Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bakat muda, mapan meriahkan 'Anugerah'

Konsep peraduan adu bakat Suria lebih luas tahun ini, cakupi ciri-ciri 'Anugerah Band' dan 'Anugerah V'
Jan 28, 2021 | 05:30 AM



DARIPADA menjuarai peraduan Suara Wisma Geylang Serai tahun lalu, penyanyi band tradisional Munir, Azra Zulaikha Razali, kini mencuba nasib bagi Anugerah pula.



Jika sebelum ini Hamidah Zainal merupakan peserta Anugerah V dan Choa Chu Kang Got Talent 2018, beliau turut berada di medan suara Anugerah yang masuk musim ke-11 tahun ini.



Jarak usia Azra, 23 tahun, dan Hamidah, 56 tahun, memang jauh beza tetapi inilah satu kelainan yang ditawarkan Mediacorp Suria sebagai penganjur adu bakat yang membuka tirainya Selasa depan dengan persembahan Kumpulan A.



Dalam menghargai kekayaan dan kerencaman bakat dalam masyarakat Singapura, peraduan kali ini menggabungkan ciri-ciri edisi adu bakat terdahulu iaitu Anugerah Band dan Anugerah V.



Justeru, usia peserta menjangkau antara 16 tahun dengan 60 tahun.



Seramai 18 peserta terpilih bagi siaran televisyen dalam kalangan lebih 500 klip uji bakat yang dikirimkan tahun lalu.



Mereka akan beradu vokal dalam tempoh 10 minggu dengan peringkat akhir Anugerah diadakan pada 9 April ini.



Setiap minggu, peserta diberi lagu mengikut tema seperti pop kontemporari, lagu yang dihasilkan pada tahun peserta dilahirkan, muzik dunia dan '100 Peratus Muzik Buatan Singapura'.



Kata Ketua Audiens Melayu & Eaglevision, Cik Sabariah Ramilan:



"Mediacorp teruja mengembalikan Anugerah dengan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta di atas respons mereka yang amat menggalakkan dalam sesi panggilan uji bakat.



"Sudah sampai masanya bagi kami mencungkil lebih ramai bakat muzik. Kami tidak sabar menyaksikan persembahan peserta yang disenarai pendekkan.



"Dalam masa beberapa bulan ini juga, kami menanti masa mendekati peminat menerusi berbilang wadah dan secara bersama, kami ingin meraikan yang terbaik dalam kalangan bakat setempat di samping semarak persada muzik Singapura."



Hadiah $25,000 menjadi taruhan dengan peserta diadili juri tetap, Najip Ali dan Ann Hussein.



Azra yang bertugas sebagai eksekutif kemasyarakatan (pemasaran dan perhubungan), berkata:



"Saya menyifatkan diri saya sebagai seseorang yang rajin dan tidak mudah berputus asa. Saya sukakan cabaran yang memerlukan saya keluar daripada zon selesa saya.



"Anugerah adalah wadah terbaik bagi melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang nyanyian. Saya menanti masa memberi sentuhan peribadi saya kepada lagu-lagu yang didendangkan. Bereksperimen dengan lagu menggembirakan saya."



Hamidah yang mesra dengan panggilan Meeda Zainal dalam peraduan ini pula diuji dengan penyakit ginjal dan barah buah dada.



"Seorang doktor pernah memberitahu saya, 'Jika anda rasa gembira, 50 peratus daripada barah anda akan lenyap'.



"Lantaran itu, saya cuba kekal positif sejak mendengar kata-katanya itu dan fokus dalam memberi yang terbaik dalam kehidupan," katanya yang suka memasak pada masa lapang dengan sajian nasi hujan panas sebagai kepakarannya.



Wanita cekal ini menganggap kehidupan sebagai pesakit ginjal ini ibarat menaiki 'rollercoaster'.



"Saya memasuki Anugerah bukan sahaja bagi memenuhi impian saya tetapi bagi menggembirakan hati saya juga.



"Saya juga bersyukur suami saya amat memberi sokongannya dalam saya menyertai peraduan ini. Matlamat saya adalah sampai ke peringkat akhir peraduan," tambahnya.



Turut bertanding dalam Kumpulan A ialah lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam jurusan kembara dan pelancongan, Muhammad Andri Darwisy Ghazali, 19 tahun.



Beliau yang pernah mewakili Singapura ke pentas '32 Terbaik' dalam Dangdut Academy Asia 4 (DAA4) di Jakarta pada 2018, berkata:



"Peraduan adu bakat tempatan seperti Anugerah adalah wadah yang hebat buat mereka yang masih hijau dalam bidang nyanyian seperti saya agar terus mencuba dan mempelajari keperluan dan tuntutan industri hiburan.



"Saya harap dapat kawal rasa gementar dan benar-benar menjiwai identiti yang saya ingin tampilkan sebagai penyanyi," jelas Andri.



Pereka grafik berusia 29 tahun, Ibnur Aliff (Raliff) Ismail, pula meyakini suaranya unik malah mampu mendendangkan lagu malar segar legenda seperti Ismail Haron, Roy, Broery Marantika, Sugiman Jahuri dan Fariz RM di sebalik usia mudanya itu.



Beliau menantikan latihan vokal dan sesi 'masterclass' yang disediakan bagi mengatasi keresahan dan memperkasa persembahannya.



Sementara itu, dua kumpulan yang menyertai pertandingan adalah Saát dan Awwcappella.



Saát yang terdiri daripada Aminurrrashid Othman, 36 tahun; Feroze Mcleod, 33 tahun; Muhammad Syahmi Samad, 34 tahun; Fairuz Azhar, 31 tahun; dan Muhammad Hasif Jasman, 31 tahun; adalah band yang baru ditubuhkan.



Nama 'Saát' dipilih bagi melambangkan detik keemasan dalam hidup.



"Kami semua bukan semakin muda. Justeru, setiap saat itu berharga. Masanya adalah sekarang!" jelas Hasif selaku vokalis.



Mereka menyertai Anugerah bagi meraih pengalaman baru di samping mencabar diri mereka dalam muzik.



Awwcappella pula terdiri daripada empat mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Siti Yasnira Johan, 22 tahun; Leo Nakaoka, 23 tahun; Nur Rahwani Hamzah, 24 tahun; dan Ahmad Mustaqim, 23 tahun; yang menyertai kumpulan Harmonics di institusi itu serta mahasiswa Maktab Seni Lasalle, Nur Ridwana Hamzah, 21 tahun.



"Kami menjalin persahabatan menerusi minat serupa dalam muzik. Kami ingin keluar daripada zon selesa kami, memperbaiki diri dalam muzik dan mengenalkan nyanyian koral kepada masyarakat Melayu," jelas Siti Yasnira.



Anugerah disiarkan di aplikasi meWATCH dan Suria mulai 8.30 malam, Selasa ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >