Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bakat SG Farhan Shah kembali dengan trilogi video muzik

Ia sebahagian acara percuma Cipta Cita yang diadakan Esplanade sempena sambutan Bulan Bahasa
Sep 21, 2021 | 05:30 AM



IBARAT satu tayangan trilogi francais filem gah, tiga video muzik bakat Singapura, Farhan Shah, disajikan satu persatu buat pengikutnya di media sosial.



Pada penghujung terbitan karya kreatif ini, alumni Singapore Idol (Musim Ketiga) itu tampil pada 10 September lalu di dalam talian dan Teater Luar Espalanade bagi satu persembahan percubaan perintis dalam tempoh pandemik.



FS Visual Trilogy: The Show dipaparkan sebagai sebahagian acara percuma Cipta Cita yang diadakan Esplanade sempena sambutan Bulan Bahasa.



Farhan, 29 tahun, begitu terharu kerana mendapat sokongan ramai teman dalam industri seni bagi menghasilkan trilogi video ini dalam keterbatasan sumber dan masa.



Lagu-lagu yang diberi sentuhan kreativiti dalam bentuk video muzik ini terdiri daripada Istimewa (2015), Terjatuh Hati (2016) dan Racun (2018).



Ketika dihubungi, Farhan menjelaskan idea FS Visual Trilogy ini datang secara rambang apabila beliau sedang bersembang dengan dua sahabat karibnya, juruvideo Haiqel Rayzuko dan penata rias Nuh Mahmood (The Grumpy Socialist).



Haiqel adalah juruvideo bagi Istimewa dan Terjatuh Hati manakala Haqim Mokhtar merupakan juruvideo buat Racun.



Pasangan adik-beradik, Gico Babagay dan Gino Babagay merupakan jurutari dalam projek Farhan manakala Caleb Koa pula pengarah muzik bagi acara di Esplanade.



Ternyata, sesi sembang bersama Haiqel dan Nuh bukan setakat bual-bual kosong tetapi benar-benar menghasilkan idea lumayan buat kerjaya seni Farhan.



"Mereka berdua merasakan pandemik adalah tempoh yang baik bagi mengeluarkan video muzik. Kebanyakan orang di rumah dengan pergerakan terbatas. Tak ramai yang keluar ke sana ke mari. "Tumpuan umum adalah pada media sosial. Seberapa boleh, saya impikan setiap lagu saya akan mempunyai muzik videonya sendiri. Kalau tidak, saya akan rasa ada perkara yang tidak lengkap atau belum cukup lagi.



"Cuma sukar bagi seorang artis bebas yang bergelut dengan bermacam cabaran dapat merealisasikan projek ini kerana ia benar-benar memerlukan wang yang banyak," cerita Farhan.



Mujurlah, rakannya Haiqel menawarkan khidmat videografinya sebagai projek nyala rasa bersama, menggambarkan erti sebuah persahabatan yang ikhlas.



"Kita nak buat segalanya dalam video muzik ini sederhana dan memaparkan saya menyanyi dalam sebuah bilik.



"Tapi hari demi hari mengusahakan tiga klip video ini membuatkan kami lebih bercita-cita tinggi dan ingin memberikan yang terbaik di luar jangkaan awal kami. Semakin lama, semakin 'menggila' idea kami!" tambah Farhan.



Setiap lagu yang dipilih bagi trilogi ini memberi maksud mendalam buatnya yang pernah menetap dan meneruskan pengajian di Australia selama beberapa tahun.



Menceritakan lebih lanjut, Farhan berkata:



"Terjatuh Hati merupakan klip video pertama yang dipaparkan. Ia dihasilkan lima tahun lalu dan mengisahkan tentang seorang gadis yang menarik perhatian saya.



"Kami menjalin hubungan cinta tetapi ia tidak bertahan kerana jarak antara kami. Saya berada di Perth ketika itu manakala si gadis pula tidak begitu meyakini hubungan jarak jauh akan 'menjadi'. Lantas, kami putus hubungan. Gadis itu adalah rakan industri di Singapura juga."



Istimewa, jelasnya, pula adalah karya khas yang ditujukan buat orang-orang yang bermakna dalam hidupnya.



"Saya akan memikirkan tentang keistimewaan ibu serta seorang peminta sedekah yang saya ajak sembang di jalanan Perth. Racun pula sangat bererti kerana ia adalah 'single' kelima saya yang membawa kejayaan merangkul Anugerah Lagu Terbaik Singapura pada Anugerah Planet Muzik (APM). Ia satu-satunya lagu dalam trilogi ini yang memaparkan kegelapan hidup. Anda boleh rasakan jiwa keanak-anakan Farhan Shah, penampilan lebih bergaya dari segi fesyen 'ada kelas' dan kesuraman aura serta sikap memberontak pada diri saya menerusi trilogi video ini," tambah Farhan.



Beliau juga akur dek pandemik yang melanda, tekanan turut terasa di set penggambaran video di mana semua dandanan perlu dibereskan segera agar tidak menyulitkan keadaan.



"Selepas menari, kena cepat-cepat pakai pelitup dan mengikut ketetapan pemerintah. Ia merupakan satu pengorbanan buat saya. Kadangkala penat juga. Namun, seni harus diteruskan juga. Kadangkala saya merasakan kalaulah kami rancang awal bagi trilogi video dan persembahan di Esplanade, banyak kekurangan yang boleh diatasi.



"Namun, penting bagi kita belajar daripada pengalaman menghasilkan tiga video ini. Buat kali pertama, saya adalah penerbit video muzik saya sendiri. Sebelum ini sudah kebiasaan mendapatkan khidmat orang menerbitkannya buat saya. Jadi, dari awal sampai penghujungnya, saya perlu tahu apa nak dibuat dan apa yang wajar dielakkan bagi memastikan kelancaran pembikinan video ini," kata Farhan lagi.



Haiqel pula banyak belajar daripada bekerjasama dengan Farhan. Baginya trilogi video itu adalah satu langkah bagi Farhan mengenalkan dirinya semula kepada industri muzik di Singapura.



"Dengan beliau mempunyai tiga video muzik bagi mengiringi lagu-lagunya, ia akan menarik penonton baru. Farhan juga boleh menunjukkan keupayaan serba bolehnya dalam muzik dan persembahan," jelas Haiqel.



Terlibat dalam projek ini pula membuatkan Gico teringatkan tempoh menyeronokkan sebelum Covid-19 melanda.



"Ada tekanan, ada teman menemani... kami tergelak riang walaupun kadangkala kami merosakkan tarian yang sudah cantik direka sebab kami tahu dengan segera kami bersemangat memahirkan diri kami dalam tarian tersebut. Saya bersyukur dengan projek bersama Farhan ini, saya dapat kembali menari lagi. Sebagai jurutari, saya belajar cara baru agar lebih kreatif malah dapat gali kebolehan yang saya sebenarnya miliki tetapi tak sedar ia ada dalam diri saya. Ini juga kali pertama saya bekerjasama dalam projek tarian bersama abang saya, Gino," ujar Gico lagi.



Pada akhirnya, Farhan melihat kerjasama dalam menjana trilogi video dan persembahan di Teater Luar Esplanade sebagai usaha terus membakar medan seni yang menerima tamparan hebat pandemik Covid-19.



"Janganlah anak seni mudah berputus asa. Alhamdulillah, saya bersyukur ada anak seni lain dalam persada Singapura dan orang awam yang menyokong saya," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >