Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bali larang bina hotel, vila di beberapa kawasan elak pembangunan berlebihan

Sep 10, 2024 | 5:42 PM
Pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam di pantai Canggu di Bali, Indonesia, pada Disember 2021.
Pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam di pantai Canggu di Bali, Indonesia, pada Disember 2021. - Foto REUTERS

JAKARTA: Indonesia bersetuju untuk menetapkan moratorium ke atas pembinaan hotel, vila dan kelab malam di beberapa kawasan pulau Bali, sedang ia bergelut dengan isu pembangunan berlebihan, kata seorang pegawai kementerian kanan pada 9 September.

Moratorium – larangan sementara sesuatu kegiatan – itu merupakan sebahagian daripada tawaran pemerintah untuk memperbarui pelancongan di Bali, salah satu tarikan utama Indonesia, dalam usaha meningkatkan mutu dan pekerjaan sambil memelihara budaya asli pulau itu.

Pegawai kanan Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Pelaburan dan Maritim, Encik Hermin Esti, memberitahu Reuters bahawa pemerintah bersetuju untuk menetapkan moratorium itu, walaupun garis masa masih dalam perbincangan.

Pada 7 September, gabenor sementara Bali, Encik Sang Made Mahendra Jaya, berkata beliau menyarankan kepada pemerintah pusat agar moratorium itu dikenakan ke atas empat kawasan sibuk Bali, dengan menyasarkan pembangunan berlebihan bagi tujuan komersial seperti hotel, vila dan kelab pantai.

Pejabat gabenor dan kementerian pelancongan Indonesia tidak memberi respons segera kepada permintaan mendapatkan komen pada 9 September.

Moratorium itu boleh berlanjutan sehingga 10 tahun, kata menteri kanan, Encik Luhut Pandjaitan, berdasarkan laporan laman web berita Detik pada 8 September.

Encik Luhut sebelum ini berkata kira-kira 200,000 warga asing kini menetap di Bali, menyumbang kepada masalah seperti jenayah, pembangunan berlebihan dan persaingan bagi pekerjaan.

Ketibaan warga asing di Bali telah melonjak sejak ia dibuka semula untuk pelancongan selepas pandemik Covid-19.

Video pelancong yang kurang sopan sering menjadi viral, menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk dan mencetuskan respons negatif daripada pengguna media sosial di Indonesia.

Perangkaan pemerintah menunjukan seramai 2.9 juta pengunjung asing tiba di lapangan terbang Bali pada separuh pertama 2024, merangkumi 65 peratus daripada ketibaan pengunjung asing keseluruhan menerusi udara.

Terdapat 541 hotel di Bali pada 2023, menurut perangkaan itu, satu peningkatan berbanding 507 pada 2019. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg