Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis M'sia Zarul hargai S'pura sebagai penggerak semangat

Apr 15, 2023 | 5:30 AM
BERKAMPUNG DI SINGAPURA: Zarul Husin (kiri) teruja dengan semangat gotong-royong peminatnya di Singapura yang akan turun padang setiap kali beliau dan isteri, Intan Nur Fathihah (tiga dari kiri), meniaga sambal. - Foto BH oleh KHALID BABA
BERKAMPUNG DI SINGAPURA: Zarul Husin (kiri) teruja dengan semangat gotong-royong peminatnya di Singapura yang akan turun padang setiap kali beliau dan isteri, Intan Nur Fathihah (tiga dari kiri), meniaga sambal. - Foto BH oleh KHALID BABA -

KALAU datang berkunjung ke Singapura, penyanyi Zarul Husin atau lebih dikenali sebagai Zarul Umbrella pasti mengibaratkannya seperti 'balik kampung' untuk bertemu peminat yang sudah dianggap persis keluarga sendiri.

Di negara ini merupakan titik tolak Zarul, 49 tahun, mula berniaga sambal pada 2018 di acara dagangan CelebFest. Bahkan beliau memberitahu Berita Harian (BH) dirinya hanya menyertai pesta dagangan di Singapura dan tidak di Malaysia kerana komitmen lakonan, nyanyian dan mengendalikan saluran YouTube mengenai sektor penerbangan.

Setiap kali beliau turun padang meniaga bersama isterinya, Intan Nur Fathihah, yang merupakan seorang pramugari di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec Singapore, peminat Singapura daripada Kelab Peminat Zarulians SG akan gotong-royong di gerainya.

"Singapura, khususnya, CelebFest akan tetap membawa kenangan sentimental buat saya. Selepas saya masuk Gegar Vaganza 3 (GV3), saya aktif kembali dan apabila di Singapura, saya mula meniaga sambal hijau.

"Dari situ, setiap tahun kami datang. Peminat selalu sedia membantu mengendalikan gerai dan mereka biasanya akan tanya bila saya datang. Isteri pun rapat dengan mereka... dah macam keluarga besar kami di Singapura. Itulah yang seronoknya," jelasnya yang ditemui di acara CelebFest baru-baru ini.

Kali ini, Zarul hanya bergantung pada jualan sambal sahaja dengan menyediakan botol bersaiz besar atas permintaan peminat.

Beliau juga kembalikan reka bentuk jenama sambal yang asal kerana inginkan kesederhanaan yang dirasakan menjadi faktor penarik.

"Banyak yang telah saya lalui dalam dunia perniagaan yang mengajar saya. Semasa pandemik, kami mulakan bisnes dalam talian.

"Barulah saya belajar tentang logistik dan pengiriman sampaikan ada botol sambal yang pecah sewaktu mengirimnya kepada peminat," katanya, yang popular dengan lagu Bukalah Hatimu.

Selepas meninggalkan kerjaya pramugara bersama Malaysian Airlines, Zarul banyak mengusahakan kandungan YouTube tentang dunia penerbangan meliputi wawancara bersama selebriti yang pernah bertugas sebagai pramugara atau pramugari, juruterbang atau isu mengenai penerbangan dan perkembangan terkini sektor ini.

"Banyak cerita balik tabir yang boleh saya kupas seperti bagaimana menangani tempoh cemas penumpang sakit tenat atau peristiwa yang membuatkan pramugara dan pramugari trauma. Ada kisah pengalaman seram juga.

"Antara yang 'melekat' di fikiran adalah wawancara santai bersama Kak Amy Mastura yang menjadi kru kabin sebelum zaman Ziana Zain dan Anuar Zain lagi," kata Zarul.

Mengenai perkembangan terkininya dalam dunia lakonan, Zarul berkata beliau akan masuk set drama aksi jenayah I Know What You Did With Your Instagram dan drama Keturunan.

"Dalam drama I Know What You Did With Your Instagram, saya adalah inspektor polis yang menyiasat kes pelajar kolej bunuh diri. Saya bergandingan dengan Rita Rudaini dan Haliza Misbun.

"Watak dalam Keturunan masih dalam perbincangan. Sebenarnya, saya memang senangi dunia lakonan khususnya apabila dapat membawa watak seperti bapa tunggal dan mekanik dalam Menyinar Keranamu.

"Ia watak sedih yang banyak memberi saya pengajaran berbanding watak pegawai korporat, penyelingkuh dengan skandal dan dua isteri yang pernah saya bawa sebelum ini," kongsinya.

Zarul tiada perancangan merakam lagu baru, walaupun sebuah lagu ciptaan Ippo Hafiz menanti masa dikeluarkan.

"Awalnya, saya memang tetapkan nak bikin lagu secara tetap selama lima tahun selepas tamat GV3. Tapi ia mengikut sambutan peminat. Apabila tengok mereka lebih suka lagu lama, rasanya lebih baik saya fokus pada lakonan, perniagaan dan tugas pengisi kandungan YouTube," jelasnya. - HARYANI ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg