Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Balada Tengkujuh’ cetus kedamaian, martabatkan lagu puisi ke pentas dunia

Penyanyi dan sasterawan Johor, Umar Uzair, teruja lagu ciptaan Maman Teacher’s Pet disaji pada Pesta Filem dan Puisi Antarabangsa di Greece
Mar 2, 2025 | 5:30 AM
‘Balada Tengkujuh’, lagu terbaru penggiat seni Johor Bahru, Umar Uzair, dipilih untuk dipersembahkan pada Pesta Filem dan Puisi Antarabangsa ke-12 pada 18 dan 19 April 2025 di Athens, Greece.
‘Balada Tengkujuh’, lagu terbaru penggiat seni Johor Bahru, Umar Uzair, dipilih untuk dipersembahkan pada Pesta Filem dan Puisi Antarabangsa ke-12 pada 18 dan 19 April 2025 di Athens, Greece. - Foto ihsan UMAR UZAIR

Apabila diminta mengamati keadaan sekeliling dan citarasa pencinta muzik masakini, penggiat seni dari Johor Bahru, Umar Uzair, akur sebilangan orang masih beranggapan lagu-lagu puisi payah memancing perhatian pendengar lagi sukar mendapat tempat di arus perdana.

Bagaimanapun, Umar, 37 tahun, yang meminati karya ciptaan penggubah lagu kelahiran Singapura, Datuk Dr M. Nasir dan Maman Teacher’s Pet, serta biduan Indonesia, Abiet G Ade, tidak dihambat pandangan yang seakan-akan merendahkan keberkesanan lagu puisi.

Sebaliknya, beliau lebih bersemangat memajukan lagu dengan senikata puitis sebegini di festival luar negara dengan niat memartabatkan satu lagi unsur kesusasteraan dan khazanah warisan Melayu.

Pada 25 Januari lalu, lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, melancarkan lagu baru, Balada Tengkujuh, selepas enam tahun menerbitkan album Hasrat Sang Enggang. 

Lagu ini merupakan hasil ciptaan Maman, vokalis kumpulan Teacher’s Pet, yang terkenal dengan lagu Layar Lara dan Kasih (Ku Pinjam Wajahmu).

Bunyi tiupan seruling maestro muzik, Mohar atau Muhardiman Ismail, juga kedengaran pada lagu berkonsepkan irama Nusantara ini.

Dengan lirik yang menggunakan puisi tulisan Umar, pendengar akan dibawa menelusuri pengalaman berhadapan dengan musim tengkujuh.

Anda boleh bayangkan suasana tepi pantai yang sentiasa dilambung ombak tinggi semasa musim ini.

Menurut Umar, dalam e-mel kepada Berita Minggu (BM), Tengkujuh bukan sahaja menceritakan secara zahir, musim yang dikhuatiri itu, tetapi turut membentangkan perasaan dan kerinduan seseorang terhadap perkara yang diinginkan.

“Sukar untuk menemukan sebuah lagu bercitra Nusantara dengan suntikan terkini tetapi setelah diperdengarkan oleh Abang Maman, saya rasa ini adalah satu bentuk muzik yang saya cari kerana walaupun ia kedengaran moden tetapi jalur muziknya masih tekal berwajah kenusantaraan.

“Walaupun ada yang beranggapan lagu-lagu puisi sukar mendapat tempat di arus perdana, tetapi saya tidak berasa keadaan ini menampakkan satu kegagalan kerana lagu-lagu puisi saya, khususnya, sentiasa dipersembahkan dalam banyak acara penting terutama dalam festival puisi di dalam dan luar negara.

“Lagu-lagu puisi juga mempunyai jaluran tersendiri, yang dapat diikuti, terutama dalam karya hebat daripada Abiet G Ade, Datuk Dr M. Nasir dan Maman Teacher’s Pet,” jelasnya.

Umar mendambakan usaha menghasilkan lagu yang mendamaikan kerana beliau percaya lagu sebegini menjadi penawar dalam kesibukan setiap orang menjalani urusan seharian.

“Saya berharap lagu ini akan memberikan ketenangan kepada pendengar dan ia akan menjadi lagu yang sentiasa dapat diperkenalkan kepada khayalak ramai walaupun mengambil tempoh masa yang lama.

“Moga masyarakat umum mendapat sesuatu daripadanya, sama ada melalui emosi ataupun pendidikan daripada gubahan muzik dan penulisan lirik yang baik,” katanya lagi.

Balada Tengkujuh telah dilancarkan pada Hari Puisi Sedunia 2025 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dari 21 hingga 23 Februari.

Ia juga terpilih untuk dipersembahkan dalam Pesta Filem dan Puisi Antarabangsa ke-12 pada 18 dan 19 April 2025 di Athens, Greece.

Ketika berusia awal 20-an tahun, Umar yang beribukan seorang warga Singapura, menghasilkan drama radio, cerita pendek dan anekdot.

Pada satu tempoh, beliau cuba meneroka pengkaryaan baru kerana dunia puisi agak asing dalam dirinya.

Setahun selepas melalui proses kreatif yang membuka mata, beliau melahirkan kumpulan puisi pertama, Di Mana Bulan Sorokkan, pada 2011.

Ia dilancarkan Sasterawan Negara, Datuk Dr A. Samad Said, dengan prakata dihasilkan penyanyi Ziana Zain.

Sebagai mata pencarian, Umar juga menyanyi lagu ‘cover’ di ruang rehat hotel dan majlis tertutup.

Apabila bakatnya mula dikesan dengan beliau diundang bagi menjayakan persembahan di Indonesia, ada yang mengusulkan agar beliau lagukan sahaja puisi yang ditulis.

Lagu puisi pertamanya, Yang Aku Mahu, dihasilkan pada 2012 disusuli album penuh pada 2016.

Dalam pada itu, Umar pernah merakamkan semula versi baru lagu kumpulan Singapura, 2D, iaitu Cenderawasih.

Beliau tertarik dengan lirik Cenderawasih, yang ditulis Allahyarham Zaidy Nandir, yang dianggap unik dan aneh, serta kelainan muziknya yang terkeluar daripada kebiasaan lagu Melayu lain.

 “Walaupun pada awal mendengar lagu ini, saya belum dapat memahami isi yang tersirat di dalamnya, Cenderawasih adalah tingkat tertinggi sebuah lagu puisi terbaik yang pernah dihasilkan pada pengamatan saya kini.

“Bagi menemukan lagu-lagu mahakarya seperti itu semasa ini amat susah. Justeru, saya ingin memperkenalkan lagu ini kepada masyarakat di Malaysia pula supaya lebih ramai dapat menikmati lagu-lagu puisi yang ada di sekitar Nusantara.

“Penerimaan lagu Cenderawasih amat baik dalam setiap persembahan yang saya tampilkan dan ia juga telah saya persembahkan buat mantan Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad Kelima, semasa Hari Keputeraannya di Kota Bharu, Kelantan.

“Cuma saya rasa terkilan seminggu sebelum Allahyarham Zaidy berpergian pada Julai 2018, saya sepatutnya bertemu beliau di hospital.

“Walau bagaimanapun, kata-kata semangat beliau dan keluarganya agar saya terus menyanyikan lagu ini merupakan kekuatan yang berterusan,” ujar Umar lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg