Apakah takrifan anak seni Nusantara mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam lagu yang disampaikan?
Bagaimana mereka memanfaatkan kehalusan dan keunikan bahasa Melayu untuk menyampaikan maksud dalam lagu yang dihasilkan?
Inilah yang mampu anda selami menerusi lapan acara muzik yang dipersembahkan pusat seni Esplanade menerusi program, Cipta Cita, yang disajikan sebagai sebahagian siri Pentas pusat seni itu.
Cipta Cita yang diadakan percuma antara 6 dengan 8 September di beberapa lokasi sekitar Esplanade diadakan sempena Bulan Bahasa dan bagi meraikan warna-warni bahasa Melayu tercinta menerusi muzik.
Cahaya Cinta
Masa: 6.45 petang dan 7.45 malam
Tempat: Ruang Legar, Esplanade
Selama 30 minit, anda dihiburkan dengan lagu balada penuh emosi dan lagu rancak penyanyi dan penggubah lagu pop balada Melayu dari Singapura, Rico Setiabudi.
Antara pencapaiannya termasuk ditempatkan di tangga kelapan sebuah peraduan menyanyi antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
Lagu pertamanya, Bisikan Hati, turut dicalonkan dalam kategori, Lagu Tema Terbaik pada Pesta Perdana 2017.
SATWO
Masa: 7.15 malam, 8.30 malam dan 9.45 malam
Tempat: Teater Luar DBS Foundation, Esplanade
Pasangan suami isteri, Rafiz Mohamed Zakaria dan Tuan Mazlinna Tuan Abdul Malek (Maz), menubuhkan SATWO pada 2016.
Duo dendang rakyat itu menamakan kumpulan mereka SATWO iaitu gabungan perkataan, ‘satu’ dan ‘two’.
Mereka meraih pengiktirafan menerusi lagu suram bertajuk, Gelap, mengenai pergelutan dalaman manusia.
Album sulung mereka, Di Persembunyian, juga mendapat sambutan menggalakkan kerana bunyian unik dan lirik penuh emosi.
Antara lagu terkenal termasuk, Untok Kita (Hanya Kita), Cahaya Malam, Betapa Indah dan Sepasang Sayap.
In Conversation: Cipta Cita x Mediacorp Kaki Nyanyi
Masa: 3 petang
Tempat: Esplanade Black Room
Penggubah lagu dengan jualan album platinum, Sezairi Sezali, dan isterinya, Syaza, yang juga pengurusnya kini, berkongsi tentang industri muzik dari sudut kreatif dan pengurusan.
Sezairi, yang merupakan antara pengadil program realiti Mediacorp akan datang, Kaki Nyanyi, akan berkongsi proses ciptaan lagu serta kepentingan kerjasama dalam mencipta kejayaan buatnya.
Beliau dan Syaza akan membawa anda meninjau hubungan antara artis dengan pengurus serta nasihat dalam melindungi karya seni sebagai penggubah dan penulis lagu.
Pukul Canang Pop Up: Fifi
Masa: 6.45 petang dan 8 malam (Nota: Fifi juga akan membuat persembahan pada 8 September pada waktu yang sama).
Tempat: Ruang halaman di hadapan pesisiran Esplanade
Bakat setempat dengan nama pentas, Fifi, akan membawa anda mengimbas jalan kenangan menerusi lagu dendangan asal P. Ramlee dan Saloma, Ella dan Masdo, menyusuri era 1950-an hingga masa kini.
RHAUN
Masa: 6.45 petang dan 7.45 malam
Tempat: Ruang Legar Esplanade
Lagu-lagu mendayu ciptaan sendiri mahupun band Indonesia seperti Ungu dan Peterpan akan dipersembahkan bakat Singapura yang dikenali dengan nama pentas, RHAUN.
Menurut Esplanade, lagu-lagunya sesuai didengar sewaktu hujan dan anda mampu rasakan emosi yang disisipkan dalam setiap karya seninya.
Lorjhu’
Masa: 7.15 malam, 8.30 malam dan 9.45 malam
Tempat: Teater Luar DBS Foundation, Esplanade
Selama 45 minit, anda akan dibuai dengan irama tradisional Madura yang disatukan dengan sisipan unsur muzik moden.
Lorjhu’ dibentuk pada lewat 2019 dan diterajui Badrus Zeman. Lagu pertamanya, Nemor, dihasilkan sewaktu pandemik Covid-19 pada 2020.
Pada 2022, Lorjhu’ menjadi kumpulan trio terdiri daripada Badrus (vokalis dan gitaris); Gaharaiden Soetansyah (pemain dram); dan Insan Negara (gitaris bes).
Album yang mereka hasilkan menyentuh tentang alam semesta dan kawasan pinggir pantai di Madura.
Banyak kisah mitos lautan dikongsi dalam album mereka.
Hip Hop Temasek (San & The Workshop)
Masa: 7.15 malam dan 8.30 malam
Tempat: Teater Luar DBS Foundation di Esplanade
Penggiat hip-hop setempat, San The Wordsmith, akan mengubah hip-hop Nusantara dengan campuran pengaruh bunyian tradisional Melayu dan bunyian moden. Ada unsur puitis dan muzik hip-hop moden dalam persembahannya yang turut menampikan penghibur tamu, Blckywacky, acapslim, Afik Blaze dan LMI.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg