WALAUPUN sudah mencuba bermacam watak, baik hero mahupun penjahat sepanjang bergelar pelakon drama televisyen Suria, Iskandar Shah masih terasa wujud kekosongan dalam kerjaya seninya.
Beliau sering menjadikan rakan seni seperti Farhana M. Noor dan Yuslina Yusoff yang mempunyai latar belakang teater sebagai contoh pelakon menyeluruh.
Bak pucuk dicita, ulam mendatang, Iskandar, 28 tahun, dipelawa pelakon gandingannya dalam drama kembara masa Krono, Raimi Safari, untuk menjalani sesi uji bakat bagi pementasan teater Rindu Di Bulan.
Ikuti wawancara Berita Harian menerusi Zoom dengan Iskandar yang juga pernah mengacarakan rancangan Swap Kerja.
Soalan: Bagaimana anda mula terbabit dalam teater 'Rindu Di Bulan'?
Iskandar: Semuanya bermula daripada saya dan penulis naskhah pentas Rindu Di Bulan, Raimi Safari berganding bahu dalam Krono.
Beliau bertanya kepada saya, 'Apa selepas Krono?' Saya kata, saya tak pernah rancangkan apa-apa dalam industri televisyen.
Alih-alih, terlafaz kata, 'Saya nak cuba teater' kepada Raimi. Beberapa bulan selepas penggambaran drama ini selesai, saya dapat panggilan untuk hadiri sesi uji bakat untuk Rindu Di Bulan.
Ia tidak semudah saya kenal Raimi maka peranan sebagai Azim saya terus dapat. Saya lalui kesukaran juga seperti pelakon lain.
Apabila Raimi akhirnya kata beliau percayakan saya untuk galas peranan tersebut, saya begitu teruja sebab selama ini memang terasa kekosongannya apabila saya tiada pengalaman berlakon teater.
Saya tengok rakan lain seperti Farhana dan Yuslina mempunyai pengalaman berlakon teater. Bab inilah kekurangan saya dan saya ingin belajar lebih lagi.
Inilah peluang yang ingin saya rebut. Ia sesuatu yang baru dan tidak akan saya sia-siakan.
S: Apakah yang anda pelajari daripada berlakon teater?
Iskandar: Anda tidak boleh setakat harapkan muka atau suara sahaja untuk berjaya dalam teater.
Teater tekankan soal teknikal dan disiplin perlu bagus. Alhamdulillah teman-teman dalam pementasan ini, Suhaila M Sanif, Suhaili Safari serta Wan Haddad Salleh banyak membantu.
Mereka beri saya galakan untuk memahami latar belakang dunia teater, apa yang perlu dilebihkan dari segi lakonan, apa yang perlu saya buat sebagai pembaharuan.
Pendek kata, dalam keghairahan saya ingin pelajari benda baru, saya buat muka tembok sahaja. Tak apa kalau nampak bodoh atau 'ngok' sebab tak tahu. Saya main tanya sahaja. Saya tak nak ketinggalan.
Pada akhirnya, saya dapat tahu bahawa naskhah hasil pena Raimi ini datang daripada sudut hatinya yang dalam. Ada banyak isu anak angkat yang boleh difikirkan dengan kita menonton pementasan ini.
Saya berkongsi harapan Raimi agar anak muda zaman sekarang dapat tonton drama ini dan mengetahui di sebalik kegembiraan mengambil dan membesarkan anak angkat, ada juga isu-isu lain yang bermain di fikiran mereka yang terbabit.
S: Kongsi tentang watak anda dalam 'Rindu Di Bulan'
Iskandar: Saya adalah anak Cina yang diambil seorang ibu tunggal Melayu sebagai anak angkat. Nama saya Azim. Ibu angkat saya lalui banyak cabaran membesarkan saya.
Dia menjaga saya bagai menatang minyak yang penuh tetapi apabila kian dewasa, terfikir pula isu tentang hubungan bukan mahram antara Mak dengan Azim.
Antara tanda tanya lain seorang anak angkat adalah, 'Mengapa saya diberikan kepada orang lain?' Ada anak angkat yang mungkin memendam segalanya dalam jiwanya.
Manakala Azim pula begitu rasakan kasih sayang Mak yang tiada tolok bandingnya.
S: Apa pandangan anda tentang bakat lakonan teater Iskandar?
Adib Kosnan (pengarah): Iskandar adalah pelakon yang baik, terbuka dengan saranan dan menyegarkan buat pentas teater. Kerana kesungguhannya ingin belajar, pelakon lain pun teruja membantunya.
Saya harap Iskandar akan kekal sebegitu dan berjaya dalam kerjaya seninya.
Raimi: Iskandar berani mencuba, merendah hati dan mahu belajar. Itulah prinsip orang yang berjaya dan mampu pergi jauh.