Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atikah Suhaime mengidam daging setelah hamil

Dec 6, 2024 | 12:33 PM
Pelakon asal Singapura, Atikah Suhaime, 33 tahun, yang sedang hamil bergambar bersama suaminya, Datuk Lokman Teh, 35 tahun.
Pelakon asal Singapura, Atikah Suhaime, 33 tahun, yang sedang hamil bergambar bersama suaminya, Datuk Lokman Teh, 35 tahun. - Foto TANGKAP LAYAR IG THEREALATIKAHSUHAIME

Pada kebelakangan ini pelakon asal Singapura Atikah Suhaime, 33 tahun, sering berkongsi video masak-masak dan ‘mukbang’ dalam akaun TikTok dan Instagramnya (IG). Atikah mempunyai 572,000 pengikut di TikTok dan 1 juta pengikut di IG.

Rata-rata ramai peminatnya terkejut dengan perubahan Atikah yang selama enam tahun mengaku mengamalkan diet ‘pescatarian’ – rata-ratanya ikan atau makanan laut – dan langsung tidak memakan daging ayam atau daging kambing atau lembu. Namun sekarang, Atikah berselera memasak untuk dirinya hidangan daging seperti shepherd’s pie, kari kambing dan macam-macam lagi.

Atikah memang tidak sembunyikan kehamilan cahaya mata pertamanya dari peminatnya, dan apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, Atikah berkongsi seleranya mula berubah kerana mengidam.

“Saya memang tidak makan ayam dari kecil. Saya berhenti makan daging oleh kerana alahan ‘pelik’ yang membuat muka saya bengkak, jadi saya berhenti terus, dan muka saya kembali seperti sediakala tetapi sejak hamil, saya kembali makan daging,” terang Atikah yang sedang mengandung enam bulan.

Atikah telah mendirikan rumahtangga dengan usahawan Datuk Lokman Teh, 35 tahun, pada 24 Januari 2024 dan kini bergelar Datin. Beliau juga membantu suaminya mengendalikan video ‘live’ (secara langsung) melalui wadah TikTok syarikat milik keluarganya itu.

“Sebelum ini, saya membantu mereka dalam pemasaran, tetapi saya rasa tidak berdaya dan tidak ada masa untuk suami, jadi sekarang saya hanya fokus dalam membuat video ‘live’ TikTok dan membantu suami saya dalam pembangunan produk,” kata Atikah lagi.

Pelakon ‘Poskad dari Alhambra’ yang pernah ditayangkan di Suria pada 2020 ini memang sudah terkenal di seberang tambak, namun beliau memilih untuk berhenti daripada bidang lakonan buat seketika untuk memberi tumpuan kepada kandungan, suami dan bisnes keluarga. Apabila ditanya jika Atikah berniat untuk sambung kerjayanya selepas melahirkan, beliau berkata:

“Mungkin, tetapi pada waktu ini, saya ingin menumpukan perhatian kepada keluarga dan bisnes.”

Menurut Atikah beliau seorang yang sangat berdikari, tetapi kehamilan ini membuatnya berasa sangat letih dan inginkan lebih perhatian dari suaminya.

“Suami saya manjakan saya dengan memberi saya makan! Dia juga selalu fikir saya berdikari orangnya, memang betul, tetapi pada waktu-waktu begini, saya rasa saya perlukan dia untuk benda-benda kecil.”

Atikah tidak mahu berkongsi jantina anak di dalam kandungannya pada waktu ini, tetapi berjanji akan membuat pengumuman mendekati tarikh kelahiran.

“Saya ingin tiga orang anak, tetapi suami saya inginkan lima orang anak! Tetapi, sekarang ini baru mengandung anak pertama dan saya sudah kepenatan macam ni, dah tak larat...” kata Atikah berseloroh.

Atikah dijangka melahirkan pada bulan Mac akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg