Apabila terserempak bangunan yang kelihatan usang atau terabai, tidak hairanlah sebahagian besar orang akan menjauhinya.
Namun bagi Cik Sonia Khurana, 49 tahun, ia bak daya tarikan yang memanggil-manggil dirinya untuk meneroka lebih lanjut lagi.
Malah, apabila melancong ke luar negara, Cik Sonia akan ‘melencong’ mencari struktur bangunan yang lapuk dan tapak yang terbiar lama, satu kegiatan yang digelar sebagai penerokaan bandar atau ‘urbex (urban exploration)’.
Antara pengembaraan terkininya tahun ini ialah ke rumah dan feri terbiar di Pulau Galapagos, Ecuador pada Januari; KTV dan vila terbiar di Lombok, Indonesia, pada Mei; dan taman bertema air yang usang di Hanoi, Vietnam, pada Ogos.
Ditanya apa yang menariknya tentang struktur buatan manusia yang sudah lapuk dan terbiar, wanita itu tertawa sambil mengaitkannya kepada personaliti diri yang memang suka kegiatan lain daripada lain sejak kecil.
“Saya sebenarnya gadis yang agak nakal. Sejak kecil saya suka panjat pagar, panjat pokok, dan suka kegiatan luar yang lasak. Ketika usia remaja, saya dan sekumpulan rakan yang berkongsi minat sama suka bersiar-siar. Kami tidak mempunyai kenderaan, jadi dua kaki ini yang bawa kami dari tempat ke tempat dan kami mula meneroka bandar, termasuk blok HDB yang terbiar,” ujar ibu empat anak itu.
Tetapi melebihi itu, meneroka bangunan lama memberinya peluang mempelajari tentang sejarah tempat tersebut yang menurutnya, membuka matanya kepada dunia luar dan meluaskan pemikirannya.
Contohnya, tatkala di Pulau Galapagos, beliau mempelajari bahawa ekonomi pulau itu, yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan, terjejas teruk.
Justeru, ramai yang melibatkan diri dalam perdagangan barter (perdagangan dengan cara tukar-menukar barang) untuk menempuh waktu mencabar itu, menyebabkan kedai, rumah mahupun bot kosong akhirnya menjadi terbiar.
Menurut Cik Sonia, kegiatan ‘urbex’ ini agak rumit kerana walaupun struktur dibiarkan begitu sahaja, tetap hak milik individu tertentu atau negara.
Contohnya di Singapura, apabila beliau teroka Hospital Changi yang lama di 24 Halton Rd, Cik Sonia meminta izin penyelia tapak itu kerana kawasan itu memang ditutup kepada orang awam.
Justeru, beliau akui ia lebih mudah untuk ‘urbex’ di luar negara kerana kawalannya tidak begitu ketat berbanding dengan di Singapura.
Bagaimanapun, seberapa boleh, keizinan diminta kadangkala daripada warga tempatan di daerah tersebut ataupun pengawal hartanah yang ada.
“Kegiatan ini boleh dianggap sebagai pencerobohan kerana kita memasuki hartanah privet tanpa izin. Di luar negara, ia lebih senang... tetapi di Singapura, bangunan itu boleh dimiliki pemerintah.
“Jika anda masuk, memetik gambar dan keluar bangunan itu tanpa merosakkan bangunan itu atau ambil barang, ia masih boleh diterima tetapi sebahagian orang merosakkan, mencalit graffiti, meninggalkan kesan, mengambil barang dan merosakkan bangunan, ia mencemarkan nama baik penggiat ‘urbex’ lain yang menghormati tempat itu,” ujarnya.
Menukil contoh, beliau berkata kubu Kay Siang, yang terletak di Kay Siang Road dan Margaret Road, semakin rosak akibat kelakuan sesetengah pengunjung.
Tatkala ditanya sama ada pernah melalui pengalaman menyeramkan memandangkan banyak bangunan lama tidak mempunyai penghuni dan kadangkala mengandungi sejarah hitam, Cik Sonia tidak menafikan hal tersebut.
Justeru, wujudnya kegiatan dipanggil ‘parabex’, yang menggabungkan kegiatan penerokaan bandar dengan aspek paranomal.
Malah, baru-baru ini, beliau telah ke Kota Tinggi, Malaysia, dan bekerjasama dengan sekumpulan penyiasat paranormal untuk meneroka hotel terbiar dipercayai ‘berhantu’.
Menjawab soalan ‘tak takut ke?’, Cik Sonia dengan anehnya berkata tidak, dan sebaliknya menciap ia seronok.
Memberi latar belakang, Cik Sonia berkata ia bermula tatkala usianya masih 10 tahun dan beliau melawat rumah nenek dan datuk saudaranya di Melaka.
Salah satu daripada rumah yang terletak di tanah luas itu sangat usang dan diperbuat daripada papan, mecetuskan keinginan dalam diri beliau serta sepupunya untuk meneroka sudut gelap rumah, dan takutkan satu sama lain di loteng rumah.
“Cinta saya terhadap ‘urbex’ dan ‘parabex’ benar-benar tertanam pada waktu itu. Kami akan duduk bersama malam-malam dan bercerita tentang hantu kum kum... waktu itu tiada kamera, kami tidak dapat merakamnya jadi ia menjadi kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan,” ujarnya.
Akui bahawa melakukan kegiatan ‘urbex’ di luar negara bukanlah percutian yang diidamkan majoriti orang, beliau memesan agar mereka yang mahu berjinak-jinak melakukan kegiatan itu perlu banyak berhati-hati.
Saranannya adalah agar elak daripada pergi sendiri dan berdamping dengan sekurang-kurangnya satu teman.
“Anda juga perlu banyak buat kajian. Cari maklumat lanjut tentang tempat-tempat itu di Google, jangan hanya terjah masuk sahaja. Banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan diri sendiri.
“Ini bukan sahaja dari segi bahaya yang melibatkan ‘alam ghaib’, tetapi sama ada tempat itu pernah menjadi loji kimia dan sebagainya kerana ia boleh menjejas kesihatan. Banyak yang perlu dipertimbangkan,” kata kurator pengalaman itu.
Pada waktu lapang, Cik Sonia, yang juga suka melakukan ‘hiking’, akan membawa penggemar lain untuk meneroka bahagian Singapura yang tidak selalu dikunjungi.
Contohnya, laluan rel Jurong yang terbiar di Hutan Clementi, kubu Seah Im dan Kay Siang, dan terowong Marsiling.
“Meneroka tapak lama dan bersejarah semakin mendapat tarikan kini kerana orang ramai tidak dambakan pengalaman yang biasa-biasa sahaja.
“Berkunjung ke tempat sebegini membuka peluang untuk kita belajar tentang sejarah, warisan, aspek kebudayaan mahupun flora dan fauna tempat itu,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg