SEJAK usianya 13 tahun, Encik Muhammad Emmireen Norman sudah berminat menerbitkan muzik elektroniknya sendiri.
Beliau kemudian mengganggotai band Melayu yang dikenali kerana irama 'tangkap lentok' Baron Bros sebagai pemain papan nadanya.
Selepas itu, Encik Emmireen, 25 tahun, menggerakkan band rok Inggeris, Big Ugly, sebagai gitaris, pemain papan nada dan vokalisnya sekali gus.
Cinta pada muzik itu membuatkannya ingin tahu lebih mendalam lagi tentang penghasilan bunyian dan irama yang mampu memancing perhatian pendengar.
Justeru, selepas menerima Sijil Nitec dalam Kejuruteraan Elektrikal dalam Pencahayaan dan Bunyian di Institut Pendidikan Teknikal dan Sijil Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektrikal, beliau mengambil kursus Diploma Penerbitan Audio daripada Maktab Seni Lasalle pula.
Impiannya adalah bergelar pereka bunyi dan juruvideo bagi firma khidmat pengiklanan produk.
Ikuti wawancara Berita Harian bersamanya yang masih menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Soalan (S): Apakah yang membuatkan anda berminat menceburi bidang penerbitan audio?
Encik Emmireen (E): Apabila saya berusia 13 tahun, saya sudah mula mesra dengan hobi menghasilkan muzik band elektronik.
Sebelum masuk NS, saya kepingin memiliki diploma terlebih dahulu. Lantas, penerbitan audio menjadi pilihan saya kerana saya impikan cita-cita bergelar pereka bunyi.
Ini arah tuju baru saya. Saya ingin mahir dalam bidang rakaman audio, pengadunan muzik, suntingan dan rakaman lagu.
Nyala rasa saya terhadap muzik mula melalui hala tuju yang berbeza sebab saya kini lebih peka tentang proses penghasilan sesebuah lagu, bukan setakat menyanyi atau memainkan muzik semata.
S: Apakah antara pengalaman manis atau membuka mata sepanjang menjalankan kerja penerbitan audio atau kejuruteraan rakaman?
E: Dalam satu acara, saya diminta menghasilkan rakaman bunyi persis bunyian aslinya. Saya perlu tahu bagaimana rakaman asal dibuat dan kaji teknik penjanaan iramanya sekali gus.
Saya perlu membuat kajian sebelum masuk ke studio rakaman. Bayangkan kalau tidak buat persiapan awal. Ia tidak semudah masuk studio dan main mengikut gerak hati. Kedua-dua pemuzik dan jurutera rakaman harus sepakat peka tentang persiapan awal ini.
S: Sebagai penggiat seni, bagaimana ilmu penerbitan audio membantu anda?
E: Sebagai vokalis, saya pelajari teknik baru. Sebagai pemain papan nada dan gitaris, saya lebih mahir ketika perlu beraksi di pentas dan selanjutnya apabila bergerak secara solo dalam menjana muzik cita rasa saya.
S: Ceritakan pengalaman beralih dari band Melayu ke band Inggeris.
E: Genre muzik yang saya minati sangat rencam. Memang muzik Baron Bros dan Big Ugly jauh beza bak langit dengan bumi.
Saya juga menyesuaikan keadaan dengan peralihan dari muzik Melayu ke muzik Inggeris.
Ia adalah pengalaman yang membuka mata. Di Big Ugly, saya dan rakan-rakan menggubah lagu kami sendiri. Inspirasi saya adalah daripada mendengar banyak lagu punk pop. Kebiasaannya, kami tidak hanya tertumpu pada satu genre muzik sahaja.
Kini, kami sedang mengusahakan bahan bagi album selanjutnya selepas album pertama diterbitkan setahun yang lalu.
Saya juga sedang menyiapkan bahan bagi album solo yang dipengaruhi daripada minat saya mendengar lagu-lagu band Indonesia seperti Peterpan, Noah dan Setia Band. Ada sesuatu yang indah tentang muzik Indonesia. Aura dan tenaga daripada muzik Indonesia luar biasa.
S: Apakah yang diperlukan bagi menjadi juruaudio atau penerbit audio serta jurutera rakaman yang baik?
E: Keupayaan memahami aliran isyarat sesuatu bunyian audio. Bagaimana bunyi asal jadi hasil yang diinginkan pada akhirnya?
Dalam memilih sofwe bunyian yang tepat, anda juga harus tahu tentang aliran kerja, keberkesanan proses suntingan serta memahami piawaian yang diperlukan industri. Jangan bataskan pada satu sofwe sahaja.
S: Apa lagi yang anda seronok lakukan bagi menggerakkan minda?
E: Bermain catur dan TikTok. Permainan catur melatih ketangkasan minda manakala menyiapkan video sketsa TikTok pula satu cara saya belajar tentang kuasa sesuatu kandungan aplikasi dalam era media sosial.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg