbagai gaya penulisan.

"Saya juga ingin memberi sanjungan kepada arwah Zaidy yang memang hebat susunan katanya dan banyak memajukan dikir barat di sini.

"Ini juga penghargaan buat kumpulan dikir barat Kelana Purba. Tok Juara Kelana Purba yang menang anugerah, Kabir, pun saya tampilkan.

"Dalam pada itu, saya ingin mengetengahkan kerja seni yang melambangkan personaliti penulis yang tidak ramai ketahui. Sumbangan Rafaat pada album ini menerusi lagu Kekasih Yudaku misalnya membawa anda mengenali tulisannya yang berbaur cinta. Ia bukan lagu protes, sebaliknya merakam cinta. Ia di luar dugaan ramai yang mengenalinya sebagai insan yang lantang bersuara."

Aqmal mengakui bahawa beberapa karya dalam album itu lama tersimpan dan dipadankan daripada puisi yang sudah hampir sedekad diterbitkan.

Wahai Kejora, puisi Nur Atiqah, 27 tahun, guru Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, pernah dimuatkan dalam antologi puisinya sembilan tahun lalu. Kata Nur Atiqah, ibu dua anak berusia dua dan lima tahun:

"Puisi ini dihasilkan dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru bersama ibu bapa.

"Saya akan minta ayah buka jendela kereta dan pandang ke langit bagi melihat bintang yang bersinar.

"Dengan usaha Aqmal, saya bersyukur puisi diterapkan dalam lagu. Ini ruang dan peluang buat penulis kreatif seperti saya menyumbang kepada persada muzik tempatan.

"Album sebegini juga berpotensi menjadi bahan pengajaran."