Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Band tanpa vokalis terbuka rakam lagu dengan bakat Nusantara

All About Bob kaji trend lagu, ingin kerjasama dengan penyanyi S'pura bagi single keempat
Sep 30, 2020 | 05:30 AM



Di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda sehingga menjejas 'gig' di sana sini, band Singapura kekal bersemangat. Ada yang menjana karya baru dengan kolaborasi bersama penyanyi negara jiran. Ada pula yang menjayakan rancangan dalam talian sebagai band tetapnya bagi teruskan cinta terhadap muzik. Apakah yang mereka usahakan demi tidak pupuskan nyala rasa pada bidang seni? BERITA HARIAN melaporkan. 




SEJAK ditubuhkan pada lewat 2015, band tempatan All About Bob tidak pernah mempunyai vokalis tetap.



Mereka yang awalnya terdiri daripada tiga rakan sekolah menengah, Adiwira Rahman (pemain bes), Rayme Hamdi (pemain dram) dan Shahid (gitaris), kesemuanya 47 tahun, biasanya akan bekerjasama dengan penyanyi berbakat dari Nusantara bagi rakaman single.



Dengan Shahid kemudian terpaksa mengundurkan diri tahun lalu kerana komitmen kerjaya, tempatnya digantikan gitaris muda dari band Vivienne's Verdict, Muhammad Shafiq, 31 tahun.



Turut memberi suntikan pembaharuan pada All About Bob adalah satu-satunya kuntuman bunga dalam kalangan kumbang, Siti Farzana, 44 tahun, pemain papan nada.



Beliau adalah guru muzik dan pemuzik sessionist dari masa ke masa yang berpengalaman bekerja selama 15 tahun dalam arena kelab sekitar Malaysia sebelum berhijrah ke Singapura.



Apa yang menarik mengenai All About Bob adalah kesediaannya menebar rangkaian kenalan dan bereksperimen menerusi rakaman single dengan pelbagai bakat wanita dari Singapura mahupun Indonesia.



Ikuti wawancara bersama Adiwira yang juga masih bergerak dengan kumpulan Antologi.



Apakah formula penakatan All About Bob?



Soalan (S): Ceritakan tentang kerjasama yang terjalin antara All About Bob dengan beberapa penyanyi Nusantara.



Adiwira (A): Single pertama kami, Cinta Satu, menampilkan penyanyi Indonesia-Australia, Raiha.



Ia tercalon malah pernah menduduki tangga kedua Carta Lagu Pujaan Minggu Ini (LPMI) Ria buat beberapa minggu.



Cinta Satu juga runut bunyi bagi telefilem Maya Mila di saluran NTV7 Malaysia. Ia juga tersenarai dalam Carta 30 Lagu Terbaik 2017 di stesen radio Ria 897.



Kami kemudian bekerjasama dengan penyanyi muda Singapura, Zalelo, bagi lagu Nanti.



Beliau adalah anak penyanyi dan pelakon Malaysia, Aman Shah dan anggota kumpulan duo Singapura, The Queens, Farah Diba Abdul Aziz, yang popular sekitar tahun 1980-an.



Pada 17 Julai lalu, kami terbitkan single terkini kami, Hilang, yang menampilkan penyanyi Indonesia, Dinda Ayu Lestari.



Sejak dilancarkan, ia sudah distrim lebih 10,000 kali di wadah penstriman digital Spotify.



S: Bagaimana kerjasama dengan Dinda terjalin?



A: Dinda Ayu Lestari yang amat berbakat dikenalkan kepada kami oleh seorang teman dari Indonesia.



Setelah mengamati profil beberapa penyanyi yang disyorkan, kami memilih Dinda kerana mendapati suaranya paling sesuai buat Hilang.



Beliau berasal dari Garut, Jawa Barat dan merupakan finalis rancangan realiti Indonesia, I Can See Your Voice. Sebelum ini, beliau juga pernah memenangi banyak pertandingan di Indonesia.



Rakaman dibuat di Studio 47 di Singapura sebelum Covid-19 menular. Dinda diterbangkan ke Singapura selepas kami mendengar demo rakaman suaranya.



S: Apakah cabaran menghasilkan 'single' terbaru ini?



A: Cabaran lebih pada aspek perbelanjaan dan waktu yang terbatas.



Sebagai band yang tidak bergerak di bawah syarikat rakaman, semua kos rakaman dibiaya daripada hasil royalti single kami yang lalu.



Anggota band turut mengeluarkan biaya rakaman. Nasib baiklah kami semua memiliki pekerjaan tetap.



S: Bagaimana konsep muzik All About Bob?



A: Muzik kami lebih pada pop rok dan yang senang diterima pendengar masa kini. Kami akan berbincang terlebih dahulu sesama kami tentang muzik yang tular buat masa ini dan bagaiamana menyisipkannya dalam muzik kami.



S: Ceritakan tentang pengalaman bekerjasama dengan bakat lain di Nusantara.



A: Kami bekerjasama dengan penyanyi kacukan Indonesia-Australia, Raiha Grahuis, pada 2017 bagi 'single' pertama, Cinta Satu.



Beliau juga bekas pemain bes gantian kumpulan terkenal Indonesia, Kotak. Raiha menggantikan pemain bes Kotak, Chua, ketika Chua cuti bersalin.



Kami juga gembira dapat bekerjasama dengan Zalelo bagi single kedua, Nanti.



S: Apakah perancangan All About Bob dalam masa terdekat?



A: Kami merancang merakam single keempat dengan penyanyi Malaysia.



Sayangnya, apabila wabak Covid-19 melanda dan sempadan Malaysia ditutup, kami terpaksa batalkan niat kami.



Mungkin selepas pandemik ini berakhir, kami akan usahakan kerjasama dengan penyanyi seberang Tambak.



Justeru buat masa ini, kami dalam proses mencari vokalis bagi single keempat kami.



Kalau ada yang ingin bekerjasama, kami harap anda akan menghubungi penerbit dan pengurus kami, Jufri Salim dari Kraton Music Publishing & Arts menerusi e-mel management@kratonmusicpublishing.com.



S: Berikan pengamatan anda tentang muzik Singapura kini. Ada apa lagi yang kurang?



A: Persada muzik Singapura terutamanya muzik Melayu tanah air tidak begitu mendapat perhatian pendengar berbanding muzik Melayu di Malaysia atau muzik Indonesia serta muzik antarabangsa.



Nak mendapatkan golongan bukan Melayu menghayati lagu Melayu Singapura juga agak payah berbanding di Malaysia dan Indonesia.



Singapura dan Brunei mengalami masalah yang sama di mana pendengarnya lebih cenderung pada lagu Malaysia dan Indonesia berbanding negara sendiri.



Kami hanya berharap stesen radio Singapura akan adakan segmen khusus bagi lagu baru Singapura dan menampilkan artis tanah air.




ALL ABOUT BOB



  • Ditubuhkan pada lewat 2015

  • Kini dianggotai Adiwira Rahman (pemain bes); Rayme Hamdi (pemain dram); Siti Farzana (pemain papan nada) dan Muhammad Shafiq (gitaris)

  • 'Single' pertama yang dirakam sebelum ini adalah Cinta Satu bersama penyanyi kacukan Indonesia-Australia, Raiha.

  • Ini disusuli dengan 'single' Nanti bersama bakat tempatan yang meningkat naik namanya, Zalelo.

  • Lagu terkini, Hilang, dirakam bersama Dinda Ayu Lestari.

  • All About Bob mencari penyanyi Singapura untuk bekerjasama dalam 'single' keempat.

  • Mereka yang berminat boleh e-mel kepada pengurus dan penerbit All About Bob, Jufri Salim, menerusi e-mel: management@kratonmusicpublishing.com




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >