Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barangan edisi khas SG60 rai identiti, nostalgia dan gaya S’pura

Kerjasama kreatif antara jenama tempatan, antarabangsa sempena SG60 saji koleksi unik
Aug 5, 2025 | 5:30 AM
Adidas Singapore, Dododots, Luzerne, Sg60
Menjelang Hari Kebangsaan, beberapa aksesori dan barangan menarik sempena ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) diperkenalkan, termasuk kemeja-T eksklusif daripada Adidas, pelekat jerawat daripada Dododots, serta set pinggan yang unik. - Foto ADIDAS SINGAPORE, DODODOTS DAN LUZERNE

Pelbagai jenama fesyen dan kecantikan sudah bersiap sedia menyambut ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), dengan pelancaran barangan dan kerjasama bertemakan tempatan yang menggabungkan unsur nostalgia dan semangat kenegaraan.

Menjelang Hari Kebangsaan pada 9 Ogos, berikut antara senarai barangan kenang-kenangan SG60 yang menarik, susunan The Straits Times.

Adidas x Milo

Kemeja-T ‘Running Starter Pack’ ($59) menggabungkan semangat larian dengan sentuhan nostalgia minuman Milo, tersedia dalam pilihan warna merah, hitam dan putih.
Kemeja-T ‘Running Starter Pack’ ($59) menggabungkan semangat larian dengan sentuhan nostalgia minuman Milo, tersedia dalam pilihan warna merah, hitam dan putih. - Foto ADIDAS SINGAPORE

Sempena ulang tahun ke-60 Singapura dan ulang tahun ke-75 Milo, Adidas Singapore dan Milo bekerjasama menghasilkan koleksi kapsul, ‘Fuelling Goodness’, yang merangkumi kemeja-T, pin dan barangan koleksi eksklusif. 

Koleksi itu eksklusif untuk anggota adiClub, program keahlian percuma Adidas yang menawarkan akses awal kepada produk, ganjaran khas dan pengalaman eksklusif. 

Pendaftaran boleh dibuat di pautan, adidas.com.sg/adiclub

Terdapat tiga reka bentuk kemeja-T eksklusif ($59 setiap satu), dengan frasa Singlish dan digayakan sebagai ‘starter pack’ untuk menikmati Milo.

Running Starter Pack Tee: Untuk si kaki lari. Dihiasi dengan ilustrasi kelengkapan larian Adidas dan pek Milo mudah dibawa, sesuai buat mereka yang sentiasa bergerak.

Lepak Starter Pack Tee: Gaya santai ala kopitiam, lengkap dengan singlet, selipar dan cawan Milo dinosaur, gabungan klasik untuk sesi lepak.

Stay Home Starter Pack Tee: Direka khas buat golongan introvert, dengan motif sweater selesa, gadget harian dan pelbagai snek Milo.

Setiap reka bentuk disediakan dalam warna merah, hitam dan putih, dan turut tersedia dalam saiz kanak-kanak ($39) di kedai Adidas terpilih.

Lengkapkan kasut anda dengan pin dan aksesori kasut ‘Made For You’ ($12 setiap satu), diinspirasikan daripada pelbagai cara hidangan Milo dan unsur ikonik Adidas.
Lengkapkan kasut anda dengan pin dan aksesori kasut ‘Made For You’ ($12 setiap satu), diinspirasikan daripada pelbagai cara hidangan Milo dan unsur ikonik Adidas. - Foto ADIDAS SINGAPORE

Lengkapkan kasut anda dengan pin dan aksesori kasut, ‘Made For You’ ($12 setiap satu), diinspirasikan daripada pelbagai cara hidangan Milo dan unsur ikonik Adidas.

Pada 9 Ogos, dari 2 hingga 5 petang, trak Milo akan berada di luar Adidas Brand Centre Orchard, di mana anggota adiClub boleh menebus secawan Milo percuma.

Dapatkan maklumat lanjut di kedai Adidas terpilih termasuk Brand Centre Orchard, 270 Orchard Road dan adidas.com.sg/national_day

Dododots

Koleksi ‘Lah Lah Land’ daripada Dododots ($9) menampilkan pelekat jerawat dalam bentuk ikon tempatan seperti roti aiskrim, jubin mahjong dan Taman Permainan Naga.
Koleksi ‘Lah Lah Land’ daripada Dododots ($9) menampilkan pelekat jerawat dalam bentuk ikon tempatan seperti roti aiskrim, jubin mahjong dan Taman Permainan Naga. - Foto DODODOTS

Jenama pelekat jerawat dari Malaysia, Dododots, tampil dengan koleksi edisi khas pertamanya untuk Singapura sempena SG60. 

Koleksi Lah Lah Land ($9) menampilkan pelekat dalam bentuk ikon tempatan seperti Taman Permainan Naga, jubin mahjong, roti aiskrim dan biskut aising.

Diperkaya dengan minyak pokok teh, pelekat itu boleh digunakan untuk menutup jerawat, gigitan nyamuk, luka kecil, atau melegakan kegatalan dan keradangan ringan.

Dapatkan maklumat lanjut di kedai rasmi Dododots di Shopee dan TikTok Shop.

Est.Lab

Kotak cermin ini mengandungi helaian pelekat jerawat Otterly Clear oleh Est.Lab, praktikal dan comel untuk penjagaan kulit harian.
Kotak cermin ini mengandungi helaian pelekat jerawat Otterly Clear oleh Est.Lab, praktikal dan comel untuk penjagaan kulit harian. - Foto EST.LAB

Sebagai penghormatan kepada memerang Singapura yang cekal, jenama penjagaan kulit tempatan, Est.Lab, memperkenalkan pelekat jerawat edisi terhad SG60, Otterly Clear Pimple Patches.

Pelekat jerawat ‘Otterly Clear’ edisi SG60 daripada Est.Lab, dihiasi ilustrasi memerang comel (percuma dengan pembelian bernilai $60). Ia diperkaya dengan zink ‘pyrrolidone carboxylic acid’ (PCA) dan ekstrak pegaga (centella asiatica) untuk mengawal minyak serta mempercepat penyembuhan tanpa meninggalkan parut.
Pelekat jerawat ‘Otterly Clear’ edisi SG60 daripada Est.Lab, dihiasi ilustrasi memerang comel (percuma dengan pembelian bernilai $60). Ia diperkaya dengan zink ‘pyrrolidone carboxylic acid’ (PCA) dan ekstrak pegaga (centella asiatica) untuk mengawal minyak serta mempercepat penyembuhan tanpa meninggalkan parut. - Foto EST.LAB

Pelekat jerawat itu diperkaya dengan zink pyrrolidone carboxylic acid (PCA) untuk mengawal minyak dan bakteria penyebab jerawat, serta bahan seperti niasinamida dan ekstrak pegaga (centella asiatica) untuk merawat dan menenangkan kulit. 

Diperbuat dengan asas hidrokoloid, pelekat itu dikatakan dapat menyerap lebihan minyak dan kotoran dari dalam jerawat, meratakan tompok dan mempercepat penyembuhan tanpa meninggalkan parut.

Satu kotak mengandungi lapan keping dan boleh didapati secara percuma dengan setiap pembelian bernilai sekurang-kurangnya $60 di estlab.shop atau di kedai Estetica terpilih.

Dapatkan maklumat lanjut di estlab.shop dan kedai Estetica di seluruh negara.

Lee Hwa Jewellery

Rantai leher, PurpleGold Vanda, daripada Lee Hwa Jewellery ($3,289) menampilkan anggerik ungu yang dihiasi berlian, lambang kemegahan dan daya ketahanan Singapura.
Rantai leher, PurpleGold Vanda, daripada Lee Hwa Jewellery ($3,289) menampilkan anggerik ungu yang dihiasi berlian, lambang kemegahan dan daya ketahanan Singapura. - Foto LEE HWA JEWELLERY

Jenama barang kemas warisan ini akan menyambut ulang tahunnya yang ke-55 pada 2025.

Sempena SG60 pada 2025, mereka telah menghasilkan koleksi istimewa yang menggabungkan seni tradisional dan kontemporari.

Koleksi itu merangkumi jongkong emas peringatan yang diukir dengan mercu tanda terkenal Singapura, sebagai penghargaan kepada enam dekad daya ketahanan dan kemajuan negara.

Kemuncak koleksi itu ialah, PurpleGold Vanda Collection, diinspirasikan daripada bunga anggerik, Vanda Miss Joaquim. 

Anda boleh memilih loket orkid PurpleGold tunggal ($1,984) atau rantai leher ($3,289) yang turut menampilkan berlian tambahan untuk menyerlahkan penampilan sejambak bunga yang berkilauan.

Dapatkan maklumat lanjut di butik Lee Hwa Jewellery dan shop.leehwajewellery.com

Mr Sabotage x PropertyGuru

Jaket boleh diterbalikkan atau ‘reversible’ hasil kerjasama, Mr Sabotage x PropertyGuru membawa mesej, ‘Membina Singapura Kita Bersama’, dengan corak kucing kejiranan, peta pulau dan orkid.
Jaket boleh diterbalikkan atau ‘reversible’ hasil kerjasama, Mr Sabotage x PropertyGuru membawa mesej, ‘Membina Singapura Kita Bersama’, dengan corak kucing kejiranan, peta pulau dan orkid. - Foto PROPERTYGURU

Kerjasama antara ikon pakaian jalanan tempatan, Mark Ong (juga dikenali sebagai Mr Sabotage atau SBTG), dengan laman hartanah, PropertyGuru, adalah antara kerjasama paling tidak dijangka sempena SG60.

Mark mereka jaket edisi terhad yang boleh diterbalikkan (reversible) sebagai penghargaan kepada ejen hartanah Singapura.

Direka sejajar dengan tema SG60, ‘Membina Singapura Kita Bersama’, jaket itu mempunyai dua sisi:

Jaket boleh diterbalikkan atau ‘reversible’ edisi SG60 ini tampil dengan sisi kelabu profesional dan sisi merah berani, menyerlahkan gaya pakaian jalanan tempatan.
Jaket boleh diterbalikkan atau ‘reversible’ edisi SG60 ini tampil dengan sisi kelabu profesional dan sisi merah berani, menyerlahkan gaya pakaian jalanan tempatan. - Foto PROPERTYGURU

Bahagian kelabu bergaris halus melambangkan penampilan yang lebih profesional.

Bahagian merah terang menonjolkan identiti, budaya dan semangat individu.

Motif yang disulam termasuk kucing kejiranan, tingkap rumah kedai Peranakan, bunga anggerik, Vanda Miss Joaquim, dan peta pulau Singapura, semuanya disulam pada bahagian depan dan belakang jaket itu.

Mark menyarung jaket tersebut ketika Minggu Fesyen Lelaki Paris pada Jun, dan menyatakan bahawa unsur kedualan – sisi ‘senyap’ dari luar, berani dari dalam – ialah gaya yang dikaitkan dengannya.

Sebanyak 150 jaket dihasilkan dengan sebanyak 10 jaket akan diagihkan melalui peraduan bersama pempengaruh tempatan; selebihnya diberikan kepada ejen hartanah cemerlang.

Ikuti @propertyguru di Instagram untuk mendapatkan maklumat tentang cara memenangi jaket ini.

Pazzion x Killiney Kopitiam

Kemeja-T ($49) dan beg jinjing, ‘Toast Set Everyday’ ($19), oleh Pazzion x Killiney memaparkan sarapan klasik Singapura iaitu roti bakar kaya dan telur separuh masak.
Kemeja-T ($49) dan beg jinjing, ‘Toast Set Everyday’ ($19), oleh Pazzion x Killiney memaparkan sarapan klasik Singapura iaitu roti bakar kaya dan telur separuh masak. - Foto PAZZION

Dua jenama tempatan – jenama kasut dan aksesori, Pazzion, dan rangkaian kopi, Killiney Kopitiam – bergabung untuk menghasilkan koleksi kapsul penuh nostalgia, lengkap dengan menu istimewa di Pazzion Cafe.

Antara barangan utama dalam koleksi itu termasuk kemeja-T ($49) dan beg jinjing ($19), Toast Set Everyday, yang masing-masing menampilkan ilustrasi set sarapan rakyat Singapura – roti bakar kaya, telur separuh masak dan teh ais.

Jika anda gemar gaya santai dengan sentuhan jenaka, topi sulaman Pazzion x Killiney Lim Kopi ($29), tersedia dalam tiga warna dengan frasa, ‘Singlish’ ikonik ‘swee la’, ‘let’s go lim kopi’ dan ‘kopi siew dai’.
Jika anda gemar gaya santai dengan sentuhan jenaka, topi sulaman Pazzion x Killiney Lim Kopi ($29), tersedia dalam tiga warna dengan frasa, ‘Singlish’ ikonik ‘swee la’, ‘let’s go lim kopi’ dan ‘kopi siew dai’. - Foto PAZZION

Jika anda suka sentuhan halus yang bergaya, dapatkan topi sulaman Lim Kopi ($29) yang tersedia dalam tiga warna dengan frasa Singlish harian, swee la, let’s go lim kopi dan kopi siew dai – sesuai untuk sesi kopi pagi atau makan malam lewat.

Lengkapkan gaya anda dengan kasut merah menarik seperti Cheryl Charm Mary Janes ($96), dengan aksesori boleh ditukar, atau Nicole Everyday Sneakers ($99), yang serba ringkas dan bergaya untuk kegunaan harian.

Hingga 31 Ogos, pembelian mana-mana barangan koleksi itu akan disertakan pelekat Pazzion x Killiney secara percuma.

Dapatkan maklumat lanjut di kedai Pazzion terpilih termasuk B1-39/40 Takashimaya Shopping Centre, 391 Orchard Road dan pazzion.com.

Shiseido x Willabelle Ong

Sempena SG60, Shiseido Singapore, bekerjasama dengan pempengaruh, Willabelle Ong (@willamazing), untuk menghasilkan koleksi edisi terhad yang merangkumi cermin solek, bekas kosmetik dan pinggan aksesori. Koleksi itu ditawarkan sebagai hadiah dengan pembelian produk.
Sempena SG60, Shiseido Singapore, bekerjasama dengan pempengaruh, Willabelle Ong (@willamazing), untuk menghasilkan koleksi edisi terhad yang merangkumi cermin solek, bekas kosmetik dan pinggan aksesori. Koleksi itu ditawarkan sebagai hadiah dengan pembelian produk. - Foto SHISEIDO

Apabila kecantikan bertemu seni, hasilnya ialah koleksi yang bukan sahaja bergaya, bahkan penuh makna.

Sempena SG60, Shiseido Singapura berganding bahu dengan pencipta kandungan fesyen tempatan, Willabelle Ong (@willamazing), untuk menghasilkan koleksi edisi terhad yang merangkumi cermin solek kompak, bekas kosmetik dan set pinggan aksesori, semuanya ditawarkan sebagai hadiah dengan pembelian produk Shiseido.

Dengan lebih 1.1 juta pengikut di Instagram dan TikTok, Willabelle bukan sekadar ikon gaya, beliau juga seorang pencerita visual.

Koleksi Shiseido x Willabelle Ong menggabungkan seni dan solekan menerusi rekaan moden bunga camellia dan rama-rama, lambang kecantikan dan perubahan.
Koleksi Shiseido x Willabelle Ong menggabungkan seni dan solekan menerusi rekaan moden bunga camellia dan rama-rama, lambang kecantikan dan perubahan. - Foto SHISEIDO

Beliau mengambil inspirasi daripada bunga camellia ikonik syarikat kecantikan Jepun itu yang kelihatan dalam logo mereka.

Diperkenalkan oleh presiden pertama jenamanya, Encik Shinzo Fukuhara pada 1915, camellia atau ‘Hanatsubaki’ dalam Jepun melambangkan kekuatan, keanggunan dan daya tahan.

Willabelle menghidupkan semula lambang itu dengan sentuhan moden dan palet warna yang lebih luas.

Beliau turut menyelitkan imej rama-rama, motif kegemaran anak perempuannya yang berusia tiga tahun, Ava, sebagai lambang perubahan, kebebasan dan keindahan yang bersifat sementara.

“Bekerja secara kreatif dengan Shiseido seperti berjumpa semula dengan seorang sahabat lama, tetapi kali ini dengan perspektif baru dan tenaga segar,” katanya.

“Setiap rekaan membawa kisah seni asal, menghidupkan warna, gerak dan makna dalam detik-detik harian.”

Barangan edisi terhad Shiseido x Willabelle Ong menampilkan reka bentuk bunga camellia dan rama-rama, termasuk beg kosmetik (dengan pembelian $250), cermin solek (dengan pembelian $150) dan set pinggan aksesori (dengan pembelian $350).
Barangan edisi terhad Shiseido x Willabelle Ong menampilkan reka bentuk bunga camellia dan rama-rama, termasuk beg kosmetik (dengan pembelian $250), cermin solek (dengan pembelian $150) dan set pinggan aksesori (dengan pembelian $350). - Foto SHISEIDO

Untuk layak menerima barangan koleksi itu, pelanggan perlu membuat pembelian minimum $150 untuk cermin solek, $250 untuk beg kosmetik dan $350 untuk set pinggan aksesori.

Tersedia di butik dan kaunter Shiseido hingga 31 Ogos, selagi stok masih ada.

Skechers x Mr Merlion & Friends

Kemeja-T uniseks ‘Mr Merlion & Friends’ ($49) oleh Skechers menampilkan Mr Merlion bermain bola pikel dengan penuh ceria.
Kemeja-T uniseks ‘Mr Merlion & Friends’ ($49) oleh Skechers menampilkan Mr Merlion bermain bola pikel dengan penuh ceria. - Foto SKECHERS

Untuk kemeja-T yang mudah dan santai tapi tetap meriah, jenama kasut Amerika Syarikat, Skechers, kini menampilkan koleksi terbarunya bersama watak digital, Mr Merlion & Friends.

Kemeja-T lengan pendek uniseks untuk dewasa dan kanak-kanak ($49 setiap satu) menampilkan Mr Merlion bermain sukan seperti bola pikel, bola sepak dan bola keranjang, ditemani rakan-rakan bertemakan makanan seperti, Loti Bread, Chilli Krabby dan Kopi-O.

Watak bertenaga itu juga diolah menjadi Cali Bits ($10.90 untuk satu set empat) – ‘charm’ kasut yang boleh digunakan untuk menggayakan kasut, Skechers Foamies anda.

Hingga 11 Ogos, anda boleh membeli dua barangan, Mr Merlion & Friends, pada harga $60.

Dapatkan maklumat lanjut di kedai Skechers terpilih dan skechers.com.sg.

The Elly Store

Kemeja kanak-kanak daripada, The Elly Store ($52.90), menampilkan ‘Mickey & Friends’ menikmati budaya Singapura, dari pusat penjaja hingga ke rumah kedai.
Kemeja kanak-kanak daripada, The Elly Store ($52.90), menampilkan ‘Mickey & Friends’ menikmati budaya Singapura, dari pusat penjaja hingga ke rumah kedai. - Foto THE ELLY STORE

Mencari pakaian Hari Kebangsaan yang bukan sekadar lautan merah dan putih?

Label pakaian kanak-kanak tempatan, The Elly Store, menawarkan cetakan penuh imaginasi untuk seisi keluarga.

Koleksi Dear Singapore adalah penghargaan kepada ikon, memori dan tempat harian yang membentuk negara ini sejak enam dekad lalu. 

Cetakan lukisan tangan yang dihasilkan dalam rumah membawa pemakainya dalam perjalanan dari kenangan zaman kanak-kanak ke latar langit masa kini.

Koleksi keluarga, ‘Haven Coral’, daripada The Elly Store tersedia bagi kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak ($52.90 hingga $168.90).
Koleksi keluarga, ‘Haven Coral’, daripada The Elly Store tersedia bagi kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak ($52.90 hingga $168.90). - Foto THE ELLY STORE

Cetakan Haven Coral pula merupakan penghormatan kepada suasana tenang koridor flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Dengan ilustrasi berulang laluan pejalan kaki, pagar logam dan tingkap berwarna, motif geometri itu ditampilkan pada gaun kanak-kanak perempuan ($62.90); kemeja kanak-kanak lelaki ($52.90); gaun wanita ($168.90); dan kemeja lelaki ($89.90).

Manakala cetakan Skyla, yang ditawarkan dalam warna merah atau biru, meraikan Red Lions, pasukan payung terjun yang menjadi ikon Hari Kebangsaan dan kegemaran rakyat Singapura.

Koleksi itu turut menampilkan koleksi berlesen Disney, yang menonjolkan watak Mickey & Friends meneroka Singapura: makan di pusat penjaja, berjalan di hadapan rumah kedai berwarna-warni dan mengagumi latar langit bandar.

Dapatkan maklumat lanjut di theellystore.com

World of Ying

Skarf dan selendang meja dengan ilustrasi anggerik daripada mural, ‘Harmony In Bloom’, karya seni Phuay Li Ying, kini boleh digayakan.
Skarf dan selendang meja dengan ilustrasi anggerik daripada mural, ‘Harmony In Bloom’, karya seni Phuay Li Ying, kini boleh digayakan. - Foto WORLD OF YING

Seni dan masyarakat bertemu dalam kerjasama unik antara seniman fabrik tempatan, Phuay Li Ying, dengan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, untuk menghasilkan mural sempena sambutan SG60, satu kerjasama yang mungkin di luar jangkaan, tetapi terasa cukup serasi.

Phuay bukanlah nama asing dalam dunia seni tempatan. 

Sebagai pengasas jenama fesyen, Ying The Label (yang ditutup pada akhir 2023), beliau dikenali dengan rekaan floral lembut bercorak anggerik yang sering menjadi pilihan menteri pada Hari Kebangsaan. 

Enam tahun lalu, beliau juga pernah mereka barangan peringatan untuk memperingati pelancaran, Tanglin Orchid, anggerik hibrid yang diperkenalkan sempena ulang tahun ke-20 Jawatankuasa Kejiranan Tanglin.

Kini, untuk SG60, Phuay dan Encik Tan kembali bergabung tenaga dalam satu bengkel seni mural bertemakan anggerik hibrid dari Kebun Bunga Singapura. 

Hasilnya ialah, Harmony In Bloom, mural berskala besar yang menghimpunkan 60 tafsiran artistik anggerik. 

Dicetak pada dua sepanduk besar, karya itu turut menjadi wadah interaktif buat penduduk Moulmein-Cairnhill yang dijemput untuk melukis dan memperibadikan rekaan anggerik masing-masing.

Beberapa motif anggerik terpilih telah diadaptasi dan diolah semula menjadi barangan, termasuk pakaian dan hadiah peringatan.

Blaus wanita ($259 hingga $289) dan kemeja lelaki ($180), rekaan Phuay Li Ying daripada World of Ying, dihiasi sulaman anggerik daripada mural, ‘Harmony In Bloom’, menonjolkan unsur seni dan budaya.
Blaus wanita ($259 hingga $289) dan kemeja lelaki ($180), rekaan Phuay Li Ying daripada World of Ying, dihiasi sulaman anggerik daripada mural, ‘Harmony In Bloom’, menonjolkan unsur seni dan budaya. - Foto WORLD OF YING

Corak bunga yang terang itu boleh digayakan melalui blaus, Pleated Top ($289), Skarf ($289), Smock ($259), Kemeja Lelaki ($180) dan kemeja-T ($39 hingga $69).

Pada 2 Ogos, mural Harmony In Bloom serta koleksi barangan pilihan akan dipamerkan buat julung-julung kalinya di Eco Lake Lawn, Kebun Bunga Singapura.

Disediakan mulai 2 Ogos di worldofying.com, dan di Gardens Shop Nassim Gate, Kebun Bunga Singapura, 1 Cluny Road, mulai 6 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg