Topik diikuti
Pergi ke BHkuAtyy Malek ingin terus baiki lakonan
Namun, akan kurang terima tawaran berlakon hingga Nov kerana bakal berumah tangga
KALAU dahulu orang selalu menyapanya dengan gelaran Tipez apabila bertemu di luar, kini beliau juga sering disapa dengan panggilan Raudha.
Ini menyusuli drama telefilem Hari Raya Haji, Di Akhir Garisan, yang ditayangkan di televisyen baru-baru ini.
Dalam telefilem itu, pelakon berbakat lagi serba boleh, Atyy Malek, menjayakan watak sebagai Raudha, yang merupakan seorang bekas banduan muda yang berusaha menjadi insan lebih baik tetapi sering dinilai kerana kisah silamnya.
Namun, beliau tidak pernah rasa kecil hati atau rimas dengan sapaan itu.
Sebaliknya, peneraju watak pembantu rumah Tipez dalam Aduh... Bibikku! itu menganggapnya sebagai satu penghargaan.
"Ini menunjukkan bahawa mereka ingat watak yang saya mainkan itu.
"Jadi, alhamdulillah lah kalau mereka suka watak itu dan lakonan saya," ujar Atyy, 29 tahun.
INGIN JADI 'PEGAWAI POLIS'
Namun Atyy, atau nama sebenarnya Noorhayati Abdul Malek, berharap orang ramai akan mengingatnya sebagai seorang pegawai polis pada masa akan datang.
Ini kerana pelakon kecil molek itu menyimpan hasrat ingin menjayakan watak sebagai pegawai polis.
"Saya pernah pergi sesi 'casting' bagi watak itu tetapi maklum balas yang biasanya saya terima ialah saya terlalu pendek bagi watak itu.
"Saya tak kecewalah, cuma mungkin bukan rezeki saya," ujar pelakon dengan ketinggian 1.56 meter itu.
Namun, beliau tidak pernah berputus asa dan terus impikan dapat memainkan watak berbeza yang lebih mencabar dari segi fizikal satu hari nanti.
Menurutnya, beliau juga gemar genre aksi yang menampilkan pegawai perkhidmatan kecemasan di barisan hadapan.
KEKAL AKTIF
Malah kalau diberi peluang menjayakan watak yang lebih mencabar dari segi fizikal itu, Atyy mungkin sudah cukup bersedia.
Ini kerana gadis yang bakal berumah tangga bulan depan itu giat bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Sebelum tempoh pemutus rantaian jangkitan untuk membendung penularan Covid-19, beliau menyertai kelas spin (senaman menggunakan basikal statik yang memerlukan seseorang berkayuh dengan diiringi rentak muzik) di sebuah studio kecergasan.
Namun kini, beliau meluangkan lebih banyak masa bersenam di rumah dengan mengikut video senaman di YouTube.
Meskipun tidak mengamalkan sebarang diet, Atyy kurang makan nasi dan biasanya lebihkan sayur dan ikan.
BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN
Menurutnya, beliau ingin memainkan watak yang mencabar dari segi fizikal itu kerana ingin mendedahkan dirinya kepada lebih banyak genre filem dan drama.
"Saya percaya ini satu cara untuk memperbaiki lakonan saya dan saya harap akan diberi peluang.
"Kalau nak saya berlakon dalam cerita hantu pun boleh!" ujarnya.
Bagaimanapun, Atyy yang mula berlakon kira-kira lapan tahun lalu berkata watak yang dimainkannya sebelum ini juga mencabar dengan cara yang berbeza termasuk dari segi emosi.
Dan beliau yakin pengalamannya itu akan mempersiap dirinya bagi watak lain yang akan dimainkannya pada masa akan datang.
Misalnya semasa memainkan watak Tipez dalam drama Aduh... Bibikku!, beliau sering tertanya sama ada beliau mampu membuat orang tertawa dengan lakonannya.
Ini membuatnya rasa gelisah pada hari pertama penggambaran.
"Susah tau nak buat orang ketawa! Macam mana kalau orang fikir saya ini 'buat kelakar' saja?" ujarnya.
Namun, beliau bersyukur lakonannya itu dihargai orang ramai dan ini meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.
Selain berlakon dalam drama, Atyy juga pernah terlibat dalam kempen Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) tahun lalu.
Video sekitar seminit yang memaparkan Atyy itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang usaha mengitar semula dengan betul.
Menurutnya, beliau sudah pun mengamalkan beberapa langkah menjaga alam sekitar sebelum ini seperti membawa begnya sendiri semasa keluar berbelanja dan mengitar semula sisanya.
Namun menerusi penghasilan video bagi kempen itu, beliau juga dapat mempelajari sesuatu yang baru.
"Saya tahu kita boleh kitar semula kertas dan sebagainya tetapi tidak tahu sebelum ini bahawa barangan elektronik pun boleh dikitar semula dan ada tempat yang khusus untuknya.
"Semasa saya kemas bilik saya baru-baru ini kerana akan berkahwin tidak lama lagi, saya jumpa banyak telefon bimbit lama saya dan saya pun telah menghantarnya ke tempat kitar semula barangan elektronik," ujarnya.
KPAK BING BING!
Dengan Atyy bakal bergelar isteri bulan depan, beliau juga akan kurang menerima tawaran berlakon yang diberi kepadanya sehingga November.
Namun bulan ini, beliau juga terlibat dengan penggambaran bagi satu program info-ed empat episod selain sibuk dengan persiapan perkahwinannya.
Beliau juga terpaksa membuat beberapa penyesuaian akibat kesan pandemik Covid-19 termasuk membatalkan rancangan bulan madu beliau dan bakal suami ke New York, Amerika Syarikat.
"Sedih jugalah kerana pada mulanya kami sepatutnya ada 1,200 jemputan tapi sekarang 50 orang saja yang boleh hadir," katanya sambil menambah, kebanyakan mereka yang akan hadir di majlis perkahwinannya nanti merupakan anggota keluarga sahaja.
"Saya percaya ini (mencuba pelbagai genre) satu cara untuk memperbaiki lakonan saya dan saya harap akan diberi peluang. Kalau nak saya berlakon dalam cerita hantu pun boleh!" - Atyy Malek.
KENALI ATYY MALEK
Nama: Atyy Malek (nama sebenarnya Noorhayati Abdul Malek)
Usia: 29 tahun
Adik-beradik: Tiada, anak tunggal
Pelakon kegemaran: Ramai termasuk Denzel Washington dan Jennifer Lawrence tapi saya suka tonton drama Korea juga, jadi saya pun suka pelakon seperti Son Ye-jin (Crash Landing on You) dan Seo Ye-ji (It's Okay to Not Be Okay).
Pelakon setempat kegemaran: Masturah Ahmad. Beliau pelakon yang amat serba-boleh... kelakar, garang, gila-gila pun boleh!
Filem Melayu kegemaran: Sebarang filem Bujang Lapok kerana tak jelak tengok!
Penyanyi kegemaran: Kalau setempat, Aisyah Aziz. Kalau dari luar negara, mestilah Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Makanan kegemaran: Mi soto. Saya suka yang dimasak sendiri di rumah.
Apa yang orang ramai tidak tahu tentang Atyy: Saya pernah berkhidmat sebagai pendidik bersekutu di Sekolah Rendah Horizon di Punggol selama dua tahun.
Moto hidup: Selalu positif dan anggap apa sahaja yang berlaku sebagai satu pengajaran dalam hidup.
