Topik diikuti
Pergi ke BHkuBakat Indo, Waode, dengan faktor 'wow'
Bakat Indo, Waode, dengan faktor 'wow'
Bakat Indo, Waode, dengan faktor 'wow'
APABILA suara penyanyi Indonesia, Waode Heni Andraini, dilontarkan bagi menyanyikan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nirmala, di pentas Big Stage 5 pada Ahad, ramai yang kagum dengan kebolehannya.
Beliau memiliki banyak faktor 'wow' yang boleh membuatnya menyerlah bahkan bergelar juara peraduan realiti Astro itu.
Waode, 26 tahun, yang berasal dari Baubau, Sulawesi Tenggara, sebelum ini merupakan finalis The Voice Indonesia (Musim Ketiga) dan Pop Academy (Musim Pertama).
Pada 2017, beliau turut bertanding dalam peraduan I Can See Your Voice Indonesia (Musim Kedua) di MNCTV.
Warganet Blank Space menulis di Twitter:
"Peserta Malaysia perlu tengok macam mana peserta Indonesia buat persembahan. Tolonglah berhenti daripada menjadi persis bintang K-Pop."
Mohd Haniff pula menambah:
"Terbaik ah! Diberi tepuk sanjungan lagi... Aina kasi 90 peratus, Ajai kasi 73 peratus. Terbaik Indonesia!"
Yienn pula menambah:
"Patutlah beri yang terbaik. Aisha Retno (pemenang ketiga Big Stage 4) dan pasukan bantu memberikan sokongan kreatif."
Daya persembahan Waode memang memukau perhatian.
Beliau berada di tangga kedua dengan markah 84 peratus di belakang Nadeera Zaini yang meraih markah 85.67 peratus menerusi lagu Levitating.
Rakan senegara, penyanyi Andmesh, yang menjadi juri jemputan, berkata:
"Memang mempunyai mutu yang satu auditorium tak boleh bohong. Nak komen apa lagi ya? Tetap konsisten... jangan cepat puas.
"Yang pasti 'good luck', bagi yang terbaik dan berikan hiburan yang 'neutral'."
Kalau dilihat dari segi pengalaman Waode, memang beliau boleh disifatkan sebagai yang serba boleh.
Beliau bahkan pernah mengikuti peraduan Liga Dangdut Indonesia 2020 yang ditayangkan di Indosiar.
Mampu juga menyanyi lagu Inggeris dengan baik seperti yang dipopularkan Christina Aguilera, Waode adalah bintang muda yang dirasakan mampu menembusi pentas antarabangsa.
"Saya ingin mencuba pentas di luar Indonesia untuk melihat sejauh mana saya mampu pergi dalam bidang yang saya cintai.
"Saya amat sukakan lagu-lagu Siti Nurhaliza. Maka saya pilih salah sebuah lagunya untuk saya kongsi bersama peminat Big Stage 5," kata Waode dalam wawancara bersama Astro.
Yang pasti, juri seperti Aina Abdul dan Ajai sukakan keselesaan Waode di pentas Big Stage 5.
Orangnya bersahaja, sentiasa tersenyum dan memiliki daya hibur yang tidak disangkal lagi mampu membuat ramai terpaku di depan kaca televisyen.
"Saya ingin mencuba pentas di luar Indonesia untuk melihat sejauh mana saya mampu pergi dalam bidang yang saya cintai. Saya amat sukakan lagu-lagu Siti Nurhaliza. Maka saya pilih salah sebuah lagunya untuk saya kongsi bersama peminat Big Stage 5." - Penyanyi Indonesia, Waode Heni Andraini.
