Topik diikuti
Pergi ke BHkuBahaya tersembunyi di sebalik bekas plastik krim penjagaan kulit
Bahaya tersembunyi di sebalik bekas plastik krim penjagaan kulit
Bahaya tersembunyi di sebalik bekas plastik krim penjagaan kulit
Kemungkinan besar majoriti produk penjagaan kulit dan kecantikan yang anda gunakan dibungkus dalam plastik.
Ramai antara kita tidak menyedari perkara tersebut, tetapi memandangkan perbincangan tentang mikroplastik semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada makanan hingga pakaian, kesan plastik dalam produk kecantikan juga patut diberi perhatian.
Pakar dermatologi, Dr Inna Szalontay, yang juga pengasas klinik penjagaan kulit, Libi & Daughters, mempersoalkan amalan menyapu krim dan serum pada kulit, sedangkan produk tersebut telah lama disimpan dalam bekas plastik.
Bagi beliau, sikap sebegitu seolah-olah menunjukkan kita tidak memberi keutamaan kepada kulit, sedangkan ia merupakan organ terbesar badan yang melindungi dan memisahkan kita daripada dunia luar.
“Dari segi perspektif saintifik, kebimbangan utama adalah kestabilan kimia pembungkusan dan rumusan produk kecantikan tersebut,” jelas Dr Szalontay.
Beliau menyebut bahawa sesuatu produk itu sering berada di rak kedai untuk bertahun-tahun lamanya, sebelum digunakan.
“Adakah anda sanggup minum air dari botol plastik yang berada di rak bertahun-tahun lamanya?
“Kini bayangkan jika ia turut terdedah pada matahari, haba dan diangkut dalam lori.
“Tiada siapa yang peduli kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi zarah mikroplastik turut berpindah ke dalam produk tersebut.”
Doktor estetik, pendidik sejagat yang juga pengasas, Skin Medical di United Kingdom, Dr Sabika Karim, merujuk proses itu sebagai leaching atau penyerapan.
Dr Karim menjelaskan kandungan dalam produk itu sendiri boleh bertindak balas dengan plastik, sekali gus menyebabkan pemecahan plastik kepada mikroplastik.
Bagi Dr Karim, terdapat produk tertentu yang tidak harus dibungkus dalam plastik, seperti minyak, pencuci muka berasaskan minyak, vitamin A atau retinoid berasas minyak, kerana ia boleh menyebabkan penyerapan bahan kimia dan merosakkan pembungkusan.
“Walaupun kulit kita adalah pengadang yang amat baik, bahan itu masih boleh menembusi ke dalam kulit.”
Dr Karim turut berkata plastik boleh menjejas kestabilan sesetengah bahan dalam produk penjagaan kulit, menyebabkan ia “hilang keberkesanannya”, terutama Vitamin C, bahan popular yang dapat melindungi kulit daripada kerosakan persekitaran, memudarkan kesan parut hitam serta memberikan kecerahan menyeluruh.
“Vitamin C, jika tidak disimpan dalam botol kaca biru atau coklat, cenderung menjadi tidak aktif dengan sangat cepat,” jelasnya.
Bagi Dr Karim, risiko terbesar pembungkusan plastik untuk produk kecantikan ialah keupayaannya untuk “mengganggu sistem hormon kita”.
Menurutnya, bahan itu boleh berinteraksi dengan sistem endokrin dan menyebabkan masalah hormon, termasuk isu berkaitan kesihatan reproduktif.
Malah pada dos yang sangat rendah pun, kesan kronik jangka panjang boleh mengganggu sistem endokrin.
Dr Szalontay pula menyentuh potensi kesan mikroplastik terhadap pengadang kulit.
“Terdapat bidang penyelidikan yang baharu dan menarik mengenai interaksi antara zarah plastik, mikroplastik dengan mikrobiom kulit,” katanya.
“Terdapat bukti yang menunjukkan produk dalam pembungkusan plastik tidak memusnahkan mikrobiom kulit sepenuhnya, tetapi melemahkannya dengan ketara.
“Ia meningkatkan tekanan oksidatif, sesuatu yang kita cuba atasi dengan menggunakan produk penjagaan kulit pada mulanya.
“Kita menyapukan sesuatu, dengan sangkaan ia memberi manfaat kepada diri kita, namun ada juga keburukannya.
“Keradangan dalaman dalam tisu turut meningkat, dan mikrobiom kulit turut berubah.”
Dr Szalontay menambah, zarah plastik yang besar dapat disingkirkan melalui sistem usus kita, iaitu melalui najis, namun zarah mikro adalah yang paling membimbangkan, kerana ia mampu melalui pengadang biologi.
“Plastik ditemui dalam susu ibu, ditemui dalam paru-paru, dalam darah dan anda tidak dapat mengeluarkannya dari situ.
“Ia akan menambah pelbagai keradangan dalaman yang terkumpul seiring usia kita.
“Ia tidak menyebabkan demam tinggi, kesakitan atau apa-apa gejala, ia hanya secara senyap memendekkan hayat kita dan menjejas mutu kehidupan kita,” katanya. – Agensi berita.
