SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bakat S'pura Erwin Shah bina kerjaya baru

Bakat S'pura Erwin Shah bina kerjaya baru

Hero drama 'Krono' teroka tugas sebagai konsultan hutang, bakal buka bisnes ubah elok
Jul 29, 2021 | 5:30 AM

Bakat S'pura Erwin Shah bina kerjaya baru

LIPAT GANDAKAN USAHA: Walaupun dihimpit tanda tanya bagaimana ingin mula dari bawah dalam bidang serba baru setelah 11 tahun berlakon, Erwin Shah Dawson tidak gentar meneroka bidang runding cara hutang dan bakal membuka syarikat ubah elok sendiri. - Foto MEDIACORP SURIA
LIPAT GANDAKAN USAHA: Walaupun dihimpit tanda tanya bagaimana ingin mula dari bawah dalam bidang serba baru setelah 11 tahun berlakon, Erwin Shah Dawson tidak gentar meneroka bidang runding cara hutang dan bakal membuka syarikat ubah elok sendiri. - Foto MEDIACORP SURIA -

KERINDUAN pelakon Erwin Shah Dawson pada sesi penggambaran di seberang Tambak serta rentak kehidupan lebih perlahan terasa sejak lebih setahun pandemik Covid-19 menyekat pergerakan seninya di Malaysia.

Masih terbayang di ruang matanya sudut-sudut menenangkan di tebing sungai atau surau yang dikunjungi pada waktu lapang, jauh dari hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur.

Tidak dilupakan sesi jalan-jalan cari makan yang dilakukan bersama beberapa teman seiring jalan dalam dirinya meneroka negara jiran itu sambil mencari rezeki.

Sungguhpun begitu, apabila kembali ke Singapura dan terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan di Malaysia antara Mac dengan Oktober tahun lalu, Erwin, 32 tahun, tidak membiarkan dirinya resah tanpa pekerjaan.

Beliau enggan mengharap pada kerjaya lakonan sahaja lantas melakukan tugas kiriman makanan FoodPanda selama dua bulan.

Menyusuli berita mengenai dirinya berbasikal sambil menghantar makanan bagi kelangsungan hidup tersiar di media, Erwin kemudian dilamar menjadi pengarah syarikat runding cara hutang.

Kini, beliau gigih membuka syarikat ubah eloknya sendiri bersama beberapa rakan kerjasama.

Segala perkembangan terkini Erwin, juara Anugerah Skrin 2010, dikongsi dalam satu sesi Zoom bersama Berita Harian, baru-baru ini.

Sesi ini diadakan bagi mempromosikan siri drama kembara masa terkini, Krono, yang dibintanginya di saluran Suria dan meWATCH.

Kata Erwin:

"Selama enam tahun bekerja di rantauan, ia mengajar saya agar lebih berdikari, mempelajari tentang kelemahan dan kekuatan saya.

"Saya kian matang, lebih peka dengan apa yang boleh saya perkatakan agar tidak disalah anggap atau disalah takrif. Masyarakat kita penuh dengan adab. Saya harus pandai jaga diri.

"Terlalu banyak tempat yang mendekatkan saya dengan alam semesta dan Tuhan dapat saya terokai.

"Saya boleh memandu ke tebing sungai. Mana-mana sahaja ada surau atau musollah untuk saya cari ketenangan tanpa fikirkan perkara lain.

"Saya ikuti ceramah cendekiawan Islam, Habib Ali, dan luangkan masa untuk menghadirinya. Tiada sebab untuk abaikan aspek kerohanian sesibuk mana pun dengan tugas.

"Saya akui rindu dengan rentak lebih perlahan di Malaysia, tidak seperti hiruk-pikuk bandar yang membuat kita berkejar atau bersaing sengit dengan masa dan pelbagai tuntutan hidup yang lain."

Enggan menanti terlalu lama untuk memulakan sesuatu yang baru, mahupun merungut tentang krisis kesihatan Covid-19 yang tidak berkesudahan, Erwin cepat merebut peluang meniaga dan membina kerjaya baru.

"Alhamdulillah, saya kini teruja dengan tugas baru sebagai pengarah khidmat runding cara hutang di mana saya membantu mereka yang dihimpit dengan masalah hutang-piutang agar memohon bagi program tertentu untuk keluar dari kepompong permasalahan mereka.

"Di Malaysia, memang banyak platform lakonan dan peluang. Saya rasa kalau saya bergantung pada lakonan sepenuh masa di Singapura, ia ibarat satu risiko. Bayangkan kalau dua atau tiga bulan tiada projek.

"Saya pula tak suka kalau tak dapat mengawal pendapatan saya. Apa lagi menanti lama untuk memulakan sesuatu yang baru," tambahnya.

Menurutnya, ada tiga pilihan utama buatnya terokai dalam membina kerjaya baru, baik sebagai ejen hartanah, penasihat kewangan atau usahawan ubah elok.

"Masalahnya, untuk jadi penasihat kewangan, saya tidak memiliki diploma yang diperlukan sebagai kriteria kelayakan.

"Manakala untuk bergelar ejen hartanah pula tidak semudah mana dan memerlukan saya lulus peperiksaan dengan ketetapan bukan calang-calang. Hanya yang lulus dengan markah cemerlang sahaja diberi kebenaran menggalas amanah ini.

"Mudah-mudahan dengan memulakan khidmat ubah elok ini, setapak demi setapak, saya dapat bina jenama saya sendiri macam Taufik Batisah membina jenama dalam bidang ejen hartanah," jelas Erwin.

Mengenai peranannya sebagai Azfar, seorang pegawai polis yang mengembara masa dan kemudian bertemu dengan bapanya, Inspektor Zainal, dalam Krono, Erwin akui ia peranan yang membuatnya teruja.

"Tidak selalu dapat peranan sebegini dengan jalan cerita yang menarik kerana membawa watak mengembara ke zaman silam bapanya. Cabarannya adalah menyesuaikan lakonan saya dalam babak yang memerlukan Imej Janaan Komputer (CGI). Polis dalam drama ini pun teruk dipukul bantai penjahat.

"Azfar dan bapanya Zainal tiada kaitan akrab dalam drama ini. Secara umum, watak Azfar ini pegawai polis yang baik, tidak banyak berbicara kecuali perlu. Dia lebih banyak berfikir daripada menunjukkan sesuatu daripada tindak-tanduknya," ujar Erwin yang senangi proses bekerja dalam set Krono dek sekeliling yang positif dan membina.

Kalau disingkap detik pertama berhijrah ke Malaysia bagi mencari rezeki dan muncul dalam drama TV3, Bencinta (dengan Fattah Amin dan Fathia Latiff), ia adalah peluang keemasan yang memastikan dirinya sentiasa ada kerja untuk digalas di set.

"Peranan itu pembuka tirai buat saya bina kerjaya lakonan di Malaysia. Awal-awal, saya rujuk kepada pelakon senior dari Singapura yang ceritakan jerih payah membina nama di sana. Mereka berniat baik memberi saya gambaran apa yang akan saya hadapi.

"Saya pula rasa, kalau tak cuba sekarang, bila lagi? Alhamdulillah, saya berpeluang bekerja dengan pengarah Kabir Bhatia dalam Bisik Pada Langit.

"Pelakon lain hebat-hebat seperti Jalil Hamid dan Beto Kusyairy. Saya rasa begitu kecil. Sentuhan Kabir cukup magis, menjadikan projek dengan bajet telefilem ini dipertingkat menjadi sebuah filem untuk tayangan di pawagam.

"Hingga ke hari ini, ia adalah filem dengan impak paling besar buat saya," ujarnya lagi.

  1. 'Krono' disiarkan pada 10.30 malam setiap Khamis di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi meWATCH.

"Di Malaysia, memang banyak platform lakonan dan peluang. Saya rasa kalau saya bergantung pada lakonan sepenuh masa di Singapura, ia ibarat satu risiko. Bayangkan kalau dua atau tiga bulan tiada projek. Saya pula tak suka kalau tak dapat mengawal pendapatan saya. Apa lagi menanti lama untuk memulakan sesuatu yang baru." - Erwin Shah Dawson.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg