Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat SG terima lamaran rakam lagu walau tewas bertanding

Lagu baru yang dihasilkan memberi seribu satu harapan buat band legenda mahupun bakat baru Singapura. Apakah pengertian lagu-lagu ini dalam perjalanan seni mereka? BERITA HARIAN melaporkan.
Dec 30, 2020 | 5:30 AM
IMPIAN JADI KENYATAAN: Setelah sekian lama mengidamkan lagu sendiri, Melissa Sailla, dipelawa penggubah lagu Yazri Malik agar merakam lagu 'Berpura Bahagia' yang sudah berada dalam simpanan Yazri sekian lama. - Foto BH oleh GAVIN FOO
IMPIAN JADI KENYATAAN: Setelah sekian lama mengidamkan lagu sendiri, Melissa Sailla, dipelawa penggubah lagu Yazri Malik agar merakam lagu 'Berpura Bahagia' yang sudah berada dalam simpanan Yazri sekian lama. - Foto BH oleh GAVIN FOO -

PENGGUBAH lagu Singapura, Yazri Malik, sudah lama menyimpan lagu tentang kejujuran bercinta, Berpura Bahagia, dalam koleksi 'perpustakaan lagu' hasil karyanya.

Beliau hanya menanti masa muncul bakat setempat yang dapat mendendangkannya dengan baik dan penuh penjiwaan.

Kebetulan beberapa bulan lalu, Yazri, 41 tahun, melihat finalis rancangan adu bakat dalam talian, Suara Dasyat Giler, Melissa Sailla, 32 tahun, membuat persembahan.

Terbetik di hatinya, inilah orang yang layak mendendangkan lagu Berpura Bahagia dengan baik.

Apabila Melissa tidak dipilih sebagai pemenang Suara Dasyat Giler, Yazri langsung mempelawanya menyanyikan lagu ini.

Sebagaimana kata Yazri ketika dihubungi:

"Sebenarnya, Yaz sudah lama simpan lagu Berpura Bahagia ini di dalam 'perpustakaan muzik' Yaz. Cuma belum jumpa penyanyi yang sesuai menyanyikannya.

"Ilham Yaz datang daripada banyak menonton filem dan dokumentari. Percaya atau tidak, saya jarang dengar muzik walaupun seorang pemuzik!

"Irama dan lirik Berpura Bahagia timbul setelah saya menyaksikan dokumentari tentang perceraian di YouTube."

Bagi Yazri, wadah seperti Suara Dasyat Giler adalah yang baik dalam mengetengahkan bakat Singapura di samping mencungkil bakat baru.

"Yaz melihat potensi Melissa bukan di wadah pertandingan. Beliau adalah penyanyi yang lebih menyerlah di studio rakaman meskipun tewas di medan pertandingan.

"Dari pengamatan Yaz, ada dua jenis penyanyi - seorang yang berpotensi menang dalam pertandingan tetapi payah melahirkan lagu sendiri dan seorang yang akan masuk bermacam peraduan tetapi tetap kalah... dia bukan tak bagus... keupayaannya lebih di studio rakaman," ujar Yazri.

Baginya, Melissa mengingatkannya tentang penyanyi rok 1990-an, Nike Ardilla.

"Kalau Melissa terus bekerja keras, insya-Allah akan tercapai cita-citanya," tambah Yazri lagi.

'Lamaran' Yazri bagi Melissa menjayakan 'single' Berpura Bahagia ini bak pucuk dicita, ulam mendatang buat Melissa.

Dari dahulu lagi, beliau mengidamkan peluang merakam 'single' sendiri tetapi akur belum ada rezeki.

"Mujurlah, Yaz tawarkan Mel peluang keemasan ini. Alhamdulillah, Mel teruja dan bersyukur dapat bekerjasama dengan penggubah lagu sehebat Yaz.

"Bagai mimpi jadi kenyataan rasanya apabila Yaz memberi kepercayaan buat Mel bawakan lagu ini.

"Sewaktu beliau kirimkan demo lagu ini kepada Mel, langsung jatuh cinta dengan irama dan liriknya yang ada kena mengena dengan alam percintaan Mel suatu ketika dahulu.

"Lagu ini mengisahkan tentang perasaan seseorang yang tidak jujur dalam bercinta dan hanya mahu membahagiakan pasangan mereka, walhal tiada rasa kasih pun yang wujud.

"Ini mengakibatkan pasangannya terluka dengan kepura-puraan itu. Pengajaran daripada lagu ini, lebih baik jujur dengan hati sendiri. Jangan berpura-pura sampaikan terluka pasangan anda," cerita Melissa.

Menurutnya lagi, beliau diberi masa yang singkat iaitu tiga hari bagi menghadam lagu ini. Pada hari kelima, beliau perlu merakam suaranya dalam keadaan dirinya tidak cukup tidur kerana gigih menghafal lirik lagu tersebut.

Rasa gementar berada di studio buat kali pertama juga tidak dapat dielakkan. Ia sangat berbeza daripada menyanyi secara langsung dalam peraduan adu bakat.

"Tak boleh tipu kalau suara dah 'terlari'. Saya belajar mengawal suara, berbeza daripada lontaran kuat dalam persembahan langsung.

"Saya belajar tentang tonasi berbisik, mengeluh, marah dan banyak lagi di studio rakaman. Semua ini bagi menyesuaikan 'feel'," jelasnya yang masuk peraduan menyanyi pada usia 10 tahun dan bergelar naib juara dengan menyanyikan lagu Noraniza Idris.

Bekas peserta Anugerah 2009 dan Smule 2016 ini akur dirinya tidak berputus asa mencuba dan memperbaiki diri demi maju dalam bidang nyanyian yang dicintai.

"Tahun 2020 adalah yang mencabar buat semua umat dunia kerana wabak Covid-19.

"Diharapkan 2021 akan menjadi tahun lebih baik lagi buat semua. Secara peribadi, saya harap 'single' pertama saya ini diterima ramai. Saya terbuka pada sebarang maklum balas demi memperbaiki mutu nyanyian saya.

"Kalau ada rezeki, saya harap dapat hasilkan 'single' kedua pula. Saya selalu melihat kesyukuran itu sebagai satu nikmat. Saya pernah diserang penyakit sehingga tak mampu bernafas ketika bekerja sebagai penyanyi sebelum ini.

"Saya hilang mata pencarian ketika itu dan terpaksa berehat selama enam bulan sebelum keadaan kembali pulih," ujarnya.

"Bagai mimpi jadi kenyataan rasanya apabila Yaz memberi kepercayaan buat Mel bawakan lagu ini. Sewaktu beliau kirimkan demo lagu ini kepada Mel, langsung jatuh cinta dengan irama dan liriknya yang ada kena mengena dengan alam percintaan Mel suatu ketika dahulu. Lagu ini mengisahkan tentang perasaan seseorang yang tidak jujur dalam bercinta dan hanya mahu membahagiakan pasangan mereka, walhal tiada rasa kasih pun yang wujud. Ini mengakibatkan pasangannya terluka dengan kepura-puraan itu." - Melissa Sailla mengenai single pertamanya 'Berpura Bahagia'.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg