Topik diikuti
Pergi ke BHkuBand Indo D'Masiv trauma kenang kemalangan hampir ragut nyawa

Band Indo D'Masiv trauma kenang kemalangan hampir ragut nyawa
KUALA LUMPUR: Kemalangan jalan raya yang menimpa kumpulan popular Indonesia, D'Masiv tahun lalu nyata bukan sahaja meninggalkan kesan dari segi fizikal, malah turut menjadikan mereka trauma berjalan jauh terutama pada waktu dinihari.
Berkongsi pengalaman ngeri dialami tahun lalu kepada Berita Harian Malaysia (BHM), vokalis D'Masiv, Rian Ekky Pradipta, 37, berkongsi, mereka serik dan akan memastikan bergerak pada waktu pagi untuk mengelakkan pemandu mengantuk, sekali gus mengelakkan kemalangan yang pernah berlaku.
"Alhamdulillah, kami sentiasa dilimpahi rezeki dan tawaran mengadakan persembahan di seluruh kota di Indonesia sentiasa mencurah-curah.
"Tanpa diduga, kami diuji apabila terbabit dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan ke luar daerah iaitu Banjar Timur untuk mengadakan persembahan pada Mac, tahun lalu.
"Perjalanan dari Surabaya ke Banjar Timur mengambil masa lima jam. Kami bergerak sekitar jam 1 pagi dan keadaan sangat gelap.
"Memandangkan sudah lewat malam, pemandu keletihan dan mengantuk. Kami tertidur dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
"Kami hanya tersedar apabila terdengar suara orang menjerit suruh bangun dan kelihatan kaca bertaburan di sana-sini," katanya.
Meskipun mengalami cedera ringan, Rian bersyukur kerana semua anggota terselamat dalam musibah itu.
"Selepas tersedar, saya dapati pemain gitar, Nurul Damar Ramadan atau Rama yang berada di sebelah berlumuran darah, manakala saya pula mengalami benjolan di kepala.
"Hingga hari ini, kesan kemalangan masih ada apabila ada bahagian tubuh seakan sakit apabila ditekan.
"Selebihnya, saya ingin mengucapkan rasa syukur kerana semua anggota D'Masiv terselamat dan masih boleh menghiburkan peminat," ungkapnya pada sidang media Konsert D'Masiv 20AD To The World secara virtual, baru-baru ini.
Turut serta, penganjur konsert dari Neptunes Presents yang juga aktres popular, Nabila Huda.
Susulan kejadian itu, Rian berkata, D'Masiv menetapkan syarat kepada penganjur dan promoter supaya setiap persembahan dijayakan tidak dianjurkan pada lewat malam.
"Jika persembahan jauh dan lewat malam, kami akan pastikan akan bergerak pada awal pagi supaya pemandu tidak mengantuk.
"Kemalangan membuatkan kami trauma dan disebabkan itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga," ujar Rian.
Selain Rian dan Rama, kumpulan yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini turut dianggotai oleh Dwiki Aditya Marshall (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bes) dan Wahyu Piadji (dram).
Seperti dinyatakan Rian, Tuhan tidak pernah berhenti menguji hambanya dan pernah didakwa cuba melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja bawah umur, dipercayai anak kepada seorang penulis dan penganalisis muzik Indonesia terkenal, Allahyarham Denny Sakrie, dua tahun lalu.
Mengulas perkara itu, Rian berkata, isu itu sudah pun selesai dan menyifatkan tuduhan sebagai fitnah yang cuba untuk mencalarkan reputasinya.
"Biasalah dalam industri hiburan, bila terlalu bagus pasti akan ada pihak yang tidak senang melihat kejayaan seseorang.
"Tuduhan ini tidak benar dan saya sudah membuat laporan polis. Saya pun tidak mengambil sebarang tindakan.
"Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati, lebih lagi, pada era media sosial ini," tegasnya.
Sementara itu, mengulas konsert yang bakal dijayakan, Rian berkata, D'Masiv tidak sabar untuk mengadakan konsert perdana yang bakal menggegarkan lokasi berprestij, Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
"Sebelum ini, saya ada membuat ciapan di Twitter untuk memaklumkan mengenai konsert ini. Maklum balas diterima sangat positif apabila ramai teruja untuk menyaksikan konsert pertama D'Masiv.
"Kami sudah mempersiapkan antara 23 hingga 25 rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.
"Buat masa ini, kami masih lagi merancang konsep persembahan, tetamu undangan dan apa yang pasti, akan ada kejutan yang menunggu malam konsert," ujar Rian dalam nada teruja.
Konsert D'Masiv 20AD To The World bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
Mengenai tema konsert, Rian berkata, D'Masiv mengangkat tema jelajah dunia untuk persembahan kali ini, sekali gus menyediakan susunan muzik berbeza mengikut kesesuaian peminat.
"Secara kebetulan, kami mahu mengadakan siri jelajah ke beberapa negara, tahun ini. Jadi, Malaysia akan menjadi negara pertama, kemudian disusuli negara lain seperti Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.
"Ada beberapa lagu dilakukan susunan muzik semula agar berbeza daripada versi asal. Tetapi, ada juga lagu yang akan dipersembahkan dalam versi asal untuk memenuhi permintaan peminat.
"Kami yakin peminat di Malaysia akan bersama menyanyikannya di pentas Zepp Kuala Lumpur," katanya.
Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama untuk siri jelajah Konsert D'Masiv 20AD To The World sebelum Jakarta, Indonesia; Perth, Australia dan New York, Amerika Syarikat.
Konsert D'Masiv 20AD To The World dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan D'Masiv.
Tiket konsert antara RM198 hingga RM458 boleh didapati menerusi laman web, www.startix.live. - BHM