Topik diikuti
Pergi ke BHkuBaca bersama kartun Peanuts di ‘pop-up’ Plaza Singapura kendalian NLB
Teroka ruang bertema Snoopy, Charlie Brown dalam perpustakaan mini dengan hampir 10,000 buku fizikal dan digital untuk kanak-kanak
Baca bersama kartun Peanuts di ‘pop-up’ Plaza Singapura kendalian NLB
Peminat kartun Peanuts dan pencinta buku kini boleh menyelami dunia Snoopy, Woodstock dan Charlie Brown di perpustakaan sementara atau ‘pop-up’ baharu di pusat beli-belah, Plaza Singapura yang terletak di Orchard Road.
Dianjurkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), ruang layan diri itu terletak di Aras 3 pusat beli-belah tersebut dan dibuka selama hampir setahun dari 27 Oktober 2026 hingga 19 September 2027.
Ia beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.
Perpustakaan itu menempatkan hampir 10,000 buku fizikal dan digital untuk kanak-kanak, termasuk koleksi khas judul Peanuts yang popular.
Pengunjung boleh meneroka beberapa ruang bertema, seperti membaca di Bilik Darjah Charlie Brown, menaiki Bas Sekolah Peanuts atau bersantai sambil membaca buku di Taman Snoopy yang selesa.
Mereka juga boleh mendapatkan cadangan bacaan yang disesuaikan dengan minat masing-masing di Pondok Lucy.
Di situ, pengunjung perlu menjawab beberapa soalan untuk menerima cadangan buku yang diperibadikan dalam bentuk penanda buku yang dicetak.
Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata daya usaha itu bertujuan memudahkan orang ramai daripada semua peringkat umur untuk kembali menikmati keseronokan membaca.
“Pengembaraan Snoopy, Charlie Brown dan rakan-rakannya telah memikat hati jutaan orang merentasi generasi, dan inti pati kisah-kisah ini ialah meraikan amalan membaca.
“Kami amat berbesar hati kerana watak Peanuts yang begitu disayangi ini dapat menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan kami terhadap ReadSG, gerakan nasional selama lima tahun untuk membina sebuah negara yang gemar membaca.”
Pengunjung boleh memasuki perpustakaan itu dengan mengimbas eCard NLB atau kad pengenalan yang diterima oleh perpustakaan. Mereka juga boleh memohon pas masuk harian berkod QR melalui pautan, https://go.gov.sg/snoopy-daypass
Pengunjung boleh meminjam bahan daripada koleksi perpustakaan itu menggunakan aplikasi NLB Mobile.