Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bakat baru S'pura raih piala pelakon terbaik festival NZ

Rae Saleha dinobat dalam Festival Web New Zealand dalam kategori naratif antarabangsa
May 17, 2023 | 05:30 AM



TIDAK pernah terbayang dalam fikiran pelakon Singapura, Rae Saleha, bahawa suatu hari nanti beliau akan dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik dalam Festival Web New Zealand dalam kategori naratif antarabangsa.



Tambahan pula, kemunculannya dalam telefilem dwibahasa Korban itu adalah percubaan sulungnya dalam seni lakon secara profesional bagi aplikasi mewatch.



Ternyata, Korban membawa rezeki buatnya kerana sebelum ini watak yang dibawakan sebagai cef dengan hubungan cinta jarak jauh dan pelbagai isu pengorbanan ini turut membawa pencalonan dalam dua lagi pesta filem dan televisyen.



Rae, 30 tahun, bahkan dipilih sebagai finalis bagi kategori Persembahan Terbaik Pelakon Wanita dalam Pesta TV dan Filem New York serta Persembahan Terbaik Pelakon Wanita Utama (Kategori Digital) dalam Anugerah Televisyen Asia.



Ketika dihubungi Berita Harian baru-baru ini, Rae melahirkan kesyukurannya kerana kemenangan itu memberinya keyakinan untuk lebih memperkasakan dirinya yang suatu ketika dahulu pernah dibayangi kenangan pahit dibuli dan juga mengalami disleksia yang melambatkan prosesnya membaca.



"Saya menganggap segalanya sebagai aturan Allah yang datang tepat pada masanya. Mungkin rezeki yang tertulis atas doa ibu bapa saya dan juga rezeki sesudah berumah tangga.



"Kalau nak difikirkan, ketika meniti usia kanak-kanak dan remaja, saya memang jenis yang tak begitu yakin dengan diri saya sendiri kerana 'lambat tangkap' ekoran masalah disleksia.



"Kemudian dilihat macam 'tomboy' di sekolah perempuan...ada yang panggil saya dengan nama macam-macam. Tapi saya harus berterima kasih kepada ibu saya yang dedahkan saya pada bidang seni yang merupakan kekuatan dan nyala rasa saya.



"Ibu tak pernah putus asa dengan kelemahan saya dan selalu yakin anaknya ada potensi untuk diasah. Ibu dedahkan saya pada kelas pertuturan dan drama.



"Sehingga akhirnya, saya raih keyakinan diri masuk peraduan ratu cantik dan di situlah, titik tolak saya tahu kalau saya ikhlas buat sesuatu dan percaya pada kebolehan diri saya sendiri, tiada sesiapa yang dapat menghalang cita-cita saya. Biarlah orang nak cemuh atau kecam, saya tak hiraukan lagi."



Rae yang bernaung di bawah pengurusan syarikat seni Music & Drama Company menganggap peluang diterima berlakon dalam telefilem Korban sebagai usahanya memecahkan benteng menguasai pasaran Melayu setelah lebih diberi peluang menjayakan projek seni berbahasa Inggeris.



Telefilem itu juga sangat bermakna buatnya kerana ada babak di tanah perkuburan yang menyentuh kalbu kerana beliau seakan mengotakan harapan arwah datuk dan arwah neneknya yang ingin melihatnya menjadi karyawan seni di televisyen atau aplikasi penstriman.



Sejak itu, beliau sudah berlakon dalam drama MastKill dan telefilem Hari Raya, Manisan Syawal.



Rae juga diberi kepercayaan menjadi salah seorang artis program malam Raya, Sinar Lebaran.



"Sejak di sekolah, saya memang tak ramai kawan Melayu walaupun jiwa saya Melayu. Orang akan tanya siapa budak macam Cina ni?



"Beza dengan suami saya, mualaf asal Cina yang mukanya macam Melayu dan lebih ramai kawan Melayu kerana berkecimpung dalam bidang tarian dan muzik.



"Sebab itu, kami saling melengkapi. Awal pertemuan adalah di Music & Drama Company. Dah lama berkenalan dan akhirnya kami kini suami isteri yang saling memahami.



"Harapan saya selepas ini, nak memperkaya lagi kosa kata dalam bahasa Melayu. Saya memang suka bertanya panduan daripada rakan-rakan lain seperti Abang Khairudin Samsudin yang suka mengusik, Kak Seri Wahyuni Jaes yang jujur memberi teguran bersahaja serta Kak Rosita Hussin yang tak lokek berkongsi ilmu seni.



"Kak Seri selalu pesan, 'Rae, ini bukan kerja model ya...nak jalan tak perlu lenggang-lenggok macam model. Buat macam biasa'," jelasnya lagi.



Rae menganggap kemenangan dalam festival antarabangsa sebagai pembakar semangat buatnya untuk tidak leka dan terus memburu ilmu seni.



"Ia juga gambaran bahawa seni itu dapat memberi semangat baru dan inspirasi untuk sesiapa sahaja buktikan diri bahawa kenangan silam dan kekurangan masa lalu kita dapat diatasi dengan tekad baru dan keikhlasan berkarya," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >