Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Astro siar semula 33 filem Cathay-Keris

Oct 13, 2021 | 5:30 AM
DANG ANOM: Filem arahan Hussein Haniff pada 1962 ini antara yang disajikan semula Astro sebagai usaha mengekalkan nilai warisan, budaya dan seni Melayu buat tatapan generasi masa kini.- Foto CATHAY-KERIS
DANG ANOM: Filem arahan Hussein Haniff pada 1962 ini antara yang disajikan semula Astro sebagai usaha mengekalkan nilai warisan, budaya dan seni Melayu buat tatapan generasi masa kini.- Foto CATHAY-KERIS -

ZAMAN kegemilangan filem Melayu klasik Cathay-Keris Films diraikan menerusi satu kerjasama antara saluran Astro dengan syarikat I.E. Entertainment yang berpangkalan di Singapura.

Laman Sinar Harian melaporkan sebanyak 33 filem terbaik Cathay-Keris kini disajikan menerusi saluran Astro Citra dan Astro Prima selain platform penstriman OTT, Astro Go dan On Demand sejak bulan lalu.

Karya klasik dengan kisah menarik ini pernah ditayangkan antara 1950-an dengan 1960-an.

Antara filem yang disiarkan termasuk Bawang Putih Bawang Merah (1959), Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961), Dang Anom (1962), Chuchu Datuk Merah (1963), Pontianak Gua Musang (1964) dan Mat Bond (1967).

Usaha menayangkan semula filem Melayu klasik itu dilihat mampu mengekalkan nilai budaya dan seni masyarakat Melayu di rantau ini yang merangkumi warisan Singapura dan Malaysia.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Cathay-Keris Films menerusi syarikat pengedarnya di rantau Asia, I.E. Entertainment, untuk merealisasikan usaha tersebut.

"Menariknya, kesemua filem itu akan ditayangkan semula setelah lebih 10 tahun tidak dipertontonkan di mana-mana platform televisyen berbayar Malaysia.

"Kami percaya 33 filem ini pasti akan mengubati rindu penonton dengan karya-karya yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu dan dalam masa sama memperkenal filem Melayu klasik kepada generasi baru.

"Ia juga sebagai tanda penghargaan buat barisan penerbit, syarikat penerbitan dan nama-nama besar yang pernah mewarnai industri perfileman Melayu era itu seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar, Hajah Umi Kalsom, Mat Sentul dan ramai lagi," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg