Topik diikuti
Pergi ke BHkuBakat 'Gen-Z' S'pura pertaruh irama spontan, lirik jujur
Bakat 'Gen-Z' S'pura pertaruh irama spontan, lirik jujur
Fatin SerulingLady sentuh jiwa dengan 'Dusta'; Nertasha pikat pendengar melalui 'Buang Masa'
Bakat 'Gen-Z' S'pura pertaruh irama spontan, lirik jujur
Apakah yang dimaksudkan dengan muzik cita rasa Generasi Z? Mengapa ia berbeza daripada arus muzik Generasi Y, Generasi X dan golongan 'baby-boomers'? BERITA MINGGU meninjau daripada pengalaman dua penyanyi Singapura dan seorang bintang muda Malaysia yang sedang meningkat naik namanya.
LUAHAN rasa yang jujur tanpa pedulikan apa orang lain nak kata.
Penuh kreativiti dari segi adunan irama, penulisan lirik ataupun memiliki kelainan berbanding era 'tangkap lentok' muzik 'rok leleh' tahun 1990-an.
Secara umum, inilah kata-kata yang sering dinyatakan bakat muda apabila dicungkil tentang cita rasa muzik budak-budak masa kini yang dipanggil Generasi Z (Gen-Z) atau 'zoomers'.
Gen-Z melibatkan mereka yang dilahirkan di antara lewat 1990-an hingga awal 2010-an.
Mereka merupakan generasi sesudah kelompok milenial atau Generasi Y (dilahirkan di antara 1982 dengan 2000); Generasi X (dilahirkan di antara 1965 dengan 1981) dan 'baby-boomers' (dilahirkan di antara 1946 dengan 1964).
Dua penyanyi Singapura, Fatin SerulingLady, 24 tahun, yang menyanyi dan meniup seruling, serta Nertasha, 26 tahun, diminta berkongsi lebih tentang apa yang menjadi nadi muzik Gen-Z.
Mereka turut menceritakan tentang kerja seni terkini yang mereka sajikan untuk tempoh pascapandemik Covid-19.
Fatin, atau nama sebenarnya Nurul Fatin Mohd Yusoff, baru muncul dengan single terkini, Dusta, dengan menampilkan seorang lagi bakat muda, Afiq Safiee, yang juga penggubah lagu ini.
Nertasha, atau nama sebenarnya Nurtasha Nabilla Sallahudin, pula telah menghasilkan lagu terkininya, Buang Masa.
Ikuti wawancara bersama Berita Minggu.
Soalan (S): Jelaskan cita rasa muzik Gen-Z. Bagaimana pula kecenderungan peribadi anda?
Fatin: Sejujurnya, saya terbuka dengan pelbagai genre muzik. Bagi saya, muzik Gen-Z ini lebih condong pada irama rancak yang boleh membuatkan mereka berdansa seperti lagu yang disajikan kumpulan Masdo dari Malaysia.
Muzik macam Pop Yeh Yeh yang datang semula tetapi buat Gen-Z terpesona.
Nertasha: Saya pula sering ikut 'mood'. Apabila saya sedih, saya dengar lagu balada. Apabila saya gembira, saya pilih lagu hip hop dan 'reggaethon'.
Kalau ditanya tentang muzik Gen-Z pula, saya yakin ia lebih pada meluahkan rasa sejujurnya.
Tengok lagu Billie Eilish yang sangat popular dalam kalangam Gen- Z. Kebanyakan masa, ramai yang boleh kaitkan diri mereka dan hadam lagu Billie.
S: Ceritakan tentang lagu terkini anda, 'Dusta'.
Fatin: Ia dihasilkan secara spontan. Ia hasil ciptaan rakan sekerja saya, Afiq Safiee, pada 4 pagi!
Beliau petik gitar dan dari situ, terciptalah irama Dusta. Afiq sebenarnya tidak terfikir pun untuk bikin lagu ini.
Namun, apabila saya dengarkan lagu itu, saya terus jatuh hati pada melodi lagu tersebut.
Lantas, dapat idea menghasilkan lirik lagu ini yang mengisahkan tentang hubungan cinta yang tidak tulus dan membuat seseorang itu rasa diperdaya dengan ungkapan kata-kata manis yang pernah disampaikan pasangannya.
Dirinya rasa diperguna dan tidak mampu mempertahan hubungan cinta yang sebenarnya tidak pernah wujud.
S: Bagaimana pula dengan lagu 'Buang Masa'?
Nertasha: Lagu ini menceritakan tentang wanita yang sudah tahu perangai sebenar seorang jejaka yang ingin mengenalinya.
Si jejaka diibaratkan seperti si 'buaya darat' yang suka meluahkan kata-kata manis dan sering memberi janji kosong.
Sebagai wanita yang sudah putus asa dalam percintaan, dia pun menolak cinta itu kerana serik.
Apabila diberi demo lagu ini oleh penggubah Yazri Malik, saya tertarik dengan rentak lagu ini. Ini juga percubaan saya dalam mendendangkan lagu pop buat kali pertama. Maka, saya keluar daripada zon selesa saya.
S: Apakah cabaran menghasilkan 'single' kali ini?
Fatin: Cabaran yang dihadapi adalah merakam vokal ini secara aman di tempat kerja kami iaitu makmal komputer. Sudah tentu ada kalanya terdengar bunyi yang tidak dapat dielakkan dalam makmal itu.
Nertasha: Mencari tajuk lagu yang sesuai. Saya cuba dapatkan idea daripada pengikut saya di Instagram bahkan sediakan hadiah bagi sesiapa yang memberi tajuk paling kreatif dan unik.
Seorang pengikut saya, Alex Aqil, memberi tajuk paling sesuai dengan genre lagu ini iaitu Buang Masa.
S: Apa yang perlu dilakukan untuk menempatkan nama baru seperti anda agar dikenali di persada seni Singapura? Apa lagi ingin dicapai?
Fatin: Alhamdulillah, saya tidak sangka penyokong saya masih setia menanti perkembangan saya selanjutnya walaupun sudah hampir dua tahun saya menyepi tanpa karya baru.
Mereka menerima baik diri saya yang menyanyi dan bermain seruling. Sehingga kini, mereka masih menyokong dan memberi semangat untuk saya terus berjuang.
Di wadah TikTok juga, saya menerima penyokong baru dari Malaysia dan Indonesia. Mereka sering putarkan lagu saya ketika bersiaran di media sosial.
Saya ingin kekal relevan dalam industri muzik tanah air dan berharap akan sentiasa dihargai.
Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencipta lebih banyak lagu yang boleh dikaitkan dengan kehidupan pendengar dan penyokong setia saya.
Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan bintang Malaysia seperti Aina Abdul yang meluah kejujurannya dalam lagu.
Nertasha: Saya perlu pelajari teknik vokal, menerima kritikan ataupun tunjuk ajar daripada penyanyi yang lebih lama dalam industri muzik. Dari situ, saya boleh pertingkatkan lagi vokal dan gaya persembahan saya.
Saya juga berharap dapat bekerjasama dan berduet dengan penyanyi seberang Tambak atau tempatan.
S: Lagu 'Sumpah Janjimu' dan 'Cinta Larangan' mendapat jumlah penstriman yang amat menggalakkan iaitu 90,703 kali dan 85,429 kali. Apa kekuatan dua lagu ini?
Fatin: Kededua lagu mempunyai seni kata sangat sentimental. Apabila pendengar mendengarnya, mereka pastinya terkenang kisah silam mereka.
S: 'Mi Amor', lagu anda sebelum ini, mendapat sambutan baik di media sosial dengan adanya cabaran TikTok. Apakah daya tarikan lagu ini?
Nertasha: Saya rasa kekuatan lagu ini terletak pada lirik yang 'catchy' dan rentak yang 'groovy'. Tambahan pula, kita boleh manfaatkan gerak tari seiringan dengan irama lagu ini di TikTok.
