Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis muda banjiri pasaran dengan lagu Raya baru

Kemeriahan terasa dengan karya Lebaran tepati cita rasa generasi masa kini
Apr 12, 2023 | 5:30 AM
ELIZABETH TAN: Muncul dengan lagu ceria dan manja 'Raya Cun'. - Foto-foto UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA
ELIZABETH TAN: Muncul dengan lagu ceria dan manja 'Raya Cun'. - Foto-foto UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA -

KALAU ditanya apakah lagu Hari Raya kegemaran yang 'wajib' didengar setiap musim Lebaran, pastinya ramai yang akan memilih lagu Selamat Hari Raya (Saloma), Aidilfitri (Sanisah Huri), Balik Kampung (Sudirman) atau Menjelang Hari Raya (D.J Dave).

Namun, ada banyak lagi lagu Hari Raya dendangan Hail Amir dan Uji Rashid, Khairil Johari Johar, Aishah, Ahmad Jais, Fazidah Joned dan Junainah M. Amin yang masih kekal menjadi siulan.

Di sebalik kecenderungan mendengar lagu lama yang menusuk sanubari dek nostalgia yang datang memanggil-manggil, generasi artis muda juga kelihatannya bersemangat menghasilkan lagu Raya tahun ini.

Berita Harian meninjau beberapa lagu baru sempena musim perayaan, yang baru-baru ini diterbitkan artis muda di seberang Tambak.

Antara yang mampu menjadi lagu malar segar yang akan diputar bagi tahun-tahun mendatang adalah:

'RAYA CUN' OLEH ELIZABETH TAN

Dalam masa tiga hari sahaja dimuatnaikkan ke YouTube, lagu Raya Cun dendangan Elizabeth Tan ini sudah ditonton sebanyak 16,000 kali di YouTube.

Ia adalah lagu 'comel' mengenai beraya bersama keluarga dan sahabat-handai serta sesuai dengan penampilan Tan atau Lizzy yang comel dan bersahaja.

Secara kebetulan, Lizzy mula dikenali ramai selepas bikin 'cover' lagu Selamat Hari Raya oleh Saloma di YouTube hampir sedekad lalu.

Ketenangan dan keseronokan beraya dalam suasana desa dipaparkan dalam klip videonya.

Penggunaan slanga 'cun' yang digunakan ramai kini, yang bermaksud 'cantik' menambah daya tarikan lagu ini, sesuai dengan keperluan zaman.

Lizzy naik basikal dan kekecohan yang meriah menampakkan suasana perayaan yang ceria.

Warganet Jungnapark menulis:

"Lagu Lizzy ni boleh dijadikan lagu karaoke beraya semasa jamuan Lebaran di sekolah nanti."

Silmen92 pula menambah:

"Baguslah Lizzy. Saya belum jumpa lagi lagu Raya baru yang 'best' macam ni. Ia moden tapi tak abaikan 'vibes' Raya."

SUASANA DI HARI RAYA OLEH ARA JOHARI DAN 'BUKALAH HATI' OLEH ARA, IDRIS BROWN DAN BUNGA

Ara Johari kembali dengan dua lagu Hari Raya tahun ini. Lagu Suasana Di Hari Raya yang pernah dipopularkan Anuar Zain dan Elina ini diberi sentuhan baru oleh finalis Akademi Fantasia 2016 ini.

Namun, lagu gandingannya bersama Idris Brown dan penyanyi rap Bunga merupakan sesuatu yang menarik perhatian saya sebab ia menggambarkan tentang erti kemaafan di mana seseorang harus terbuka hati untuk memaafkan orang sekeliling.

Konsep video muzik yang berwarna-warni, terisi dengan 'mood' keluarga beraya dengan setiap anggota ada tugasnya diteroka.

Walaupun Ara, Idris dan Bunga mempunyai genre kecenderungan berbeza, mereka dapat memanfaatkan perbezaan untuk papar keunikan dalam lagu Bukalah Hati ini.

'RIA RAYA' OLEH IMAN TROYE, DALIA FARHANA, LAYKA DAN FIMIE DON

Lagu ini memang buat anak muda dengan barisan artis muda yang sedang meningkat naik namanya, Iman Troye, Dalia Farhana, Layka dan pelakon Fimie Don.

Dalam masa tiga hari klip videonya dimuatnaikkan, ia sudah ditonton 110,000 kali.

Ramai yang sukakan lirik lagu ini yang mudah dihafal dan tariannya yang boleh dibuat gerakan tular di TikTok.

Sebagaimana kata warganet Lovelyyynn:

"Lagu ini sangat unik dan senang nak hafal. Semuanya nampak cantik. Ada tarian dan suara mantap. Klip video bermutu tinggi. Harap lagu ini akan diterima ramai dan boleh dengar sepanjang musim Raya nanti."

LAGU RAYA LAIN BANJIRI GEDUNG DIGITAL

Pendek kata, tak terkira lagu Hari Raya daripada artis muda yang dihasilkan tahun ini.

Antaranya, Berkunjung Di Hari Raya oleh Aina Abdul yang sudah ditonton 103,000 kali di YouTube dengan lirik yang ditulis indah.

Empat penyanyi muda, Nidza Afham, Razmansyah, Afiq Adnan dan Riev, muncul dengan lagu Aidilfitri.

Floor 88 pula tampil dengan Jombalika yang mengingatkan anda dengan lagu Balik Kampung oleh Sudirman.

Yang menariknya, Raya tetap meriah khususnya selepas pascapandemik ini dengan banyak lagu Lebaran baru memenuhi pasaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg