Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Ayahanda' jambatan kasih anak yang merindu

Bakat SG, Amy Eedaya, dibantu sahabat seni Nana Karia luah kata tak terungkap buat bapa yang terpisah lama
Jan 15, 2022 | 05:30 AM



KETANDUSAN kasih seorang ayah yang tidak dirasakan sejak sekian lama membuatkan penggubah lagu dan penyanyi setempat, Amy Eedaya, mengilhamkan lagu sulungnya Ayahanda.



Tanda tanya apakah ayahnya sarat dengan amarah, sesuatu yang dirasakan ketika menemani si ayah memancing pada usia kanak-kanak, masih bermain di fikiran.



Dibantu sahabat seninya, penyanyi mapan dan guru vokal, Nana Karia, Amy merealisasikan impian bertahunnya untuk terbitkan lagu yang diharap dapat sampai ke hati sesiapa sahaja yang rindukan ayah mereka.



Ingin dijadikan lagu ini penutup segala keresahan dan penanda hatinya sudah reda memaafkan ayahnya walaupun masih bersarang bermacam tanda tanya di fikiran.



Beliau juga menyimpan segunung harapan ayahnya akan mendengar lagu ini kerana ia merupakan projek keluarga dengan luahan rasa yang selama ini terbuku dapat dilahirkan dengan jelas.



Adik Amy menyiapkan lakaran ilustrasi bagi kulit 'single' Ayahanda manakala abangnya pula membantu menghasilkan klip video lagu ini.



Lagu ini mula berkumandang kepada umum semalam.



Ketika dihubungi Berita Harian menerusi Zoom baru-baru ini, Amy, 34 tahun, berkata:



"Saya membesar pada usia remaja tanpa ayah. Ibu bapa saya berpisah sejak usia saya 17 tahun.



"Semasa kecil, ayah ada dan saya selalu menemaninya memancing. Hubungan kami walau bagaimanapun tidak rapat. Sebab beliau selalu dalam keadaan marah sampaikan saya tertanya-tanya, 'bapak aku ni sayangkan aku ke tidak?'



"Ayah saya hilang entah ke mana selepas perpisahan dengan ibu. Kami puas mencarinya di mana-mana. Kami hanya dapat jumpa sebentar sahaja ketika saya bernikah.



"Ayah memang tak suka berbual dengan anak-anaknya. Beliau pernah menjadi pemuzik tetapi dirinya memang tak tahu saya pun ceburi bidang ini dan aktif bikin lagu walaupun belum diterbitkan sebelum ini."



Dalam keadaan komunikasi memang tidak wujud antara Amy dengan ayahnya, beliau ingin lagu Ayahanda ini menjadi penyelamat dan penyatu hubungan mereka semula.



"Saya nak rasa kasih sayang seorang ayah semula. Kerana sikap ayah, saya pernah mempunyai tanggapan negatif tentang semua ayah.



"Malahan, apabila saya melalui kehidupan yang tidak menentu sampaikan kemurungan, saya selalu salahkan ayah saya.



"Tapi Allah Maha Kuasa. Saya dipertemukan dengan suami yang memberikan saya satu pengajaran bahawa tidak semua ayah membina tembok pemisah dengan anaknya dengan lebih menayangkan amarah.



"Saya lihat cara suami melayan anaknya iaitu anak tiri saya, saya rasa sejuk hati. Suami saya banyak mengajar saya erti kasih sayang dan membantu saya keluar daripada belenggu kemurungan setahap demi setahap.



"Saya akur ada ramai ayah di luar sana yang memberikan yang terbaik dalam amanah mereka," cerita Amy lagi.



Beliau banyak mendapat galakan daripada Nana yang berpesan kepadanya agar lebih terbuka untuk memaafkan orang tuanya.



Kata Nana:



"Sebagai seseorang yang dianggap Amy seperti kakak sendiri, saya selalu berpesan kepadanya agar memaafkan untuk rasa tenang.



"Jangan biarkan hubungan yang terputus dan lidah yang selalu kelu ingin berbicara dengan ayah sendiri menjadikan mereka persis orang asing yang tidak mengenali walhal wujud pertalian darah.



"Walau apa pun yang berlaku pada masa silam, kita masih boleh mengubah haluan kita selanjutnya.



"Apabila saya tulis lirik ini, saya ingin sampaikan kepada Amy kepentingan untuknya memaafkan terlebih dahulu sebagai seorang anak.



"Alhamdulillah, saya dilahirkan dalam keluarga di mana ibu bapa menjadi orang paling rapat dan sistem sokongan saya. Apa-apa yang saya lalui akan saya kongsi dengan mereka yang menyalur kasih sayang sepenuhnya.



"Penulisan saya dalam lagu Ayahanda menggambarkan empati yang saya rasakan pada situasi Amy. Sukar untuk saya fahami pada awalnya kerana saya tidak pernah melaluinya tetapi saya cuba meletakkan diri saya dalam situasinya serta merasakan kemaafan adalah jalan keluar terbaik."



Menurut Nana lagi, ada ramai anak muda yang beliau kenali menghadapi masalah hubungan tegang bersama ayah mereka.



"Mudah-mudahan, perasaan selalu menyalahkan ayah atau payah memaafkannya akan pudar apabila mereka dengar lagu ini.



"Kita semua mencari penyelesaian pada masalah kehidupan. Walau apa pun, mereka tetap ayah yang kalau tanpanya, tak adalah kita.



"Tak salah dan tak rugi kalau kita orak langkah pertama berbaik-baik semula dengan orang tua kita," ujar Nana lagi.



Persahabatan Nana dan Amy mula akrab sejak beberapa tahun lalu meskipun awalnya mereka mengenali ketika Nana masih menyanyi di kelab malam dan Amy pula menjadi seorang pelayan.



Mereka berdua bahkan merancang memasuki peraduan cipta lagu Suria, Projek Lagu, tahun lalu.



Amy kemudian meneruskan usaha menyertainya sendiri tetapi terpaksa berundur atas sebab yang terlalu peribadi untuk dikongsi.



"Saya sebenarnya berat hati nak berundur sebab sudah ada penyokong di media sosial yang tak sabar nak dengar lagu ciptaan saya selepas pusingan pertama.



"Ayahanda bahkan adalah lagu yang sepatutnya dikeluarkan bagi pusingan selanjutnya.



"Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik segalanya. Lagu-lagu buat program itu yang sudah tercipta kami simpan dan dapat mengeluarkannya lebih awal. Jika tidak, kami perlu tunggu sampai Jun mengikut ketetapan pihak penerbitan Projek Lagu," katanya lagi.



Amy banyak belajar tentang pasang surut dunia seni dan perlunya berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang berniat memperdaya dan 'mencuri' lagunya.



Selama enam tahun, beliau menetap di Indonesia dan menguruskan sebuah band di sana. Pengalaman perit ditipu label rakaman yang mengambil lagu ciptaannya kadangkala membuatkan Amy fobia berkarya.



"Saya tak tahu perihal guaman dan hakcipta lagu. Saya tandatangani kontrak palsu. Tiba-tiba lagu keluar di bawah nama orang lain.



"Pengalaman itu membuatkan saya sedar saya harus lebih berhati-hati dan tahu hak saya sebagai penggubah agar tidak diperkotak-katikkan. Banyak kesabaran diperlukan.



"Dalam berhati-hati, saya juga harus buka hati percaya orang yang betul-betul ingin membantu dan membangkit nyala rasa saya semula. Ia bukan mudah. Kemurungan yang saya hadapi memang dahsyat.



"Mujurlah ketemu suami saya yang juga seorang pemuzik dan Kak Nana yang tiup semangat baru dalam diri saya," katanya lagi.




"Jangan biarkan hubungan yang terputus dan lidah yang selalu kelu ingin berbicara dengan ayah sendiri menjadikan mereka persis orang asing yang tidak mengenali walhal wujud pertalian darah.Walau apa pun yang berlaku pada masa silam, kita masih boleh mengubah haluan kita selanjutnya. Apabila saya tulis lirik ini, saya ingin sampaikan kepada Amy kepentingan untuknya memaafkan terlebih dahulu sebagai seorang anak."
- Nana Karia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >